Penting ambil vaksin influenza! Pendekkan masa jangkitan & kurang tanggung sakit

No Image Caption
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, kita sering mendengar orang sekeliling menghidap influenza. Bagi yang pertama kali mendengarnya atau tidak pernah dijangkiti, penyakit yang disebabkan oleh virus ini mudah dijangkiti dan merebak melalui titisan air liur, batuk, bersin dan bersentuhan dengan orang lain.

Bagi kawasan beriklim tropika seperti Malaysia, masalah kesihatan tersebut boleh berlaku bila-bila masa sepanjang tahun. Berbeza pula bagi negara-negara yang mempunyai empat musim, influenza sering menular pada musim luruh dan musim sejuk.

Virus berkenaan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu jenis A, B dan C. Kebanyakan orang terkesan dengan influenza jenis A atau B yang simptomnya agak teruk berbanding jenis C yang lebih sederhana atau tidak teruk.

Menyentuh mengenai jenis influenza, Pegawai Perubatan di Poliklinik Shaik Kota Kemuning, Dr Mohd Fahmi Shauki Ezani menjelaskan, ramai yang keliru tentang jenis penyakit berkenaan yang mana ketika menjalani rapid test kit, ada yang beranggapan mereka dijangkiti influenza jenis C kerana garisan huruf C di kit itu muncul.

No Image Caption

“Di rapid test kit ada tiga huruf iaitu C, A dan B. Jika garisan di huruf C itu muncul, ia bukan bermakna seseorang itu terkena virus influenza jenis C, sebaliknya, ia merujuk kepada kawalan (control) yang mana berfungsi untuk menjadikan kit itu sah.

“Jadi, garisan pertama itu sememangnya harus muncul pada C. Selepas itu, barulah menentukan sama ada anda terkena influenza virus A atau B,“ kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Fahmi juga berkongsi simptom yang seseorang itu akan hadapi jika terkena virus influenza ini. Antaranya:

  • Demam
  • Selesema
  • Sakit tekak
  • Batuk
  • Sakit kepala
  • Sakit badan
  • penat/lesu
  • Cirit birit dan sakit perut (khususnya dalam kalangan kanak-kanak)

Walaupun kedua-dua jenis A dan B sama dari sudut simptom dan rawatan, namun bagi yang terkena virus A berkemungkinan akan terkena juga virus B. Ini kerana anda hanya dilindungi imuniti sementara dari A sahaja ketika dijangkiti.

Di samping itu, penting bagi masyarakat luar untuk mengambil tahu individu yang berisiko tinggi boleh terkena influenza. Antaranya:

  • Kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun
  • Wanita hamil
  • Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas
  • Individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain)
  • Individu obes
  • Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah (seperti pesakit kanser, penghidap HIV, pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi dan lain-lain)

No Image Caption

Vaksin elak kesan teruk

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Bagi individu yang tidak pernah kena atau takut dijangkiti virus influenza, boleh mengambil vaksin. Namun, meskipun sudah mendapatkan dos vaksin, ia tidak menjamin anda untuk tidak terkena virus tersebut.

Sekurang-kurangnya, anda boleh mengelak daripada terkena simptom yang teruk dan tempoh jangkitan juga tidak lama. Selain itu, ia juga mampu mengurangkan risiko penyebaran jangkitan kepada individu lain.

“Vaksin mengambil masa dua minggu untuk proses dalam tubuh badan kita. Rata-rata individu yang mahu ke luar negara akan mengambil vaksin influenza sebagai langkah berjaga-jaga. Sama juga ketika menghadapi situasi yang sukar seperti berlakunya kes di sekolah atau di tempat kerja.

“Bagi yang ingin mengambil vaksin selepas dijangkiti dengan virus influenza, boleh berbuat demikian tetapi bukan diambil serta merta. Selalunya, saya akan beri jarak seminggu selepas pulih dari influenza. Tak kisah jika ketika itu mereka ada batuk dan selsema asalkan bukan demam. Bila demam dah reda baru boleh cucuk,“ jelas Dr Fahmi.

Tambah beliau lagi, pada awalnya vaksin yang diambil memberi pelindungan selamanya, tetapi disebabkan virus berkenaan bermutasi dan berubah setiap tahun menjadikan vaksin yang diambil tidak efektif untuk tubuh badan selamanya. Jadi, vaksin ini perlu diambil setiap tahun.

Bagi yang ingin mendapatkan vaksin influenza, ia bermula pada usia enam bulan dan anggaran kos bagi setiap dos yang diambil sekitar bawah RM100 ringgit.

“Jika ikut pada garis panduan sebenar, anak yang berumur enam bulan hingga lapan tahun perlu mengambil vaksin influenza dua kali setahun. Misalnya, hari ini mereka sudah ambil satu dos, bulan berikutnya mereka perlu ambil sekali lagi untuk lengkapkan dua dos setahun.

“Sebagai contoh, anak anda berumur lima tahun dan tidak pernah mendapat vaksin influenza sebelum ini. Kanak-kanak itu perlu mendapatkan dua dos vaksin. Misalnya, hari ini cucuk sekali, sebulan kemudian, datang semula untuk suntikan kali kedua. Jadi, pada tahun akan datang akan dicucuk sekali sahaja. Itu garis panduan sebenar,“ ujar beliau.

Dalam pada itu, selain daripada pengambilan vaksin, orang ramai juga boleh mengelak daripada terkena jangkitan influenza secara semula jadi iaitu dengan sentiasa membasuh tangan, memakai topeng muka dan elakkan dari berkumpul dengan orang ramai atau terdedah dengan kes influenza.

Rawatan influenza

Bagi mereka yang telah disahkan terkena virus influenza, klinik atau hospital akan bekalkan mereka ubat-ubatan. Pesakit dewasa akan mendapat ubat berbentuk kapsul iaitu mereka harus makan satu biji dua kali sehari. Sementara itu, untuk kanak-kanak pula akan dibekalkan ubat jenis cecair atau sirap yang mana dos diberikan mengikut berat badan mereka. Pengambilan ubat-ubatan ini selalunya dalam tempoh lima hari sahaja.

Pada masa sama, bagi individu rapat dan masih belum dijangkiti, mereka juga boleh mengambil ubat yang sama sebagai langkah pencegahan.

Misalnya, bayi yang tidak boleh berjauhan dari ibunya dan tidak cukup umur untuk mendapatkan vaksin. Begitu juga individu yang perlu menjaga mereka yang berjangkit dengan influenza.

Selain itu, mereka yang dijangkiti virus influenza ini juga perlu kuarantin seperti pesakit covid-19. Ini termasuklah, perlu diasingkan tempat tidur dan bilik air, malah sanitasi juga perlu dibuat selepas mengetahui salah seorang individu dijangkiti influenza.

Walaupun kanak-kanak adalah antara golongan yang paling berisiko untuk dijangkiti penyakit itu, tidak bermakna orang dewasa akan terlepas daripada jangkitan.

Jika didapati ada tanda-tanda dijangkiti, segera berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan.

Dr Fahmi juga menyarankan kepada mereka yang belum mendapatkan vaksin influenza, boleh berbuat demikian bagi mengurangkan simptom ketika dijangkiti dan risiko penyebaran.

Malah, anda juga boleh berurusan secara langsung dengan beliau untuk pertanyaan lanjutan atau mendapatkan vaksin influenza di Poliklinik Shaik Kota Kemuning.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang