Fesyen dan kopi bersatu, koleksi eksklusif Tudung Ruffle- Gigi Coffee beri sentuhan unik dengan corak moden minimalis
JIKA dahulu, tudung bawal sering dilabel sebagai tudung ala kampung. Namun, seiring perkembangan semasa dan dikomersialkan, membuatkan tudung bawal semakin popular.
Ditambah pula dengan rekaan yang diubah suai terutama dari segi corak dan potongan, membuatkan ia mempunyai peminat tersendiri.
Bagi pencinta tudung bawal, pasti cukup mengenali Tudung Ruffle, salah satu jenama hijab terkenal masa kini.
Menjengah dalam industri fesyen pada 2014, label itu mengkhususkan pada inovasi dan improvisasi terutama dalam hal reka bentuk yang ringkas, namun menarik mata memandang.
Empayar hijab yang dimiliki wanita cantik manis bernama Hanis Arif itu menawarkan koleksi tudung berkualiti tinggi, menepati syariah dan memenuhi cita rasa pelanggan.
Siapa sangka, pemilik bisnes yang asalnya memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan, akhirnya beralih minat kepada bisnes tudung.
Bermula dengan bawal yang mempunyai ropol-ropol, tuan punya badan mesra disapa Nononess atau Anis kemudiannya menampilkan stail terbaharu mengikut apa yang terakam dalam fikirannya, selain mementingkan pilihan pelanggan yang gemarkan benda baharu tetapi tetap sopan dan mengutamakan keselesaan.
Justeru, Anis bijak melakukan eksplorasi, mencari dan memahami gaya serta fesyen terkini. Selain bawal, label itu turut mengeluarkan koleksi selendang dengan potongan terkini dan menarik bagi memenuhi selera peminat rekaan tersebut.
Bukan hanya mengeluarkan tudung rona polos, pilihan hijab bercetak turut digilai ramai. Yang membuatkan jenama tersebut sentiasa menjadi buruan peminatnya adalah signatur yang tampil dengan rona pastel mampu menyerlahkan keanggunan pada wanita menggayakannya.
Corak moden minimalis
Bagi mereka yang mementingkan corak moden namun minimalis dan dijual pada harga berpatutan, semestinya setiap satu helaian dikeluarkan tidak akan dilepaskan.
Mengetengahkan material premium voile kapas yang mudah dibentuk dan ringan, kali ini Tudung Ruffle memperkenalkan empat rekaan eksklusif dan bergaya untuk koleksi tudung terhad iaitu Lottie, Arista, Crema serta Praline.
Untuk anda yang gemarkan reka bentuk gerai kopi dan cawan yang sempurna hasil lukisan tangan, semuanya digandingkan dengan cantik untuk mencipta Lottie.
Lebih istimewa lagi, setiap pembelian koleksi tersebut disertakan dengan beg pouch yang ringkas namun praktikal. Selain untuk menyimpan tudung, anda juga boleh jadikan ia sebagai bekas menyimpan alat solek atau pakaian solat.
Koleksi tersebut tersedia dalam lima warna yang akan melengkapi busana dengan sempurna selain membuatkan penampilan anda lebih selesa dalam bergaya.
Untuk golongan wanita gemarkan penampilan lebih comel dan terserlah, gayakan koleksi dolce yang menawarkan rona lembut, sesuai buat anda kelihatan manis serta feminin.
Lebih istimewa lagi, koleksi terbaharu itu hasil kolaboratif label berkenaan dengan jenama kopi popular, Gigi Coffee.
Mainan rona tanah sehinggalah kepada warna berani seperti hitam dipersembahkan dengan begitu menarik pada setiap satu koleksi tersebut.
Terdapat empat corak rekaan, dengan setiap satunya mempamerkan keunikan tersendiri sesuai buat peminat minimalis atau estetika yang bertenaga.
Menerusi kerjasama tersebut, Gigi Coffee yang menyambut ulang tahun kelima turut melancarkan minuman istimewa, Rose Lychee Latte.
Ciptaan eksklusif itu khas bagi memenuhi selera pencinta kopi bersempena dengan Sambutan Hari Kopi Antarabangsa dan pengumuman status halal Gigi Coffee pada Oktober.
Ia sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan jenama berkenaan, menonjolkan komitmen kedua-dua jenama dan selari dengan usaha Gigi Coffee untuk menyediakan pengalaman kopi istimewa dan berkualiti tinggi serta keanggunan dan kepelbagaian Tudung Ruffle dalam dunia fesyen.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang