Buih banyak tak menjamin kulit bayi bersih! Baca label sebelum beli
PERTAMA kali menjadi ibu dan ayah sememangnya menjadi detik terindah buat semua pasangan. Memikul tanggungjawab menjaga amanah yang diberikan tidak semudah yang dibayangkan, terutamanya dalam penjagaan dari segi penyusuan dan menyediakan persekitaran yang baik. Tidak lupa juga aspek lain, iaitu penjagaan kesihatan fizikal, khususnya kulit kerana bayi mempunyai kulit yang sangat sensitif.
Justeru, ibu bapa perlu lebih teliti dan peka ketika memilih produk mandian yang sesuai dan berkualiti untuk bayi supaya kekal sihat dan lembab. Hal ini kerana penggunaan produk yang tidak sesuai akan menjejaskan kulit bayi sehingga menyebabkan ketidakselesaan dan iritasi.
Menurut Pakar Dermatologi Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Heah Sheau Szu, ibu bapa perlu elak membeli barangan mengandungi ramuan yang boleh menjejaskan dan menyebabkan kulit mereka menjadi kering sehingga mengundang masalah alergi.
“Antara kandungan yang perlu dielakkan ialah Sodium Lauryl Sulfate (SLS), Sodium Lauryl Ether Sulfate (SLES), Cocamide DEA, Dimethylol-dimethyl (DMDM), Methylisothiazolinone (MIT) dan Paraben..
“Bagi bayi yang alergi terhadap pewangi, elak beli produk yang mengandungi Parfum, •Fragrance•, •Benzyl Alcohol• dan •Ethanol•,” katanya.
Mungkin ada yang menyangka produk mandian yang mengandungi banyak buih lebih bersih. Namun, tanggapan tersebut tidak tepat kerana jika lebih banyak buih dihasilkan, maka penggunaan bahan aktif yang terkandung dalam produk berkenaan juga lebih.
Kesannya, ini akan menipiskan lagi lapisan pelindung kulit pada badan bayi sehingga menyebabkan bahagian tersebut menjadi kering dan kasar.
Justeru, pakar tersebut menyarankan ibu bapa supaya elak menggunakan produk berbuih banyak dan mempunyai tahap alkali tinggi kerana ia akan menyebabkan kulit bayi menjadi sensitif.
Simptom kulit alergi
Mengulas lanjut, kata Dr Heah, simptom alergi akan muncul sekiranya bayi berkenaan diberi produk mandian yang tidak sesuai dengan kulit mereka.
“Antara simptom tersebut ialah bintik merah, ruam, kulit jadi kasar, kering, gatal dan mengelupas. Jika tahap alergi semakin teruk, anak akan rasa sakit dan kulit akan menjadi merah serta gatal.
“Bayi akan garu di tempat yang gatal sehingga kulit mengelupas dan berdarah, berkemungkinan mendatangkan komplikasi seperti jangkitan kuman,” ujarnya.
Tambah beliau, kebiasaannya simptom alergi tidak akan muncul selepas sekali dua menggunakan produk tersebut, namun tanda-tanda alahan hanya akan nyata selepas beberapa minggu atau bulan.
“Kadangkala punca si kecil alah terhadap sesetengah produk mandian disebabkan tahap kepekatan sumber sensitif yang digunakan bagi produk berkenaan.
“Selain itu, perlu diingatkan bahawa amaun sabun atau krim mandian yang digunakan juga salah satu faktor menyebabkan kulit bayi menjadi alergi,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, sesetengah ibu bapa menyangka kulit bayi akan bersih sekiranya menggunakan amaun sabun mandian yang banyak sedangkan cara tersebut akan mencederakan lapisan pelindung kulit bayi.
“Cara yang betul adalah meletakkan jumlah sabun mandian yang sesuai di atas tapak tangan, tambah sedikit air kemudian mandikan anak atau masukkan sabun mandian ke dalam besen mandi bayi dan mandikan bayi dengan air yang bersih.
“Pastikan tiada kesan sabun mandian yang tinggal atas badan bayi kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan alergi terhadap kulit malah mungkin menjejaskan mata dan hidung,” jelasnya.
Penting untuk ibu bapa membuat pemilihan produk penjagaan kulit bayi.
Memetik penulisan Dr Asyikin Md Isa dari portal Hello Doktor, antara perkara yang perlu dipantau seperti:
1. Baca label terlebih dahulu
Boleh membahayakan dan menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi.
Periksa juga deskripsi penggunaan, tempoh luput, tempat dan nama kilang pembuatan serta jika terdapat apa-apa amaran pengunaannya.
2. Bebas alkohol
Alkohol akan membuatkan kulit bayi menjadi terlalu kering lalu menyebabkan kerengsaan dan kegatalan.
Nama lain yang digunakan bagi menggantikan alkohol adalah •ethanol•, •ethyl alcohol •atau •cetearyl alcohol•.
3. Bebas alkali
Alkali banyak digunakan dalam produk berasaskan sabun. Antaranya adalah NaOh (sodium hidroksida) dan KOH (potassium hidroksida). Bahan-bahan ini berisiko mengubah tahap keseimbangan pH pada kulit bayi lalu menyebabkan kerengsaan.
4. Bebas phthalate, paraben dan formaldehida
Bahan ini boleh mendatangkan bahaya kepada kulit bayi.
5. Produk bebas sodium karbonat
Sodium karbonat atau sodium hidroksida bersifat korosif dan menghakis semua jaringan tubuh yang mampu menjejaskan mata dan sistem pernafasan. Ia juga berbahaya kepada bayi dan boleh meningkatkan risiko ekzema. Jika, ia juga boleh mendatangkan maut.233sd
6. Produk penjagaan kulit bayi bebas antibakteria atau antimikroba
Boleh mengakibatkan kekeringan dan kerengsaan.
7. Produk dengan kandungan pelembut dan pewangi
Sekiranya bayi tiada sebarang masalah kulit, anda boleh memilih produk mandian dengan pelembut dan pewangi. Namun jika bayi mempunyai masalah ekzema, elakkan kerana boleh mendatangkan kegatalan pada kulit si kecil.
8. Produk mengandungi kadar ph 5.5
Pilih produk dengan kadar pH yang ideal untuk bayi iaitu 5.5 untuk membantu dalam kesihatan lapisan kulit bayi.
9. Diuji di makmal dermatologi
Ujian ini hanya boleh dilakukan oleh doktor atau pakar dermatologi bagi membuktikan kesahihan produk tersebut.
Jika ya, pertimbangkan untuk mencuba produk tersebut kepada diri sendiri sebelum menggunakannya kepada si kecil.
Jika berlaku sampingan kepada kulit bayi, berhenti menggunakan produk tersebut dan segera bawa mereka berjumpa doktor.
Penting untuk ibu ayah pantau kondisi kulit bayi, jika didapati si kecil alergi terhadap sesuatu produk, maka hentikan penggunaannya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang