Kenapa penat tak hilang walau dah rehat? Pakar kongsi tentang burnout & cara rawat diri
DALAM dunia serba pantas hari ini, ramai antara kita berlari tanpa henti mengejar tugasan kerja, komitmen keluarga dan tuntutan sosial.
Hasilnya, tubuh terasa lesu, fikiran kusut, emosi pula semakin rapuh. Situasi inilah yang dikenali sebagai burnout.
Burnout bukan sekadar rasa penat biasa. Ia adalah keletihan melampau yang melibatkan fizikal, mental dan emosi.
Seseorang yang mengalaminya mungkin hilang semangat bekerja, cepat marah, sukar tidur, malah boleh merosakkan hubungan peribadi.
Pakar Neuro-Linguistic Programming (NLP), Dr Hisham Dzakiria menjelaskan, burnout boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau kerjaya.
Katanya, keadaan itu berlaku apabila tekanan berpanjangan dibiarkan tanpa disedari. Lama-kelamaan ia menghakis tenaga dalaman dan membuatkan kita hilang rasa gembira dalam hidup.

Seperti yang dikongsikan beliau, “Burnout bukan tanda kelemahan, tetapi isyarat tubuh dan minda agar kita berhenti sejenak, menarik nafas dan mencari keseimbangan semula.”
Kajian antarabangsa turut menunjukkan burnout sering dikaitkan dengan tekanan kerja, beban tugasan yang melampau serta kurangnya keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya.
Jika tidak ditangani, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan serius termasuk kemurungan, penyakit jantung dan penurunan produktiviti.
"Antara gejala yang kerap berlaku termasuk rasa letih berpanjangan walaupun selepas berehat, hilang minat terhadap kerja atau hobi, sukar menumpukan perhatian, mudah naik angin dan cepat putus asa.
"Ingin saya tekankan, burnout bukan kelemahan peribadi, tetapi reaksi tubuh terhadap tekanan yang tidak terkawal.
“Yang penting bukan sekadar mengenali burnout, tetapi belajar untuk memulihkan diri dan mengekalkan tenaga serta semangat dalam setiap hari,” jelasnya.
Untuk mencegah burnout, setiap individu disaran menetapkan sempadan kerja yang jelas agar tidak membawa pulang tugasan pejabat ke rumah. Tidur yang cukup juga sangat penting kerana ia memberi kesegaran mental dan fizikal.
Selain itu, senaman ringan seperti berjalan selama 20 minit sehari boleh merangsang hormon endorfin yang membantu menstabilkan emosi. Penggunaan gajet juga perlu dihadkan, terutama sebelum tidur, bagi memastikan kualiti rehat lebih baik.
Dalam masa yang sama, penting untuk meluangkan masa melakukan aktiviti yang menenangkan jiwa seperti membaca, melukis atau berkebun.
Sokongan sosial juga tidak kurang pentingnya kerana berkongsi rasa dengan keluarga, rakan atau kaunselor boleh meringankan beban emosi.

Atas kesedaran itu, program Jom Rawat Burnout bakal diadakan pada 10 dan 11 September ini melibatkan 300 kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menurut Dr Hisham lagi, matlamat utama program tersebut adalah memberi kesedaran tentang tanda-tanda awal burnout.
Program tersebut turut memberi fokus kepada cara mengurus tekanan, membina semula kekuatan dalaman dan mencipta rutin kehidupan yang lebih sihat.
Dengan sokongan organisasi seperti AADK, ia membuktikan kepentingan menjaga kesihatan mental sama seriusnya dengan kesihatan fizikal.
Burnout mungkin tidak dapat dihapuskan sepenuhnya dalam hidup, namun dengan ilmu, strategi dan sokongan berterusan, kita mampu menguruskannya.
Yang penting, jangan abaikan tanda awal kerana kesejahteraan mental adalah kunci kepada kehidupan lebih bahagia dan produktif.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

