Cabut bukan penyelesaian! Ibu ayah kena 'alert' gigi anak berubah warna

No Image Caption
A
A
A

Penjagaan gigi seharusnya dititikberatkan semasa anak-anak masih kecil bagi mengelak daripada sebarang kerosakan berlaku. Ramai ibu bapa yang beranggapan kesihatan gigi hanya terletak pada warna gigi semata-mata. Asal putih dan bersih sahaja bererti gigi sihat. Salah, ya!

Melalui penulisan Dr Nurul Nazrah Nazarudin di laman Hello Doktor, kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS), terdapat 71.3 peratus kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang. Maksudnya, tujuh daripada sepuluh kanak-kanak mengalami kerosakan gigi.

Menurut Pegawai Pergigian dari Klinik Pergigigan Dr Aziza, Dr Natashya Anuar, karies gigi juga dikenali sebagai kaviti atau gigi berlubang.

Masalah ini bukan sahaja terjadi pada kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga turut sama mengalaminya.

“Bakteria akan sentiasa terbentuk dalam mulut kita, terutama di bahagian gigi walaupun kerap memberus. Ia akan membentuk satu lapisan nipis pada permukaan gigi yang dipanggil plak.

“Apabila kita makan atau minum terutamanya yang manis, bakteria yang ada dalam plak itu akan bertindak balas dengan gula untuk menghasilkan asid. Seterusnya, ia akan merosakkan dan menghakis permukaan gigi melalui proses yang dipanggil demineralisasi.

“Proses ini berterusan dan berulang jika asid ini tidak dineutralkan. Kesannya, ia menjadi penyebab gigi berlubang. Bakteria utama yang menyebabkan karies gigi ialah Streptococcus mutans,” kata beliau.

Akan tetapi, tidak semua masalah gigi berlubang berpunca daripada makanan manis. Selain daripada gula, anak bawah enam tahun yang masih menyusu botol boleh terdedah dengan masalah itu jika diabaikan penjagaannya.

Tidak terkecuali juga situasi yang mana bakteria dari mulut orang dewasa seperti ibu berpindah ke mulut anak. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak-anak berkongsi makanan dengan orang dewasa. Walaupun hanya dengan meniup makanan, itu juga boleh menyebabkan pemindahan bakteria berlaku.

No Image Caption

Tambah Dr Natashya, untuk mengenal pasti terjadinya karies gigi pada seseorang adalah apabila berlakunya lesi putih pada gigi.

Pada peringkat ni, anak-anak tidak akan rasa sakit dan keadaan ini masih boleh dihentikan sebelum menjadi lebih teruk. Seterusnya, gigi berubah ke warna keperangan atau kehitaman.

“Jika gigi anak-anak berubah warna, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membawa mereka berjumpa dengan doktor. Rawatan yang akan dikenakan sama ada ditampal atau perlukan rawatan saraf.

Selepas itu, memasang stainless steel crown untuk menjaga gigi yang rapuh atau akhirnya gigi tersebut perlu dicabut jika teruk,” jelasnya.

Selain itu, rawatan pencegahan seperti rawatan florida boleh dilakukan. Tampalan yang digunakan untuk kanak-kanak sama seperti orang dewasa. Terdapat dua jenis tampalan, iaitu komposit atau tampalan simen.

Pada masa sama, kebanyakan doktor juga akan menasihati untuk selamatkan gigi susu dengan rawatan akar berbanding cabut. Ini kerana jika dicabut awal, gigi kekal tidak akan tumbuh sebelum waktunya.

Sebagai contoh, budak berumur empat tahun sudah cabut gigi geraham, si kecil itu perlu menunggu usianya menjangkau sepuluh tahun untuk gigi baharu akan tumbuh semula.

Langkah pencegahanDalam pada itu, Dr Natasyha turut berkongsi langkah pencegahan awal kerosakan gigi yang mana ibu bapa perlu bantu anak-anak memberus gigi. Pastikan mereka menggosok sekurang-kurangnya dua kali sehari selama dua minit dengan menggunakan ubat gigi berflorida.

“Ubat gigi kanak-kanak dan dewasa berbeza dari segi dos florida. Untuk anak-anak, dosnya lebih rendah dan penggunaannya cukup sebesar kacang pis sahaja. Ia boleh mula digunakan apabila mereka sudah mulai tumbuh gigi.

“Selain itu, ibu bapa juga harus kawal diet pemakanan anak, terutama pengambilan makanan tinggi kandungan gulanya.

“Untuk bayi yang masih menyusu, sebaiknya keluarkan puting botol dari mulut anak seusai habis susunya. Ibu bapa juga perlu membawa mereka menjalani pemeriksaan gigi setiap enam bulan,” jelas beliau.

Di samping itu, beliau juga menitipkan beberapa inisiatif yang boleh ibu bapa ambil untuk menarik minat anak seperti memilih jenis berus yang menarik, ubat gigi berperisa dan memberi ganjaran kecil seperti pelekat pelbagai bentuk atau mainan setiap kali mereka berjaya memberus gigi. Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak memberus gigi bersama untuk menjadi contoh yang baik.

Saran pakar itu lagi, ibu bapa juga boleh mulakan penjagaan gigi anak-anak ketika masih bayi dengan bersihkan permukaan gusi yang kosong dengan kain yang dilembapkan untuk di sapu seluruh bahagian gusi. Jadi, apabila si kecil itu semakin membesar ia boleh jadikan cara tersebut sebagai rutin.

Dalam pada itu, ibu bapa yang mengalami masalah untuk bawa anak ke klinik gigi, ada beberapa cara yang boleh dipraktikkan.

Pertama, elakkan daripada menakutkan mereka dan berikan gambaran positif tentang rawatan gigi.

Seterusnya,dedahkan mereka dengan video kartun berkenaan lawatan ke klinik gigi. Dengan itu, anak-anak lebih bersemangat mahu menjalani pemeriksaan. Dalam masa sama, anda juga disaran membuat sesuatu yang menyeronokkan selepas berjumpa dengan doktor gigi. Jadikan hari rawatan gigi bukan keutamaan, sebaliknya selingan sebelum melakukan aktiviti lain yang lebih menyeronokkan.

Selain ibu bapa, doktor juga memainkan peranan penting dengan berkomunikasi cara yang mudah difahami anak-anak. Secara tidak langsung dapat mengurangkan perasaan cuak si kecil sekali gus memudahkan proses rawatan gigi.

Walaupun karies gigi adalah penyakit biasa dalam kalangan kanak-kanak, namun ia boleh dicegah. Kanak-kanak yang masih kecil tidak mempunyai pengetahuan dan kesedaran untuk menjaga gigi sendiri. Bimbingan daripada orang tua diperlukan untuk mencapai kesihatan oral yang baik.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang