PCOS, Hadir Tanpa Disedari

No Image Caption
A
A
A

SINDROM Ovari Polikistik (PCOS) adalah gangguan hormon yang menjejaskan golongan wanita dalam usia reproduktif.

Ia adalah satu keadaan yang mana terdapat banyak sista kecil (follicles) tersusun di dalam ovari seseorang dan hanya dapat dilihat dengan bantuan imbasan ultrasound. Fenomena ini berlaku pada 20 peratus wanita yang normal.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Pakar Fertiliti dan Ginekologi di Pusat Pakar Kesuburan Sophea@Bangi, Dr Salleha Khalid memberitahu, PCOS salah satu masalah yang biasa dihidapi oleh kaum wanita. Dari segi statistiknya, satu daripada lima wanita boleh mengalami PCOS.

Tambah beliau, salah satu simptom yang berlaku adalah apabila kitaran haid jadi tidak menentu.

“Untuk kitaran haid yang normal, ia sepatutnya datang setiap bulan, dalam 28 hari atau 30 hari. Tetapi wanita yang ada PCOS, kadang-kadang haid mereka langsung tak datang. Mungkin datang sekali dua bulan, sekali dalam masa tiga bulan, ada juga yang setahun tak datang langsung. Itu antara salah satu simptom yang paling biasa untuk wanita yang ada masalah tersebut.

“Simptom lain termasuklah masalah jerawat, kulit berminyak, rambut gugur, facial hair lebih sedikit atau ada bulu di tempat yang tak sepatutnya ada. Itu antara simptom lain yang berkait rapat dengan PCOS,“ katanya.

No Image Caption

Tambah beliau lagi, bagi wanita yang ada simptom tersebut dan mahu melakukan pemeriksaan, boleh lah berkunjung ke klinik sakit puan atau pusat kesuburan, doktor akan menjalankan saringan seperti ujian ultrasound atau imbasan untuk melihat bahagian rahim dan kilang telur, terutama sekali ovari.

“Wanita yang mengalami penyakit itu, kilang ovari mereka ada penampilan tertentu yang menunjukkan PCOS. Kalau ikutkan polisistik, ramai orang ingat polisistik tu macam sista (cyst) yang besar-besar. Namun, ia sebenarnya sista jenis kecil-kecil sahaja saiznya kurang dari 10mm, tetapi banyak dalam ovari (string of pearls).

“Selepas itu, barulah kita melakukan ujian darah untuk melihat tahap hormon estrogen, progesteron, testosteron, FSH, dan LH. Ujian-ujian ini membantu untuk sahkan atau pastikan sama ada seseorang itu menghidap PCOS.“ jelasnya. Kurang risiko kanser

Bagi wanita yang telah didiagnos dengan penyakit tersebut, rawatan yang boleh dilakukan bergantung kepada simptom atau tanda yang mereka alami. Memetik dari Myhealth, antaranya:

Pil perancang (OCP) – Untuk memperbetulkan kitaran haid. Ia juga boleh menghindarkan kanser rahim atau hyperplasia selaput endometrium (see endometrial hyperplasia). OCP yang mempunyai anti-androgen (cyproterone acetate) boleh juga mengurangkan hirsutism dan jerawat.

Progestin- Sejenis hormon yang diberi selama 21 hari untuk 1 hingga 3 bulan. Ia boleh mangatur pusingan haid tapi tidak membantu dalam hirsutism atau jerawat. Progestin juga tidak menghindar keupayaan mengandung (ia bukan OCP). Akan tetapi, ia boleh mengurangkan risiko kanser rahim dan hyperplasia selaput endometrium.

Hirsutism - Bulu yang berlebihan di badan. Ia boleh dirawat dengan bercukur, kaedah electrolysis atau rawatan laser. Sementara itu terdapat ubat-ubat anti-androgen seperti cyproterone acetate atau alderone, yang diambil untuk 4 hingga 6 bulan boleh membantu mengurangkan hirsutism.

Penurunan berat badan – Kaedah yang paling efektif dalam mengawal insulin, mengatur semula kitaran haid kembali normal dan simptom-simptom PCOS lain. Dengan hanya mengurangkan 5 hingga 10 peratus dari berat badan, sudah cukup untuk pusingan haid kembali normal.

Metformin (Glucophage) – Ubat untuk meningkatkan efekasi insulin dalam badan. Boleh membantu ovulasi bagi sesetengah pengidap PCOS, lebih-lebih lagi yang ada obes dan mempunyai kencing manis (DM).

Ketidaksuburan - Pengurangan berat badan – dengan mengurangkan 5 hingga 10 peratus dari berat badan, ia boleh meningkatkan tahap kesuburan wanita PCOS.

Clomiphene (anti-estrogen) – Ubat yang diminum untuk meningkatkan ovulasi (penghasilan telur ovari).

Ubat jarum FSH – Bagi mereka yang gagal mengeluarkan telur (ovulasi) dengan bantuan Clomiphene.

No Image Caption

Komplikasi

Pengidap PCOS terdedah dengan komplikasi-komplikasi jangka masa panjang seperti:

  • Kencing manis (diabetes mellitus- DM) – 10 hingga 20 peratus PCOS boleh mendapat DM pada usia lingkungan 40-an, lebih-lebih lagi jika pesakit itu obes atau sejarah keluarga DM.
  • Tekanan darah tinggi (hypertension) – Disebabkan DM dan obes.
  • Penyakit jantung koronari - disebabkan DM dan darah tinggi.
  • Kanser – Haid yang tidak teratur boleh mengakibatkan selaput endometrium menebal sehingga terhasilnya hyperplasia (endometrial hyperplasia). Ini boleh mengakibatkan kanser rahim. Mereka yang mempunyai masalah haid (datang kurang dari empat kali dalam setahun) disarankan berjumpa doktor. Risiko kanser buah dada, pangkal rahim (serviks) dan ovari adalah sama seperti wanita yang tidak mempunyai PCOS.
  • Kemurungan: Kurang jati diri kerana kegemukkan dan perasaan tidak yakin.
  • Berdengkur dan mamai diwaktu pagi: kerana obstructive sleep apnea.

Kesimpulannya, untuk membendung dan kurangkan komplikasi, amalkan cara hidup sihat, kekalkan berat badan ideal, makan makanan seimbang dan berkhasiat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang