'Cerita belakang tabir buat apa nak cerita kepada umum' Ajai lebih suka tidak kongsi hal peribadi

No Image Caption
A
A
A

SEBUT sahaja namanya ramai yang sudah tahu figura terkenal dalam industri seni ini.

Dikenali kerana bakat dan bukannya publisiti murahan menjadikan nama Ajai langsung tidak tenggelam dari dunia popular tanah air.

33 tahun perjalanan seni dan telah menghasilkan lebih seribu lagu untuk banyak artis telah memberi pelbagai pengalaman yang bermakna buatnya.

Memahami akan perubahan dunia seni membuatkan Ajai faham tentang kewujudan artis dalam kalangan anak muda yang tiba-tiba muncul di khalayak dan mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Muzik seperti fesyen. Setiap tahun akan ada perubahan. Industri seni masih sama tetapi sebagai anak seni memang kita kena terima arus kemodenan. Budak-budak sekarang dah tak dengar lagu-lagu zaman dahulu. Genre kesukaan mereka pun berlainan.

“Masalah yang berlaku sekarang ini ialah lirik lagu mereka menjurus kepada perkataan yang terlalu ringkas. Sedap didengar tidak semestinya bermakna.

“Lirik lagu yang sebenar memerlukan kata-kata indah dan perumpamaan yang mampu dijiwai serta dipelajari. Kefahaman lirik perlu menjadi keutamaan.

“Industri sekarang ini ramai penyanyi yang lahir dari dunia media sosial. Oleh itu, bagi melahirkan pewaris yang benar-benar diperlukan dalam industri seni maka perlu dilakukan sesi uji bakat terlebih dahulu,” ujarnya ketika sesi soal jawab bersama Rozita Che Wan dalam program Borak Bibir Merah terbitan SinarPlus baru-baru ini.

Split personality

Sebagai seorang komposer dan pemuzik terkenal tanah air, Ajai juga tidak lari dari menerima kecaman netizen.

Dikatakan ‘mulut tidak berlapik’ dan mempunyai ego yang tinggi sehingga dilihat sering menganaktirikan bakat-bakat baru, Ajai dengan hormat menafikan tuduhan tersebut.

Apa yang dikatakan olehnya ketika memberi kritikan adalah sesuatu yang benar bukan disebabkan oleh ego. Ini kerana pemuzik senior sepertinya amat menitikberatkan kualiti dari kuantiti dalam usaha memastikan industri seni tanah air tidak dilambakkan dengan bakat asal boleh.

Sekarang ini, dapat dilihat jika ada duit lebih, ramai yang buat album sendiri namun tiada bakat nyanyian sebenar.

No Image Caption

Baginya, dia adalah seorang yang cerewet dalam menilai bakat seseorang. Baginya, ada rupa tapi tak semestinya boleh menyanyi.

“Saya ni sebenarnya macam split personality. Kalau jadi juri memang mulut kadang-kadang pedas tapi bila dalam studio rakaman, saya sangat rapat dengan artis. Saya sama sahaja seperti cikgu.

“Memang garang sebab tu ramai yang tak suka, tetapi saya memberi teguran yang benar. Bercakap dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Jika benar dia tidak boleh menyanyi memang itulah kenyataan yang perlu diterima.

“Saya memberi komen begitu bukan sebab mereka bukan artis tetapi memang saya menilai dari segi bakat nyanyian yang dilontarkan.

“Jangan buat bidang nyanyian ini untuk berseronok sahaja. Penyanyi adalah satu kerjaya yang dihormati termaksuklah membuat lirik dan lagu,” tambahnya lagi.

Memiliki lebih 80 lagu popular yang menjadi hits sepanjang zaman, Ajai mengakui ada juga lagu ciptaannya gagal mendapat sambutan.

Baginya, semua lagu memerlukan ‘roh’ untuk dijiwai oleh pendengar. Kebiasaannya jika terdapat kekurangan pada sambutan lagu tersebut, beliau akan mengubah lirik, korus atau pun menukar artis yang menyampaikan lagu itu.

“Contohnya lagu Keranamu Kekasih yang popular dinyanyikan oleh Ella Sabri sebenarnya sudah dinyanyikan oleh dua orang artis lain, tetapi sepertinya lagu itu ‘tidak sampai’ di hati peminat. Bila tukar ke Ella Sabri, Alhamdulillah lagu tersebut terus diingati dan menjadi popular.

“Ada artis yang boleh menyanyi tetapi tiada daya tarikan dan ada artis yang hanya ada asas nyanyian sahaja tetapi auranya lain macam.

“Untuk rekod, majoriti akan mengambil golongan yang kedua ini untuk digilap dan diasah bakatnya hingga menjadi bagus dalam bidang nyanyian.

“Dalam industri seni ini, penting untuk seseorang anak seni itu mempunyai pakej. Bukannya kita buat penambahan tetapi lebih kepada ‘menyerikan’ lagi pemberian ALLAH dengan masuk ke kelas vokal dan belajar tentang dunia hiburan masa kini dan perlu tahu ia adalah kerjaya.

“Selain itu, perlu juga memilih pengurusan yang betul bagi mengekalkan nama dalam dunia seni hingga ke peringkat tertinggi bukan hanya lokal tetapi juga antarabangsa” ujarnya.

Ditanya tentang perancangan terbarunya, pemilik nama sebenar, Mohamad Faizal Maas yang baharu sahaja menamatkan Konsert By Ajai and Megafriends 2024 di Kuala Lumpur pada November tahun lalu amat berterima kasih dan syukur di atas sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.

Konsert yang disertai oleh barisan artis lain seperti Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip, Illa Sabry, Aufahanie, dan Raes itu nyata memukau penonton di Mega Star Arena.

Kejayaan konsert tersebut juga menbawa kepada episod kedua Konsert By Ajai and Megafriends 2025 khas dibawakan kepada peminat di Singapura pada Mei tahun ini dengan penampilan khas bakat junior yang masih digilap yang juga anak kepada Allahyarhamah Siti Sarah iaitu Dzahira Talita Zhara.

“Walau masih di usia semuda ini, Talita menunjukkan minat yang mendalam ingin berkecimpung dalam industri muzik. Saya dan bapanya sudah merancang sesuatu untuk masa depan minatnya ini.

“Ditambah pula, Talita mempunyai bakat dalam nyanyian. Kalau dahulunya, Siti Sarah sangat dekat dengan muzik-muzik saya, kini Allah hadirkan anaknya pula.

“Inilah rezeki yang tak pernah kita duga,” ujarnya tentang kemunculan gadis manis itu untuk konsert yang akan datang.

Mencari publisiti

Penyanyi yang popular dengan lagu Keliru ini sama sahaja seperti orang lain juga yang mempunyai keluarga sendiri namun ia jarang didengari seolah-olah perihal keluarga menjadi rahsia dari pengetahuan umum.

Walaupun anak kelahiran Masai, Johor itu dan isterinya, Norliza Ilias bekerja di bawah satu bumbung dalam industri seni, namun mereka bijak menyorok dari mencari publisiti berkaitan rumah tangga mahupun anak-anak. Bapa kepada dua cahaya mata perempuan itu juga bersyukur kerana memiliki suri hati yang amat memahami kerjaya seninya.

“Bagi saya, cerita belakang tabir adalah hak individu. Hal peribadi tetap peribadi. Ada sekatan yang perlu diletakkan. Buat apa nak cerita kepada umum. Gaduh antara suami isteri pun tak perlu lah nak cerita.

“Bila dah jadi artis dikenali pastinya segala tindak tanduk kita menjadi perhatian umum. Jadinya, dengan rasa penuh tanggungjawab dan hormat kita perlu menunjukkan contoh yang baik untuk menjadi ikutan masyarakat.

“Jika dilihat dalam dunia serba moden sekarang ini terutama di dalam dunia maya, sememangnya artis dijadikan sebagai ikon. Sebagai selebriti, bila kita sudah tahu perkara itu kenapa perlu nak tunjukkan perkara yang negatif?” katanya.

Menginjak ke usia 50-an tahun ini, Ajai mengakui lebih fokus pada keluarga, kerjaya dan menjaga kesihatan diri dengan memperbanyakkan bersenam kardio.

No Image Caption

Ditanya tentang perihal anak-anak, sebagai seorang ayah, beliau mengambil berat tentang masa depan anak-anaknya.

Walaupun suami isteri sibuk dengan kerjaya, mereka tetap luangkan masa sebaiknya dengan Ayu Nazirah, 27 tahun dan Danisha, 15 tahun.

Mengakui menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh, namun setiap kali tiba waktu cuti sekolah, beliau akan membawa isteri dan anak-anak ke kediaman mereka di Pulau Pinang untuk menghabiskan masa bersama atau pun pulang ke kampung halaman.

Ditanya akan cabaran memiliki anak perempuan yang kini sudah memasuki alam dewasa, Ajai tidak menafikan pelbagai dugaan yang terpaksa diharungi dalam membesarkan kedua-duanya.

“Dalam dunia penuh pancaroba ni, dua sahaja pesanan saya kepada anak-anak, macam mana hebat dan pandainya kamu, ke mana tinggi pun belajar, tahu segala benda sekali pun ingat lah pada ALLAH setiap masa serta menghormati kedua orang tua,” ujar Ajai.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang