Lepas 37 hari berjuang di laut, ZRA dedah pilih pulang diam-diam: 'Saya letih, rindu keluarga…'

No Image Caption
A
A
A

NAMA  Zainal Rashid Ahmad (ZRA) bukan asing dalam misi kemanusiaan.

Untuk rekod, ZRA merupakan pengamal media pertama yang berjaya menyelinap masuk ke Israel dan Palestin untuk merakam dokumentari tentang keadaan umat Islam di sana pada tahun 2005 dan 2008.

Lelaki berjiwa kental ini sudah lebih sedekad mengabdikan diri dalam pelbagai misi bantuan antarabangsa — dari bumi P4lestin, Syria dan sebagainya. 

Terbaharu, beliau turut menyertai kemanusiaan Global Sumud Flotilla, bersama barisan selebriti dan aktivis kemanusiaan Malaysia yang lain, dalam usaha menyalurkan bantuan serta membawa mesej solidariti untuk rakyat Palestin.

Namun, sebaik tamat misi yang penuh getir itu, nama ZRA kembali menjadi tumpuan — bukan kerana kejayaannya di lapangan, tetapi kerana ‘kehilangannya’ sewaktu sambutan kepulangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Rata-rata warganet tertanya-tanya, ke mana perginya figura yang sepatutnya berdiri di tengah-tengah barisan pejuang itu?

Tambah hangat apabila beliau juga tidak kelihatan di majlis penghargaan di Axiata Arena, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama beberapa aktivis kemanusiaan lain.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama TV3, ZRA akhirnya tampil menjelaskan keadaan sebenar — dan kisahnya cukup menyentuh hati.

No Image Caption

“Saya letih sebab dah 37 hari.

“Kemudian saya rindu dengan isteri saya. Sebab saya selalu travel, tapi tak pernah selama ini.

"Yang kedua, anak perempuan saya saya tinggalkan di Greece kerana dia mengalami dehydrasi," kongsinya.

Bagi ZRA, pulang dari medan misi bukan sekadar tentang menyentuh tanah air, tetapi juga membawa pulang beban emosi yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

“Saya tak boleh 'face public' ketika isteri, anak dalam ingatan saya.

“Sebab itu saya minta tolong beberapa kawan, sehingga saya keluar melalui pintu belakang," ungkapnya penuh makna.

Langkahnya meninggalkan lapangan terbang secara senyap bukan tanda menjauh atau sombong. Sebaliknya, ia detik seorang insan yang sedang mencari ruang menenangkan diri selepas berminggu-minggu melihat penderitaan dan perjuangan manusia lain di tanah bergolak.

Dalam nada rendah diri, beliau juga menitipkan pesanan bermakna buat generasi baharu aktivis kemanusiaan.

“Saya fikir dalam usia saya 58 tahun, tinggallah ruang kepada aktivis muda.

"Mereka patut menikmatinya, supaya jadi semangat untuk buat lagi dan buat lagi," kongsi ZRA lagi.

Kata-kata itu bukan sekadar luahan, tetapi simbol kematangan dan kesedaran seorang pejuang. ZRA percaya, perjuangan harus diteruskan oleh generasi muda yang penuh tenaga dan semangat, agar nyala api kemanusiaan tidak pernah padam.

Kini, ZRA memilih untuk berehat seketika — kembali ke pangkuan keluarga yang menjadi sumber kekuatan sejak awal.

Dalam diamnya, ada hikmah; dalam senyapnya, ada kasih dan keikhlasan seorang insan yang telah lama menabur bakti di jalan kemanusiaan.

Kerana bagi ZRA, menjadi wira tidak semestinya berada di hadapan kamera. Kadangkala, ia tentang keberanian untuk mengundurkan diri, supaya yang muda pula boleh melangkah ke depan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang