Kajian tikus bukan bukti perubatan, hati-hati beli produk merapu di pasaran

October 13, 2020
Oleh Farah Eliani

KINI, pelbagai produk sama ada produk kecantikan, produk melangsingkan dan juga produk kesihatan banyak dijual di pasaran.

Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, produk-produk berkenaan kadangkala dilihat membuat tuntutan yang berlebihan (overclaim) dengan slogan dan tagline masing-masing sehingga boleh mengaburi mata orang ramai.

Menurut perkongsian Dr Che Puteh menerusi Twitter miliknya, orang ramai perlu bijak menolak desakan membeli produk-produk merapu berkenaan.

Bagaimana caranya?

“Mudah sahaja, pertama sekali semak nombor pendaftaran produk di laman web Agensi Peraturan Farmasi Nasional (NPRA) atau menggunakan aplikasi NPRA,” tulisnya.

Ketahuilah bahawa, jika ia produk kosmetik, tiada pendaftaran ubat atau produk tradisional, ia tidak boleh membuat tuntutan merawat penyakit kronik.

Pada masa sama, makanan bukanlah ubat.

Iklan

“Jika penjual mengemukakan surat pengkelasan makanan, ia bukan ubat dan tidak boleh membuat tuntutan merawat penyakit.

“Apa ke roti membuat dakwaan merawat penyakit? Melainkan sedap dimakan begitu sahaja,” selorohnya.
Selain itu, hati-hati dengan testimoni kerana ia bukan bukti perubatan.

“Testimoni boleh direka dan bersifat berat sebelah,”.

Iklan

Katakan pesakit A mengambil ubat kencing manis dan dalam masa yang sama pesakit A turut mengambil suplemen XYZ. Bolehkah suplemen XYZ mendakwa kencing manis A terkawal disebabkan olehnya? Sudah pastinya tidak…

Bukan itu sahaja, orang ramai juga boleh membuat perjanjian dengan penjual.

“Dalam erti kata lainnya, jika penjual mendesak, buatlah perjanjian jika penyakit menjadi semakin teruk dan tidak terkawal, penjual perlu membayar ganti rugi dan jangan lupa simpan bukti perubatan,” jelasnya.

Sentiasalah beringat, kajian pada tikus bukan bukti perubatan.

Kajian yang dilakukan pada tikus kerana ia mempunyai persamaan dari segi DNA dengan manusia tetapi kesan pada tikus tidak semestinya sama pada manusia.

“Jadi, kajian tabung uji atau tikus bukan bukti perubatan,” pesannya.