Jangan sembarangan ambil ubat titik mata! Boleh kena glaukoma, buta seumur hidup

No Image Caption
A
A
A

GLAUKOMA, sejenis penyakit mata yang boleh menyebabkan seseorang itu buta kekal.

Ramai yang tidak menyedari mereka mengidap penyakit itu sehinggalah penglihatan mula terjejas. Ini kerana ia datang secara senyap dan tanpa amaran.

Glaukoma dalam bahasa Inggeris adalah progressive optic neuropathy. Progressive maksudnya keadaan itu tidak kekal atau semakin lama semakin memburuk.

Optic neuropathy pula ialah saraf optik iaitu saraf mata kita yang membawa informasi daripada retina ke otak untuk diinterpretasi kepada gambar atau imej mengalami masalah.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi Umum dan Kanak-kanak di MSU Medical Centre Shah Alam, Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah, glaukoma adalah sejenis progressive optic neuropathy, iaitu penyakit yang menyebabkan kemerosotan saraf optik secara berterusan.

No Image Caption

Kerosakan itu semakin lama semakin serius dan boleh menjejaskan penglihatan dari masa ke masa jika tidak dirawat.

Antara faktor risiko berlakunya glaukoma pada seseorang ialah:-

  • Usia - Berlaku terhadap individu selepas umur 40 tahun. Oleh itu, sebaiknya individu usia ini membuat pemeriksaan mata secara berkala seperti dua atau tiga tahun sekali.
  • Sejarah keluarga - Jika ibu bapa atau adik-beradik ada masalah mata, khususnya glaukoma atau masalah penglihatan serius, kita juga berisiko. Kadangkala, terdapat ahli keluarga tidak sedar mereka menghidap glaukoma.
  • Punca daripada penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Tambah Dr Aisyah, terdapat beberapa jenis glaukoma. Antaranya, glaukoma sudut terbuka dan glaukoma sudut tertutup. Selain itu, glaukoma juga boleh terjadi akibat tekanan tinggi dalam bola mata, atau boleh berlaku pada tekanan yang normal, yang dikenali sebagai normal tension glaucoma.

Paling kerap berlaku ialah primary open angle glaucoma (POAG) atau glaukoma sudut terbuka primer. Sementara itu, glaukoma sudut tertutup dikenali sebagai close angle glaucoma.

“POAG dan NTD biasanya tiada simptom. Oleh kerana itulah glaukoma dikenali sebagai ‘pencuri penglihatan secara senyap‘ atau silent thief of sight. “Kebanyakan orang tidak sedar mereka menghidap glaukoma sehingga penglihatan mereka mula terjejas teruk. Malah, dalam kes-kes yang lebih serius sehingga menjadi buta,” tambah beliau.

Pemeriksaan mata

Berbeza pula bagi glaukoma sudut tertutup. Apabila sudut dalam mata tertutup dan tekanan meningkat secara mendadak, pesakit akan mengalami simptom yang jelas dan akut. Antaranya, mereka akan merasa terlalu sakit pada mata, mata menjadi merah dan mungkin mengalami muntah.

Penglihatan juga akan terganggu dengan munculnya lingkaran cahaya atau halos di sekeliling sumber cahaya.

Sekitar 70 peratus pesakit glaukoma menghidap glaukoma sudut terbuka. Tiada simptom yang muncul bagi glaukoma jenis ini kecuali pada tahap akhir apabila pesakit mula menyedari bahawa penglihatan tepi (peripheral vision) mereka hilang.

Misalnya, sewaktu memandu, mereka mungkin tidak dapat melihat kenderaan datang dari arah tepi.

Sementelah itu, ada juga keadaan yang mana bayi menghidap glaukoma sejak lahir. Ia dikenali sebagai congenital glaucoma. Antara simptomnya ialah mata berair dan saiz mata yang kelihatan besar sedikit.

Mungkin sebelah mata lebih besar daripada sebelah lagi terutama jika keadaan sudah teruk.

Mata bayi yang ada glaukoma ini juga biasanya kelihatan berkabus, berbeza dengan mata normal yang nampak berkilat seperti kaca.

Keadaan tersebut berlaku akibat tekanan mata yang tinggi. Jika terdapat simptom sebegini, ibu bapa perlu segera berjumpa pakar mata kanak-kanak.

Cara terbaik untuk mengetahui jika seseorang menghidap glaukoma adalah melalui pemeriksaan mata yang menyeluruh. Antaranya:-

  • Tahap penglihatan akan diuji untuk memastikan jika terdapat kekaburan.
  • Doktor akan menggunakan alat slit lamp untuk memeriksa struktur mata. Terutamanya saraf optik kerana saraf yang tidak normal mungkin menunjukkan tanda-tanda glaukoma.
  • Doktor akan mengukur tekanan dalam mata, kerana 70 peratus penghidap glaukoma mempunyai tekanan mata yang lebih tinggi dari tahap normal yang perlahan-lahan merosakkan saraf mata sepanjang masa.Doktor juga mungkin melakukan visual field test untuk menguji medan penglihatan, terutamanya bahagian tepi yang biasanya terjejas dalam glaukoma. Alat ini membolehkan doktor mengesan sebarang kehilangan medan penglihatan yang pesakit mungkin tidak sedari.
  • Doktor mungkin melakukan ujian Optical Coherence Tomography (OCT) yang menggunakan teknik tomografi untuk menilai struktur saraf optik. Ujian ini memeriksa sama ada saraf masih normal atau sudah menipis, yang merupakan tanda-tanda kemerosotan akibat glaukoma.

No Image Caption

Menyentuh tentang rawatan, bagi orang dewasa biasanya bermula dengan ubat titis mata. Ubat berkenaan berfungsi sama ada mengurangkan penghasilan cecair di dalam mata (aqueous humour) atau meningkatkan saliran cecair tersebut.

Jika ubat itu tidak berkesan, pesakit boleh cuba rawatan laser dan sekiranya masih tidak berhasil, pilihan rawatan lain termasuk saliran ekstra dengan memasukkan implan atau akhirnya melakukan pembedahan.

Bagi kanak-kanak pula, rawatan biasanya memerlukan pembedahan sebagai pilihan utama. Ini kerana glaukoma pada mereka selalunya disebabkan oleh struktur mata yang tidak normal, maka saliran baru perlu dicipta untuk menurunkan tekanan mata.

“Jika seseorang sudah didiagnos dengan glaukoma, tiada cara untuk memulihkan penglihatan sepenuhnya. Apa yang boleh dilakukan hanyalah memperlahankan perkembangan penyakit.

“Biasanya, glaukoma menyebabkan kehilangan penglihatan dari tepi terlebih dahulu, sementara penglihatan di tengah masih kekal untuk sementara. Bagi memastikan penglihatan yang ada terus terpelihara, pesakit mesti mengambil ubat sepanjang hayat,” ujar pakar itu lagi.

No Image Caption

Steroid punca glaukoma

Ada satu lagi jenis glaukoma, iaitu secondary glaucoma. Ia berlaku bukan disebabkan oleh masalah dalam badan kita, tetapi faktor lain seperti penggunaan steroid. Jika ia dikesan dan rawat pada peringkat awal, mata masih boleh diselamatkan.

Berhenti penggunaan steroid membuatkan tekanan dalam mata mungkin akan kembali normal.

“Saya jumpa beberapa pesakit yang mengalami mata gatal. Kemudiannya mereka pergi ke farmasi ataupun doktor am dan diberikan ubat.

“Oleh sebab sudah biasa dengan ubat tersebut menyebabkan mereka mencari ubat yang ada steroid itu sendiri dan menggunakan tanpa pantauan daripada pakar mata.

“Kesan sampingan steroid ialah menyebabkan tekanan dalam mata tinggi sama seperti orang ada glaukoma. Tekanan ini boleh merosakkan saraf optik secara kekal, mengakibatkan risiko buta kekal,” ulas beliau.

Oleh itu, elakkan mengambil ubat titik mata tanpa nasihat daripada doktor mata. Jika mengalami sakit mata yang tidak sembuh dalam masa seminggu, sebaiknya berjumpa pakar mata untuk memastikan tiada bahan yang tidak sesuai, terutamanya steroid.

Selain itu, elakkan juga pengambilan herba atau jamu yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana dikhuatiri mengandungi steroid tersembunyi yang boleh menyebabkan glaukoma dan katarak.

“Ramai yang tidak tahu tentang glaukoma, malah penyakit ini boleh menyebabkan satu pengakhiran yang sangat menyedihkan iaitu seseorang itu menjadi buta.

Namun, ia adalah sesuatu penyakit yang boleh dielakkan dan masih boleh dirawat.

“Bagi yang menghadapi glaukoma bukan bererti apabila anda didiagnos, akan terus buta.

“Ada rawatan yang boleh melambatkan proses kehilangan deria penglihatan itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan untuk semua supaya menjaga kesihatan, elakkan dari terkena penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kedua-dua penyakit tersebut sememangnya berisiko untuk mendapat glaukoma.

“Bagi individu berusia 40 tahun ke atas, laburkan duit anda untuk kesihatan dengan mendapatkan pemeriksaan mata secara berkala. Terutama jika mereka mempunyai sejarah keluarga penghidap glaukoma,” ungkap Dr Aisyah lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang