Lengkapkan probiotik & prebiotik dengan makanan asas untuk usus sihat!

No Image Caption
A
A
A

KESIHATAN usus memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan tubuh secara keseluruhan. Di tengah-tengah perkembangan dunia sains pemakanan, istilah seperti probiotik dan prebiotik semakin mendapat perhatian.

Ketua Pakar Pemakanan di Jomsayheart Diet Centre, Syaza Lyana berkata, probiotik adalah mikroorganisma hidup, khususnya bakteria baik yang biasanya ditemui dalam makanan yang diperam seperti yogurt, kimchi, tempe dan sebagainya.

Fungsi utama probiotik adalah untuk meningkatkan kesihatan usus serta membantu sistem pencernaan kita. Sebagai contoh, satu gram tempe mengandungi sekitar 10 bilion probiotik.

Sementara itu, prebiotik ialah makanan kepada bakteria baik tersebut. Ia berfungsi sebagai sumber makanan untuk membantu bakteria berkembang dengan baik di dalam perut.

Prebiotik biasanya tidak dapat dihadam oleh badan manusia, tetapi ia penting untuk bakteria baik.

No Image Caption

Antara contoh makanan yang mengandungi prebiotik ialah pisang (terutamanya yang kurang masak), bawang putih dan saleri.

Bercerita tentang kesihatan usus, dalam kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa 95.1 peratus dewasa di Malaysia tidak mengambil buah dan sayur secukupnya setiap hari dengan purata hanya dua hidangan berbanding lima yang disyorkan.

Statistik ini amat membimbangkan kerana kekurangan pengambilan serat yang mencukupi bukan sahaja menjejaskan kesihatan sistem pencernaan tetapi juga boleh menyumbang kepada peningkatan penyakit kronik yang lain.

Suplemen probiotik boleh diambil, tetapi tujuannya bergantung kepada keperluan individu. Sebagai contoh:

  • Lactobacillus rhamnosus: Sesuai untuk memulihkan kesan sampingan selepas mengambil antibiotik, kerana antibiotik boleh membunuh bakteria baik di usus.
  • Bifidobacterium: Bagus untuk mengatasi masalah sindrom usus rengsa (IBS).
  • Streptococcus: Membantu masalah kulit.

Walaupun suplemen probiotik mempunyai manfaat, kita perlu fokus kepada asas pemakanan iaitu dengan mengamalkan lebih banyak banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.

Ini kerana produk makanan tambahan hanya bertindak sebagai pelengkap, bukan pengganti.

Jika ingin mengambilnya, pastikan jumlah bakteria baik mencukupi.

“Anda boleh mendapatkan nasihat yang lebih khusus sama ada daripada pakar dermatologi, pakar diet, atau ahli farmasi.

“Dengan panduan mereka, kita boleh dapatkan cadangan yang benar-benar sesuai. Sebenarnya ada ujian yang boleh dilakukan untuk mengenal pasti tahap mikrobiom dalam badan.

“Ujian ini dilakukan melalui sampel najis dan daripada itu kita boleh analisis apa yang kurang dalam tubuh, termasuk jenis strain bakteria yang kurang.

“Ini adalah cara paling tepat untuk mengenal pasti keperluan probiotik atau mikrobiom seseorang.

“Berdasarkan keputusan ujian tersebut, kita boleh tahu jenis probiotik yang perlu diambil atau strain bakteria mana yang perlu ditambah dalam diet harian kita,“ kata beliau.

No Image Caption

Kesihatan usus

Dalam pada itu, Syaza turut menjelaskan jika seseorang itu mengalami simptom tidak selesa pada perut seperti kembung atau rasa nak ke tandas sentiasa selepas mengambil suplemen probiotik, besar kemungkinan dosnya terlalu tinggi atau ia tidak sesuai dengan perut.

Jadi, mulakan dengan dos yang rendah terlebih dahulu.

“Sebenarnya, sekarang ini banyak kajian yang fokus pada hubungan antara usus dan otak, yang dikenali sebagai gut-brain axis.

“Penyelidikan ini sangat menarik kerana ia menunjukkan kaitan kesihatan usus dengan masalah kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan.

“Di pusat kami sendiri, pesakit yang ada masalah seperti major depressive disorder (MDD) biasanya didapati kurang mikrobiom dalam usus mereka. Bila diberi probiotik dengan strain tertentu, barulah ada peningkatan dalam keadaan mereka.

“Probiotik juga penting kerana ia boleh membantu mengurangkan keradangan, meningkatkan sistem imun dan menjaga kesihatan keseluruhan badan.

“Oleh sebab itu, kesihatan usus tak hanya untuk turunkan berat badan, tapi juga untuk kesihatan mental dan kesejahteraan umum,“ ujar Syaza.

Setakat ini, tiada saranan spesifik untuk jumlah probiotik yang perlu diambil setiap hari.

Paling penting, seseorang itu harus cukupkan pengambilan prebiotik seperti sayur dan buah.

Antara cadangan mudah yang boleh dipraktikkan adalah makan sayur sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Setiap hidangan ini diambil kira-kira empat sudu besar sayur yang dimasak atau satu cawan sayur mentah seperti ulam atau salad.

Pengambilan buah pula, dua hidangan dalam satu hari.

Oleh yang demikian, sudah memadai mendapatkan prebiotik daripada sayur-sayuran dan buah-buahan terlebih dahulu.

Itu yang paling penting dan asas kepada kesihatan yang lebih baik.

Sebenarnya tidak semua orang perlukan probiotik.

Memadai seseorang itu memenuhi keperluan prebiotik melalui makanan harian.

Namun, jika ada keadaan tertentu seperti masalah Irritable Bowel Syndrome (IBS), barulah probiotik mungkin diperlukan untuk membantu keadaan tersebut.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang