Alami pendarahan, keputihan yang aneh punca kanser
BULAN Februari tahun lalu menjadi detik hitam buat Nor Fatihah Mohd Halim apabila didiagnos menghidap kanser serviks.
Beliau pada awalnya tidak syak sebarang perubahan pada dirinya.
Ketika itu dirinya mengalami pertambahan berat badan. Namun, wanita itu menyangka ia disebabkan oleh masalah hormon.
“Saya ada pergi klinik kerana alami pendarahan yang berpanjangan. Ketika itu doktor cakap masalah hormon.
“Disebabkan rasa tidak berpuas hati kerana berlaku keputihan yang pelik, saya mengambil keputusan untuk pergi ke klinik pakar puan pula.
“Doktor kemudiannya mengesyaki ada yang tidak normal di pangkal rahim saya iaitu kanser,” kata beliau yang mula menyedari sakitnya pada bulan November 2023.
Selain mengalami pendarahan yang berpanjangan dan keputihan, wanita berusia 36 tahun itu juga berasa mudah penat dan sentiasa mahu tidur sahaja.
Selepas didiagnos dengan kanser serviks, beliau kemudian berdepan dengan pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut.
Namun demikian, Fatihah bersyukur kerana semuanya selesai dengan jayanya dan beliau menjalani rawatan susulan seperti radioterapi, kimoterapi dan bracking terapi.
Kesannya, Fatihah sering mengalami loya, muntah, kulit melepuh seperti kesan terbakar di beberapa kawasan sehingga beberapa bulan beliau alami rasa sakit ketika membuang air besar.
Malah, detik itulah menjadi cabaran buatnya sehingga tidak mampu untuk positifkan diri dan rasa sakitnya itu sentiasa bermain dengan emosi.
Akhirnya, anak kelahiran Kelantan itu menjadi hilang semangat.'
“Selepas melalui fasa itu saya jaga makan. Saya elakkan dari makan makanan berproses, segera dan daging.
“Saya juga mengawal dalam pengambilan gula dengan menjaga kuantitinya, namun tidak terus meninggalkan secara mengejut,” ujar beliau.
Dapat sokongan keluarga
Akui Fatihah lagi, sepanjang diuji dengan sakit itu, beliau bersyukur keluarga dan mentua sentiasa ada memberi sokongan kuat buatnya.
Malah, sokongan suami menjadi penyebab beliau kuat dan mampu melalui detik-detik sukar dalam hidupnya.
Kini, wanita tabah tersebut diuji dengan kanser paru-paru pula.
“Nasihat saya, jadikan pap smear sebagai rutin tahunan. Ini kerana gaya pemakanan dan hidup sekarang sangat membimbangkan.
“Jika boleh, lakukan ujian penanda kanser sebagai rutin setiap enam bulan dan pap smear sekali setahun. Penanda kanser ini sangat penting untuk pemantauan awal.
“Wajar orang ramai ada kesedaran tentang penyakit kanser ini kerana wad semakin hari kian penuh sehingga terpaksa duduk di katil tambahan,” kata Fatihah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang