Kanser kolon bukan main-main! Mula serang golongan muda

PADA masa kini, kes kanser kolon semakin meningkat terutamanya dalam kalangan golongan muda. Jika dahulu penyakit tersebut dikaitkan dengan individu yang lebih berusia, tetapi kini situasinya berbeza, bahkan ada pesakit bawah usia 50 tahun sudah mengalaminya. Kanser berkenaan ialah kanser utama dalam kalangan lelaki dan merupakan kanser kedua paling biasa dalam kalangan wanita.
Penyakit digeruni itu membabitkan usus besar seseorang. Kanser kolon atau rektum biasanya bermula daripada polip ataupun pertumbuhan kecil pada dinding usus dan perlahanlahan ia kemudiannya menjadi kanser. Justeru, pencegahan awal adalah sesuatu yang wajar dilakukan.

SOALAN 1
Kalau kita perhatikan kes-kes kanser ini, ada yang diketahui apabila sudah berada di tahap kritikal. Ramai antara kita masih menganggap saringan kanser kolon sebagai sesuatu yang menakutkan. Jadi bagaimana kita boleh ubah persepsi ini?
JAWAPAN
Sekitar 70 peratus pesakit didiagnosis dengan kanser kolon ketika mereka sudah berada di tahap ketiga atau keempat. Ini yang kita panggil sebagai advanced stage kerana kebanyakan pesakit pada peringkat awal tidak mengalami simptom yang ketara.
Pada mulanya, mereka mungkin hanya berasa lebih letih daripada biasa, tetapi ramai yang menganggapnya perkara biasa. Ada juga yang mengalami perubahan kecil dalam tabiat membuang air besar.
Contohnya, seseorang yang biasanya lawas tiba-tiba mengalami sembelit atau ciritbirit yang berpanjangan.
Bagi sesetengah orang, mereka boleh membuang air besar setiap hari, tetapi kadangkala coraknya berubah. Contohnya, mereka mungkin mengalami sembelit selama dua hingga tiga hari atau merasakan sakit ketika membuang air besar.
Namun, kebanyakan mereka hanya menganggapnya sebagai kesan stres atau keletihan kerja dan tidak menyedari bahawa ini mungkin tanda awal kanser kolon. Inilah sebabnya ramai pesakit tidak menyedari mereka menghidap kanser sehingga ia sudah berada pada tahap yang lebih serius. Mereka tidak mempunyai kesedaran bahawa perubahan ini sebenarnya adalah tanda-tanda yang luar biasa dan memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor. Ujian yang biasa dilakukan jika kita mengesyaki kanser kolon ialah kolonoskopi. Sebenarnya, prosedur ini tidaklah menakutkan seperti yang disangka. Ini kerana pesakit biasanya diberikan ubat pelali untuk tidur seketika, jadi mereka berasa selesa dan tidak terlalu sedar semasa prosedur berlangsung.

SOALAN 2
Dalam era perubatan terkini, sejauh mana rawatan kanser kolon di Malaysia telah disesuaikan mengikut keperluan individu?
JAWAPAN
Rawatan kanser kolon biasanya bergantung kepada tahap kanser itu sendiri.
• Tahap satu dan dua
Pembedahan biasanya mencukupi untuk membuang sel kanser.
• Tahap tiga dan empat
Selain pembedahan, pesakit mungkin perlu menjalani rawatan tambahan seperti kemoterapi atau radioterapi.
Rawatan kimoterapi biasanya dilakukan dalam beberapa kitaran yang mana jumlah pusingan bergantung kepada keperluan pesakit.
Tempoh rawatan biasanya berlangsung antara tiga hingga enam bulan. Dalam sesetengah kes, rawatan boleh berlanjutan melebihi enam bulan bergantung kepada tahap kanser.

Langkah komprehensif tingkatkan kesedaran
Kempen Pendidikan Awal – Kerajaan perlu melancarkan kempen melalui media sosial untuk meningkatkan kesedaran tentang saringan dan pengesanan awal.
• Kesedaran di Sekolah
Guru boleh mendidik pelajar mengenai gaya hidup sihat untuk pencegahan penyakit.
• Fasiliti Saringan
Perlu lebih banyak pusat saringan bagi memudahkan akses orang ramai.
• Klinik Bergerak
Menyediakan saringan di kawasan luar bandar untuk pengesanan awal.
• Promosi Gaya Hidup Sihat
Galakkan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal sebagai langkah pencegahan utama.
Langkah paling penting dan praktikal dalam menjaga kesihatan adalah mengamalkan gaya hidup sihat serta menghindari tabiat merokok dan pengambilan alkohol berlebihan.
Selain itu, pemakanan seimbang yang kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijiran perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
Aktiviti fizikal juga memainkan peranan penting. Tidak semestinya melakukan larian dalam tempoh yang lama, cukup sekadar 30 minit sehari untuk bersenam dan bergerak aktif. Regangan badan juga digalakkan bagi mengekalkan fleksibiliti otot dan sendi.
Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat ini menjadi asas utama dalam mencegah pelbagai masalah kesihatan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang