Anak kerap sakit? Ibu bapa jangan cepat salah faham, fahami dulu puncanya

No Image Caption
A
A
A

BATUK kecil yang tidak kebah, demam ringan yang datang dan pergi atau ruam halus di kulit sering kali dianggap perkara biasa.

Namun, ibu bapa hari ini, setiap simptom yang berlaku pada anak-anak mudah mencetuskan keresahan.

Apatah lagi apabila penyakit berjangkit seperti HFMD, influenza dan campak kembali mencatat peningkatan kes, sekali gus mengganggu rutin harian, persekolahan anak serta emosi seisi keluarga.

Hakikatnya, fasa anak kerap jatuh sakit adalah sebahagian daripada proses pembesaran, khususnya pada usia awal.

Menurut Pakar Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Dr Ch’ng Tong Wei, kanak-kanak kecil boleh mengalami jangkitan lapan hingga 12 kali setahun dan keadaan itu masih dikira normal.

“Sistem imun kanak-kanak ibarat kertas kosong. Setiap jangkitan membantu tubuh membina antibodi dan menguatkan daya tahan badan mereka,” jelas Dr Ch’ng.

Proses tersebut berlaku secara berperingkat, sebab itulah kanak-kanak yang lebih besar dan orang dewasa jarang dijangkiti berbanding anak kecil.

Di Malaysia yang beriklim tropika, penyakit sering berulang, termasuklah influenza A dan B, RSV, adenovirus, HFMD, selesema perut atau jangkitan pada perut dan usus serta denggi.

Penyakit seperti cacar air dan campak pula masih berlaku, terutamanya apabila kadar vaksinasi menurun. Persekitaran tertutup seperti taska dan prasekolah menjadikan penularan kuman lebih mudah.

Cabaran terbesar ibu bapa adalah untuk membezakan jangkitan ringan dan keadaan yang memerlukan perhatian perubatan segera.

Dr Ch’ng menjelaskan, kebanyakan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang sihat bersifat self-limiting dan akan pulih sendiri.

“Jika demam tidak melebihi tiga hari, anak masih aktif serta boleh makan dan minum walaupun selera berkurang, kebiasaannya ia jangkitan ringan,” katanya.

Namun ibu bapa perlu segera mendapatkan rawatan sekiranya demam berlarutan, anak sukar bernafas, terlalu mengantuk, muntah atau cirit-birit berterusan atau ruam merebak dengan cepat," ujar beliau.

No Image Caption

Tahap imuniti anak

Malah kata pakar itu lagi, walaupun jarang berlaku, jangkitan yang terlalu kerap dan teruk boleh menjadi tanda masalah imun.

"Kanak-kanak dengan imunodefisiensi lazimnya memerlukan rawatan hospital berulang, mengalami jangkitan luar biasa atau menunjukkan pertumbuhan yang tidak memuaskan.

"Ujian lanjut hanya dilakukan jika terdapat petunjuk yang jelas," kongsinya.

Selain faktor genetik, gaya hidup turut mempengaruhi tahap imuniti anak. Kurang tidur, pemakanan tinggi gula, pendedahan kepada asap rokok, pencemaran dan persekitaran sesak boleh melemahkan daya tahan badan.

Justeru, rutin sihat seperti tidur mencukupi, bermain di luar, pemakanan seimbang, kebersihan tangan dan sokongan vitamin D membantu menguatkan imuniti.

“Tidak perlu bergantung kepada suplemen mahal. Asas gaya hidup sihat sudah mencukupi untuk kebanyakan kanak-kanak,” tegas Dr Ch’ng.

Pencegahan kekal sebagai langkah terbaik. Vaksinasi bukan sahaja mencegah jangkitan serius, malah mengurangkan risiko wabak.

No Image Caption

Pemeriksaan kesihatan berkala pula membantu memantau tumbesaran, perkembangan dan kesejahteraan anak secara menyeluruh.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar tidak menyalahkan diri apabila anak jatuh sakit.

“Ia sebahagian daripada proses membesar. Kenali tanda amaran, kekalkan rutin sihat dan percayai naluri anda.

"Tindakan awal dan pengetahuan yang betul membantu ibu bapa melalui fasa ini dengan lebih tenang dan yakin," ungkapnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang