Fesyen Zuramir ketengah konsep buriek guna cangkerang siput

No Image Caption
A
A
A

MENGETENGAHKAN konsep pakaian etnik Sarawak menggunakan buriek iaitu sejenis cangkerang siput bermotifkan Orang Ulu dan Iban menonjolkan keunikan dan kreativiti tersendiri dalam koleksi rekaan jenama Zuramir.

Hampir 10 tahun menceburi bidang fesyen yang pada asalnya menjual pakaian di butik dan menghasilkan beberapa rekaan khususnya pada musim perayaan, memberikan banyak pengalaman buat Nur Azura Salhan untuk terus berjaya dalam menghasilkan produk rekaannya.

Selain itu, beliau turut menjual tudung bawal dan selendang. Pada masa sama, beliau mencuba nasib sebagai pereka fesyen dan menghasilkan jenama sendiri.Percaturan tersebut menampakkan sinar apabila koleksi rekaan beliau meraih perhatian sekali gus mendapat tempat keempat dalam satu pertandingan fesyen baru-baru ini.

No Image Caption

Sekadar makluman, Zuramir antara jenama yang menyertai Pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW). Program anjuran Jonathan dan Farel Mikhail daripada FM Group itu menyaksikan, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan fesyen masing-masing dalam pertandingan tersebut.

“Disebabkan saya orang sini (Sarawak), jadi saya memilih etnik di bumi kenyalang ini sebagai tema utama dalam karya saya baru-baru ini. Untuk busana, pilihan material adalah daripada Batik Sarawak yang dipadankan dengan kain pua kumbu dan juga satin rona gelap. Ini bagi memastikan rekaan buriek (pakaian khas etnik Sarawak) yang saya hasilkan lebih jelas.

“Saya bersama seorang rakan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menyiapkan lima pasang busana yang dipertandingkan.

“Alhamdulillah, pemilihan idea dan ilham yang kami hasilkan itu meraih perhatian pihak juri sehinggakan rekaan tersebut terpilih memenangi tempat keempat dalam pertandingan tersebut,” ujar Nur Azura.

Cangkerang asli

Wanita berusia 42 tahun itu yakin dan percaya, konsep rekaan yang dihasilkannya mampu menembusi pasaran luar negara.

Berkongsi lanjut mengenai pemilihan cengkerang tersebut, Nur Azura mengakui, konsep dan jahitan terutama pada bahagian atas permukaan bahan material stretchable itu agak rumit.

“Jahitan buriek juga cukup sukar dan memerlukan ketelitian. Bukan itu sahaja, untuk menghasilkan rekaan berkenaan bukan mudah, lebih-lebih lagi itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke pentas peragaan dan terpaksa bersaing dengan pereka lain yang sememangnya sudah ada nama dan pengalaman.

No Image Caption

“Malah, masa yang diberikan ketika itu cukup singkat, saya perlu menyediakan baju mengikut saiz model yang akan memperagakan busana tersebut. Alhamdulilah, berkat usaha dan doa keluarga, saya mampu menghasilkan rekaan seperti yang dirancang,” ungkapnya lagi tatkala ditemu bual menerusi alam maya.

Setiap satu rekaan busana yang dipertontonkan menggunakan cangkerang siput yang diberi nama Cowrie Shells yang dibeli daripada seorang rakannya berbangsa Iban.

Dalam pertandingan tersebut, Nur Azura menggunakan sebanyak dua kilogram cangkerang bagi menyiapkan satu busana.

“Cangkerang itu kemudiannya perlu dijahit satu persatu selain digam. Memang sukar, namun itu satu kelebihan yang membolehkan rekaan yang dihasilkan lain daripada yang lain,” ungkap ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

No Image Caption

Pernah meraih anugerah Usahawan Harapan Wanita Sarawak dalam bidang fesyen tahun 2022 dan Best Emerging Women CEO Awards in Retail &Lifestyle Industry pada tahun 2024, wanita berusia 42 tahun itu turut memasang impian untuk membuka beberapa cawangan lain di seluruh Malaysia.

Selain aktif dalam bidang rekaan fesyen, pengarah dan pengasas Zuramir Boutique & Beauty yang dimiliki sepenuhnya oleh Zuramir Resources Sdn Bhd turut memiliki kedai emas iaitu Zuramir Gold & Jewelleries yang terletak di Kuching, Sarawak.

“Bisnes kedai emas dimulakan pada tahun 2017 secara online sebelum membuka kedai dua tahun kemudian hasil keuntungan dan pusingan modal daripada butik pakaian yang saya usahakan,” ujar Nur Azura lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang