Hati-hati dengan kanser paru-paru. Tidak hanya menyerang golongan berusia, wanita paling ramai hidap!

No Image Caption
A
A
A

1 Ogos setiap tahun telah ditetapkan sebagai tarikh untuk sambutan Hari Kanser Paru-Paru Sedunia.

Melalui ucapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Jun, kanser paru-paru adalah yang ketiga paling biasa di Malaysia yang mana 95 peratus daripada kes didiagnosis pada peringkat akhir iaitu tahap ketiga atau keempat.

Sementara itu, Pakar Perunding dan Respiratori Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Sangeta Vadivelu pula berkata, penyakit itu setakat ini masih nombor satu yang menjadi penyebab kematian dalam kalangan penduduk sedunia.

Oleh itu, penting untuk menitikberatkan sambutan hari kanser paru-paru supaya dapat menambahkan kesedaran orang ramai tentang penyakit berkenaan.

“Kurangnya kesedaran tentang kanser paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi punca kebanyakan mereka datang ke hospital dalam tahap yang teruk. Kesannya, rawatan yang diberikan juga menjadi terhad. Berbanding jika ramai lebih terdedah dengan penyakit ini, mudah untuk pihak perubatan merawat mereka dengan lebih bagus dan efektif.

“Selain itu, sifat takut seseorang itu menjadi punca mereka lewat untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan pesakit lebih memilih untuk tidak tahu daripada bertindak menangani masalah tersebut. Apabila ada simptom yang kronik atau membimbangkan, mereka akan menganggap seolah-olah itu sebagai sesuatu yang tidak perlu dibimbangkan,“ kata Dr Sangeta.

No Image Caption

Pada peringkat awal, kanser paru-paru biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda yang ketara. Pun begitu, terdapat beberapa simptom menjadi lebih jelas melalui beberapa tanda seperti berikut:

  • Batuk berterusan.
  • Batuk berdarah.
  • Sakit dada yang keterlaluan.
  • Sesak nafas.
  • Penurunan berat badan yang drastik.

Dalam pada itu, jika kanser telah merebak jauh daripada paru-paru, iaitu ke bahagian organ tertentu seperti otak, pesakit biasanya akan mengalami sakit kepala yang keterlaluan.

Jika ia merebak ke bahagian tulang, kemungkinan pesakit akan berasa sakit, sengal-sengal ataupun retak tulang. Malah, mereka juga akan mengalami simptom seperti letih, lesu dan lemah sepanjang masa. Jika semua tanda-tanda ini berlaku, segeralah dapatkan pemeriksaan doktor.

No Image Caption

Pesakit golongan muda

Tambah Dr Sangeta, meskipun merokok merupakan faktor risiko utama, namun tidak semua pesakit kanser paru-paru adalah perokok. Sekitar 10 hingga 15 peratus mereka yang tidak pernah merokok dan dua per tiga daripada golongan ini adalah wanita.

Malah, penyakit ini bukan sahaja dialami oleh golongan berusia. Kita boleh lihat kini peningkatan kes yang membabitkan golongan muda.

“Pesakit kanser paru-paru termuda yang saya rawat berumur 15 tahun. Jadi, kita perlu membuang anggapan bahawa kanser hanya berlaku kepada golongan tua,“ ujar pakar itu lagi.

Selain daripada rokok, pendedahan kepada bahan kimia seperti gas radon antara penyebab berlakunya kanser tersebut.

“Kes ini kebanyakan berlaku di negara Barat yang mana sesetengah rumah dibina di atas tanah uranium. Radon adalah gas radioaktif yang terhasil daripada uranium yang terdapat dalam semua jenis batu dan tanah. Ia boleh merosakkan paru-paru anda jika disedut.

"Seterusnya, pekerjaan seseorang juga memainkan peranan untuk menghidap kanser paru-paru ini. Terutamanya yang bekerja di kawasan pembinaan seperti kontraktor dan buruh yang terdedah dengan bahan asbestos, arsenik, kromium dan arang batu. Sama juga pekerja yang terdedah dengan bahan silika,“ jelas beliau lagi.

Tambah Dr Sangeta lagi, pencemaran udara juga mengundang radang paru-paru yang mana WHO mengenal pasti pencemaran ini bersifat karsinogenik.

Bukan itu sahaja, udara kini tercemar dengan pelbagai bahan akibat pembakaran terbuka dan lain-lain. Bahan-bahan itu boleh merengsakan paru-paru dan meningkatkan risiko kanser paru-paru.

“Mereka yang pernah terdedah kepada radiasi di dada, seperti pernah mendapatkan rawatan kanser paru-paru atau limfoma juga berisiko tinggi untuk mendapat kanser.

“Jika terdedah kepada perengsa, saluran pernafasan akan mengalami iritasi, pesakit akan mengalami sesak nafas, batuk, serta bendalir dari saluran pernafasan sama ada dari hidung atau dalam bentuk kahak.

“Sekiranya simptom itu berterusan dan paru-paru terus terdedah kepada karsinogen, ia boleh menjadi lebih kronik termasuklah batuk berpanjangan, batuk berdarah, batuk berkahak, dan sesak nafas yang teruk,“ ulas beliau lagi.

No Image Caption

Pencegahan kanser

Mengulas lanjut, Dr Sangeta mengakui, pemakanan memainkan peranan yang sangat penting dalam pencegahan kanser.

Pun demikian, ia juga boleh jadi penyebab yang mana WHO telah mengenal pasti beberapa jenis kumpulan makanan yang boleh bertukar menjadi karsinogen atau bersifat karsinogenik. Antaranya:

1. Makanan atau daging yang telah diproses

Biasanya, daging yang diproses menggunakan kaedah seperti penjerukan, pembakaran, penyalai, atau penggorengan adalah antara yang berisiko. Semua ini boleh

menyebabkan daging tersebut bertindak sebagai karsinogen.

2. Makanan yang dimasak secara berlebihan atau overcooked

Membabitkan makaan yang menggunakan suhu yang sangat tinggi, boleh menyebabkan molekul-molekul makanan tersebut bertukar menjadi karsinogen. Ini menambahkan risiko daripada segi pemakanan, terutama bagi golongan yang gemar makan makanan berproses dan makanan yang dimasak pada suhu yang sangat tinggi.

3. Minyak yang digunakan untuk menggoreng makanan

Makanan yang dijual di gerai yang mana warnanya bertukar menjadi kehitaman dan makanan yang digoreng dalam minyak tersebut berpotensi

menjadi karsinogen. Contohnya, ayam goreng, kentang atau bebola.

4. Minuman keras

Minuman keras seperti arak yang mengandungi alkohol juga bersifat karsinogen dan boleh mengakibatkan kanser.

5. Makanan yang dijeruk, disimpan dalam tin, atau diperam untuk jangka masa yang lama juga boleh bersifat karsinogenik

Makanan ini boleh membentuk sejenis kuman atau bakteria yang bersifat karsinogen dan menyebabkan kanser.

Ulas pakar itu lagi, kanser paru-paru juga boleh didapati melalui mutasi genetik, iaitu individu yang mempunyai kromosom tidak normal ketika lahir.

“Selalunya kromosom 16 dikaitkan dengan kanser paru-paru-paru dan mutasi-mutasi lain. Oleh itu, jika seseorang itu didiagnos kanser paru-paru, mereka akan melalui ujian mutasi untuk melihat sama terdapat ubat sasaran yang boleh kita bagi untuk untuk sasarkan mutasi-mutasi ini.

“Kanser paru-paru tidak mudah untuk dikesan. Langkah permulaan, saya sarankan untuk membuat X-ray dada yang mudah diperoleh di klinik swasta atau kesihatan yang menyediakan kemudahan tersebut.

“Sekiranya terdapat tanda-tanda yang tidak normal, barulah berjumpa dengan pakar. Berdasarkan tanda-tanda itu, kita boleh mencadangkan pemeriksaan lanjutan seperti CT scan paru-paru, yang juga dikenali sebagai imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET scan),“ jelas beliau.

Gaya hidup sihat

Tambah Dr Sangeta, selepas imbasan berkomputer ini dibuat, pakar mungkin akan mencadangkan ujian-ujian lain seperti bronkoskopi, iaitu memasukkan skop ke dalam saluran udara paru-paru untuk melihat sama ada terdapat sel-sel yang tidak normal atau ketumbuhan. Jika ada, biopsi akan diambil.

Jika ketumbuhan berada di dalam saluran pernafasan, biopsi boleh diambil dengan mudah kerana kawasan tersebut mudah dicapai. Namun, keadaan menjadi lebih rumit jika ketumbuhan berada di luar saluran pernafasan.

“Dalam situasi itu, kita mungkin perlu menggunakan alat-alat canggih yang ada sekarang, seperti endobronchial ultrasound atau dipanggil EBUS. Ia adalah sejenis ultrasound yang boleh dimasukkan ke dalam saluran pernafasan iaitu hidung pesakit untuk mengesan atau melihat lokasi ketumbuhan tersebut,“ jelasnya.

Pada masa sama, beliau menitipkan beberapa pesanan supaya setiap individu mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Rokok bukan sahaja memberi kesan secara langsung, tetapi juga melalui asap rokok sekunder dan perokok pasif yang mana bahayanya sama dengan merokok secara aktif. Ramai isteri menjadi perokok pasif dari suami dan berisiko tinggi untuk mendapat kanser paru-paru.

“Selain itu, elakkan karsinogen dalam apa jua bentuk, baik melalui makanan atau pencemaran udara. Jika pekerjaan kita melibatkan faktor-faktor risiko tersebut, cubalah untuk mengelakkannya,“ungkap beliau.

Tahap kesedaran tentang kanser kini semakin meningkat dan kebanyakan hospital menawarkan pakej saringan yang mampu milik oleh semua orang.

“Ramai berfikiran bahawa rawatan di hospital swasta mahal dan tidak mampu milik, tetapi sebenarnya mereka cuba membantu masyarakat dengan pelbagai cara. Selain menyediakan kemudahan terkini, mereka juga membantu mendiagnosis pesakit dengan cepat dan efektif. Paling penting adalah pesakit datang membuat saringan,“ ujar Dr Sangeta sebelum menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang