‘Jangan sudah terhantuk baru tengadah…’ - Sangeeta Krishnasamy bimbangkan keruntuhan etika sosial generasi masa kini

No Image Caption
A
A
A

DI ruang tamu rumah yang sarat dengan kenangan, aroma rempah murukku mula menyapa deria seiring bunyi letupan kecil dari kuali panas. Tepung beras yang digaul dengan penuh sabar diuli menjadi bentuk berpintal halus sebelum dicelup ke dalam minyak yang mendidih.

Bagi Sangeeta Krishnasamy, inilah detik yang paling ditunggu-tunggu setiap kali menjelang Deepavali, saat di mana masa seolah berhenti dan segala kepenatan kerja tertinggal di luar pintu rumah.

“Tahun ini saya nak buat murukku ikut resipi nenek.

“Sudah beberapa tahun saya tidak dapat teruskan tradisi keluarga. Sebelum ini lebih banyak bekerja dan sambut dengan kawan-kawan. Jadi kali ini saya mahu kembali kepada asal,” ceritanya kepada SinarPlus.

Tambah wanita berusia 40 tahun itu, setiap perincian sambutan Deepavali di rumahnya bukan sekadar rutin tahunan, tetapi simbol kasih, disiplin dan nilai yang diwariskan turun-temurun.

Seperti ibunya yang cukup tegas soal kebersihan rumah, bukan kerana cerewet semata-mata tetapi kerana kepercayaannya terhadap keseimbangan tenaga dan semangat baharu menjelang tahun baru.

“Mak saya memang teliti bab kebersihan. Dia akan periksa setiap sudut rumah. Kalau ada habuk, memang kena bersihkan semula. Katanya, rumah yang bersih itu pembuka rezeki, elak tenaga negatif dan membawa tuah untuk tahun baru.

“Begitu juga dengan penghasilan seni lantai kolam. Cerita ayah saya, kolam ini dihasilkan sebagai tanda terima kasih kepada makhluk kecil seperti burung dan serangga.

“Atas sebab itu secara tradisi, warna untuk menghasilkan kolam dibuat daripada bahan semula jadi seperti bunga telang, ubi bit merah dan kunyit. Apabila siap, burung-burung akan datang mematuk berasnya, seolah turut meraikan kurniaan rezeki itu bersama kita,” tuturnya penuh makna.

Bukan sekadar meneruskan tradisi dalam perayaan cahaya, Deepavali juga lebih bermakna dengan kehadiran anak angkatnya, Alif Bakar, yang juga pelakon filem Adiwiraku.

Kongsi Sangeeta, semenjak berlakon bersama dalam filem tersebut lapan tahun lalu, Alif sudah dianggap seperti anak sendiri dan jejaka berusia 21 tahun itu memanggilnya dengan panggilan Mama.

“Dia sanggup ambil cuti untuk meraikan Deepavali bersama keluarga saya dan ibu saya sendiri sentiasa teruja setiap kali dia datang ke rumah. Malah dia memanggil ibu saya dengan panggilan Patti iaitu nenek dalam bahasa Tamil.

“Saya anggap dia seperti kawan baik kerana kami sering bertukar pendapat dalam pelbagai perkara. Hubungan kami bukan sekadar kasih antara anak dan ibu angkat, tetapi juga persahabatan yang tulus,” ujarnya lagi.

Refleksi cahaya

Namun di sebalik kemeriahan Deepavali, Sangeeta tidak menutup mata terhadap sisi gelap dunia hari ini terutama yang melibatkan tekanan mental dan kes buli dalam kalangan anak muda.

“Ramai pelajar hari ini memendam tekanan emosi yang tidak kelihatan di mata. Ibu bapa pula sibuk, anak-anak terperangkap dalam dunia skrin tanpa ruang komunikasi sebenar.

“Mereka tidak tahu cara berkomunikasi, tiada empati. Akhirnya bila berlaku sesuatu, semua terkejut sebab sangka mereka baik-baik saja,” katanya.

Pernah dibuli kerana isu perkauman sewaktu remaja, Sangeeta memahami kesannya terhadap keyakinan diri dan kestabilan emosi.

“Saya dulu dibuli sebab warna kulit tetapi sekarang buli jauh lebih teruk kerana bukan sekadar ejekan, malah melibatkan nyawa. 

"Nasihat saya pada yang menjadi mangsa, kalau rasa tidak mampu tanggung atau keterlaluan, tolong laporkan. Jangan simpan,” tegasnya.

Menyedari beratnya isu ini, Sangeeta kini memperdalam ilmu dalam bidang hipnoterapi klinikal, selain aktif dijemput berkongsi pandangan dalam forum dan ceramah berkaitan penyembuhan trauma mental.

Ditanya pandangannya mengatasi permasalahan dalam kalangan generasi masa kini, pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 itu berpendapat, semua pihak terutama ibu bapa perlu memainkan peranan secara tuntas.

“Generasi kini perlu meluangkan lebih masa dengan masyarakat. Belajar memperkuatkan etika sosial.

“Ibu bapa juga perlu pantau apa yang anak mereka layari menerusi media sosial kerana dengan kecanggihan teknologi, bukan semuanya memberi pengaruh yang baik."

Baginya, kemajuan teknologi tidak harus menjadi jurang yang memisahkan generasi, sebaliknya jambatan untuk lebih memahami satu sama lain.

“Jangan sudah terhantuk baru tengadah, kalau nasi sudah jadi bubur, semuanya sudah terlambat,” tutur Sangeeta mengakhiri perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang