Remaja kini lebih terdedah dijangkiti HIV. Baik cegah daripada terus menular!

No Image Caption
A
A
A

JIKA sebelum ini penyumbang terbesar kepada kes HIV disebabkan perkongsian jarum oleh penagih dadah. Namun, kini peningkatan kes lebih ketara melalui hubungan seksual terutama daripada pasangan homoseksual lelaki.

Menurut laporan Global AIDS Monitoring 2023 Kementerian Kesihatan Malaysia, negara kita tersenarai sebagai negara yang mencatatkan peningkatan kes HIV.

Pun begitu, kesedaran masyarakat tentang penyakit ini masih pada tahap rendah. Hanya 10 peratus daripada golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun mengetahui cara penularan HIV dan dapat menolak mitos mengenai penularan penyakit HIV. Lebih mengejutkan, peningkatan kes HIV ini berlaku seawal usia 13 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 48 peratus.

Menurut Pegawai Perubatan, Jabatan Perubatan Am di Hospital Shah Alam, Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili, peningkatan trend HIV di dunia merupakan ancaman dan setiap pihak dalam masyarakat perlu memainkan peranan supaya penularan HIV dapat dihentikan.

Menurutnya, penting bagi seseorang terutama golongan muda untuk mengetahui apa itu HIV dan bagaimana cara pencegahannya.

HIV ialah singkatan bagi human immunodeficiency virus. Virus tersebut menyerang imun atau sistem pertahanan tubuh badan seseorang.

Individu boleh dijangkiti HIV melalui cairan tubuh badan daripada pesakit HIV lain seperti

  • Air mani
  • Cecair faraj
  • Darah
  • Susu ibu
  • Kehadiran virus

Oleh kerana HIV menyerang sistem imun, pesakit boleh datang dengan pelbagai jenis simptom. Antara simptomnya:

  • Demam
  • Sakit tekak dan batuk
  • Sakit otot
  • Sakit kepala
  • Cirit-birit
  • Bengkak kelenjar limfa
  • Letih
  • Ruam
  • Sakit sendi
  • Turun berat badan

Simptom itu menjadi lebih teruk jika HIV mula merebak dalam badan mereka sehingga akan menyebabkan rentetan simptom yang teruk termasuk diarrhea kronik, jangkitan toxoplasmosis, jangkitan paru-paru yang teruk dan banyak lagi komplikasi sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Ada pesakit yang saya jumpa ketika itu koma dan dipenuhi dengan jangkitan pada kulit serta kemaluan. Dia telah disahkan lama menghidap HIV tetapi tidak pernah mengambil ubat-ubatan dengan teratur," kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Luqman juga menjelaskan simptom itu mungkin tidak kelihatan pada peringkat awal tetapi boleh muncul apabila virus mula merebak dalam badan. Jika ujian dilakukan terlalu awal, terdapat kemungkinan ujian HIV adalah negatif.

Ini kerana HIV yang baru memasuki badan manusia dalam fasa awal tidak memberikan keputusan positif.

Namun, apabila penyakit itu sudah berada lama di dalam badan, ia akan terus membahayakan sistem imuniti tubuh badan dan akan menyebabkan jangkitan oportunistik atau opportunistic infection (OI). Pada tahap akhir, HIV akan menjadi AIDS iaitu sindrom immunodepresi yang teruk. HIV awalnya mungkin hanya menunjukkan beberapa simptom tetapi apabila beberapa kumpulan simptom dan OI muncul, ia dikategorikan sebagai AIDS.

“Untuk mengetahui sama ada dijangkiti HIV atau tidak, seseorang itu perlu membuat pemeriksaan awal seperti menggunakan HIV Rapid Test. Ujian ini mudah didapati dan hanya memerlukan masa 15 minit untuk dilakukan. Namun, keputusan daripada kit ini tidak boleh dijadikan penentu akhir.

“Ujian lanjut perlu dilakukan di makmal menggunakan kaedah lain termasuk mengukur viral load dan CD4 iaitu kadar imun dalam badan jika keputusan awal adalah positif. Hanya selepas ujian ulangan positif, barulah seseorang itu disahkan mendapat HIV. Proses pengesahan HIV mengambil masa dan melibatkan beberapa ujian untuk memastikan ketepatan diagnosis. Kumpulan yang berisiko tinggi perlu disaring dan dilakukan ujian pengesahan HIV,“ jelas Dr Luqman.

Hubungan seks bebas

Seperti yang telah disebut, trend HIV pada awalnya disebabkan oleh seseorang itu berkongsi jarum suntikan. Pun begitu, trend masa kini menunjukkan paling ramai individu mendapat HIV disebabkan oleh hubungan seksual yang bebas dan tidak sah terutama dalam kalangan individu bertukar-tukar pasangan dan pekerja seks.

Peningkatan kes HIV juga paling tinggi pada masa kini disebabkan oleh peningkatan trend MSM (male sex with male) atau hubungan sesama lelaki.

Cuma ada kes pesakit HIV yang minoriti seperti dalam kalangan staf kesihatan yang terkena jarum daripada pesakit HIV, pemindahan darah daripada pesakit HIV dan pemindahan HIV daripada ibu kepada bayi sewaktu kelahiran serta penyusuan.

HIV tidak mempunyai ubat yang boleh menyembuhkan sepenuhnya tetapi ia boleh dikawal dengan ubat anti-retroviral seperti HAART (Highly Active Antiretroviral Therapy). Ubat tersebut boleh menekan aktiviti virus dalam badan, meningkatkan kualiti hidup pesakit HIV dan membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti manusia normal dengan syarat mereka perlu mengambil ubat seumur hidup.

Seperti diketahui sebelumnya, HIV boleh berjangkit melalui cairan tubuh termasuklah susu ibu. Oleh itu, ibu yang menghidap HIV dinasihatkan untuk tidak menyusukan anak mereka dan menggunakan susu formula sebagai alternatif bagi mengelakkan risiko jangkitan.

“Perkembangan terkini menyatakan bagi pesakit HIV yang mengandung dan melahirkan anak, potensi untuk anak dijangkiti HIV adalah sangat tinggi. Namun, ada juga kes yang mana anaknya tidak terkena HIV disebabkan perkembangan perubatan dan keberkesanan ubat anti-retroviral.

"Bagi pesakit HIV yang berkahwin dengan orang yang tidak dijangkiti virus itu akan mudah dijangkiti HIV melalui pasangannya tetapi dengan adanya ubat anti-retroviral ini boleh menyebabkan individu itu masih negatif HIV kerana keberkesanan ubat yang menghasilkan viral suppression," ujar beliau.

Selain itu, masyarakat luar tidak perlu takut untuk mendekati pesakit HIV. Memetik penulisan Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad dalam portal MyHealth, HIV tidak boleh dijangkiti melalui:

  • Sentuhan seperti duduk bersebelahan, berjabat tangan atau memeluk pesakit HIV
  • Berkongsi kemudahan awam seperti telefon awam, kolam renang, tandas dan pengangkutan awam
  • Berkongsi perkakas atau makanan dengan seorang pesakit HIV
  • Bersin, batuk, berpeluh atau kencing
  • Gigitan nyamuk
  • Menjaga privasi

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sistem pendidikan dan institusi keluarga seharusnya memainkan peranan yang sangat penting dalam memberikan pendidikan seksual yang betul serta mendidik generasi muda tentang risiko dan pencegahan HIV.

“Sekarang ini banyak pihak yang mempromosikan LGBT. Malah, ketika saya pergi ke sekolah asrama dan institut pengajian tinggi (IPT), banyak isu yang membabitkan kaum sejenis. Ada segelintir cikgu yang turut mempunyai tabiat sedemikian terhadap anak muridnya sendiri.

“Ini menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa. Tidak perlu lihat lebih jauh, kawan atau lingkungan kita sendiri turut mengalami masalah sebegini.

“Jadi, saya nak mengajak masyarakat untuk sama-sama membendung penyakit ini dengan memberikan pendidikan yang terbaik kepada golongan muda dan anak-anak," ujar Dr Luqman yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart), sebuah NGO yang memfokuskan kesedaran kesihatan, kesukarelawan dan bantuan perubatan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang