'Ini semua ALLAH Permudahkan.' Faizal Ismail cipta sejarah, mahasiswa perintis bagi Sarjana Pengurusan Haji & Umrah

No Image Caption
A
A
A

FAIZAL Ismail, atau lebih dikenali sebagai FBI dahulunya seorang hos televisyen, penyampai radio dan pelakon. Namun kini melangkah ke fasa baharu yang lebih bermakna yakni dunia ilmu dan amanah.

Perjalanan hampir lima tahun meninggalkan dunia hiburan bukan satu keputusan yang mudah. Namun, langkah itu membuka pintu rezeki yang tidak disangka-sangka. Faizal kini mencipta sejarah sebagai mahasiswa perintis Sarjana Pengurusan Haji & Umrah pertama di Malaysia yang diiktiraf MQA.

Bagi beliau, ini bukan sekadar gelaran atau pencapaian akademik, tetapi satu tanggungjawab untuk membawa ilmu kepada manfaat orang lain, khususnya para jemaah haji dan umrah.

No Image Caption

“Ini ALLAH yang permudahkan dan saya percaya pasti ada hikmah yang DIA lorongkan kepada saya.

"Bukan mudah untuk beralih daripada dunia hiburan kepada haluan yang lebih Islamik, tapi rezeki datang tanpa disangka,” katanya dengan nada penuh syukur.

Beliau mengakui, meninggalkan dunia lama memerlukan keberanian dan keyakinan. Sebelum ini, pengalaman dalam media banyak membantunya berinteraksi dengan masyarakat, tetapi hati mula tertarik kepada ilmu yang lebih bermanfaat.

Titik  Penting

Tawaran melanjutkan pengajian daripada YED Academy dengan kerjasama Innovative University College menjadi titik penting dalam perjalanan ilmunya.

Surat tawaran tersebut, walaupun baru diterima, sudah cukup membuatkan hatinya tersentuh.

“Saya belum terima lagi ijazah sarjana, ini baru surat tawaran, tapi rasanya macam sudah menerima sesuatu yang besar.

"Saya benar-benar bersyukur dan berterima kasih kepada pihak YED Academy dan Innovative University College atas kepercayaan ini,” ujarnya.

Bagi lelaki yang hampir memasuki usia lima series ini, menuntut ilmu sambil bekerja bukan perkara mudah.

No Image Caption

Namun, bapa kepada empat cahaya mata itu yakin, segala kemudahan datang daripada ALLAH.

“Kita kena yakin, yang memudahkan segala-galanya hanyalah ALLAH SWT,” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Lebih daripada sekadar menuntut kelayakan akademik, anak jati Kedah tersebut menegaskan, niat utamanya adalah untuk manfaat orang lain.

“Niat saya bukan sekadar untuk dapat sarjana ini sahaja.

"Saya mahu ilmu ini membolehkan saya membimbing dan memudahkan urusan para jemaah haji dan umrah, insya-Allah,” jelasnya.

NIAT

Perjalanan hijrahnya turut memberi inspirasi kepada ramai pihak bahawa perubahan dalam hidup, walaupun mencabar, tetap membawa kebaikan jika niat dan usaha dipandu ALLAH.

Bukan mudah untuk meninggalkan dunia yang sudah biasa, tetapi apabila niat kerana Allah, jalan yang sukar akan menjadi lebih mudah, dan rezeki hadir dalam bentuk yang tidak disangka.

No Image Caption

Kini, beliau dikenali bukan sahaja sebagai personaliti media, tetapi juga sebagai mahasiswa perintis dalam bidang pengurusan haji dan umrah.

Kisah suami kesayangan Nor Azlina Ahmad Din itu membuktikan, hijrah yang disertai niat ikhlas tidak pernah sia-sia.

Setiap langkah yang diatur kerana ALLAH membawa peluang, rezeki dan hikmah yang tidak ternilai.

“Doakan perjalanan ilmu saya dipermudahkan, semoga segala yang saya pelajari nanti dapat memberi manfaat kepada ummah,” katanya lagi

Bagi mereka yang mengikuti perjalanan Faizal, kisahnya adalah satu pengingat bahawa setiap perubahan dalam hidup, walaupun kelihatan sukar, tetap mempunyai hikmah.

Apabila ilmu itu digabungkan dengan niat ikhlas, ia bukan sahaja membuka pintu rezeki peribadi, tetapi juga memberi peluang untuk memberi kembali kepada masyarakat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang