Asyraf Khalid mahu bimbing 500 pemimpin muda, beri inspirasi dan peluang sama rata kepada kanak-kanak istimewa

No Image Caption
A
A
A

JIKA anda mengikuti perkembangan dunia belia dan kepimpinan, nama Muhammad Asyraf Khalid pasti tidak asing. 

Beliau bukan sekadar usahawan dan personaliti media, tetapi juga individu yang komited membimbing generasi muda untuk mencapai potensi sebenar mereka.

Baru-baru ini, suami kepada Tya Ariffin itu dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Madani Research Centre (MRC), dengan tanggungjawab menguruskan bahagian Penjenamaan dan Penglibatan Awam. 

Perlantikan ini bukan sekadar jawatan rasmi, tetapi platform untuk beliau terus menyemai inspirasi kepada belia dan memberi perhatian kepada golongan kanak-kanak keperluan khas.

Salah satu inisiatif kegemaran Asyraf ialah Madani Future Leaders 500, satu program nasional yang menghimpunkan 500 pelajar terbaik dari seluruh negara. 

Bagi beliau, ia bukan sekadar program kepimpinan, bahkan peluang untuk belia merasai pengalaman sebenar, dibimbing oleh tokoh korporat, usahawan, dan pemimpin industri, sambil menimba kemahiran komunikasi dan pemikiran strategik.

“Saya percaya setiap perubahan besar bermula dengan peluang. Generasi muda hari ini bukan kurang bakat, cuma mereka perlukan ruang untuk berkembang dan dibimbing dengan nilai yang betul,” kata Asyraf.

No Image Caption

KANAK-KANAK KEPERLUAN KHAS

Baginya lagi, pemimpin sejati bukan sekadar pandai membuat keputusan, tetapi juga berempati dan berjiwa besar. 

“Saya mahu lihat lahirnya generasi pemimpin yang bukan sekadar bijak, tetapi juga faham tanggungjawab membina negara,” tambahnya.

Selain menumpukan kepada belia, Asyraf juga tidak lupa golongan kanak-kanak keperluan khas. 

Melalui Inisiatif Madani untuk Kanak-Kanak Keperluan Khas, beliau memperjuangkan peluang sama rata untuk kanak-kanak autisme, ADHD dan lain-lain keperluan khas.

Ujarnya lagi, kanak-kanak istimewa wajar diberi peluang sama rata untuk mencapai potensi mereka, dan tidak seharusnya dilihat sebagai golongan pinggiran.

“Saya percaya masyarakat Madani yang sejati ialah masyarakat yang menyantuni semua golongan, termasuk anak-anak istimewa.

“Kanak-kanak istimewa bukan sahaja perlu diterima, tetapi diraikan sebagai sebahagian daripada warna dan kekuatan masyarakat," ujarnya lagi.

Dengan pendekatan santai tetapi penuh inspirasi ini, Madani Future Leaders 500 kini menjadi platform yang bukan sahaja membina kepimpinan, tetapi juga memberi peluang kepada belia dan golongan istimewa untuk berkembang, bersinar, dan menjadi versi terbaik diri mereka.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang