Mak ayah pantau anak sering gosok mata, baca buku dekat. Cenderung masalah rabun!
KANAK-kanak tidak terlepas daripada masalah rabun. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maju masa kini yang mana rata-rata terdedah kepada skrin gajet.
Rabun atau kesalahan refraktif berlaku apabila cahaya yang masuk ke dalam mata tidak dapat di fokus secara tepat di fovea (titik fokus pada saraf retina). Apabila perkara ini terjadi, maka imej atau apa sahaja yang kita lihat menjadi kabur.
Terdapat tiga jenis rabun, iaitu miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan astigmatism (rabun silau). Setiap rabun ini dinamakan mengikut kedudukan cahaya yang terfokus di dalam mata.
Menerusi laporan Jurnal Oftalmologi, dijangka separuh populasi dunia akan mengalami masalah rabun pada 2050.
Menurut Pakar Perunding Oftalmologi di LEC Eye Centre, Dr Ummi Kalsom Mohd Ali, pengesanan awal oleh ibu bapa, penjaga dan guru amat penting untuk mengenal pasti rabun dalam kalangan kanak-kanak.
Tanda-tanda seorang kanak-kanak itu mempunyai masalah rabun adalah:
- Selalu menggosok mata untuk melihat sesuatu objek.
- Sering mengecilkan mata untuk melihat sesuatu.
- Membawa objek contohnya buku terlalu dekat untuk membaca.
- Selalu memalingkan muka atau kepala untuk melihat sesuatu.
- Kedudukan bola mata tidak selari atau juling.
- Sering sakit kepala.
- Prestasi di sekolah merosot.
Menurut Dr Ummi lagi, kebanyakan kanak-kanak dikesan dengan masalah tersebut pada usia pra-sekolah.
“Ini kerana agak sukar untuk mengesan masalah rabun pada usia kurang dari umur empat tahun disebabkan mereka masih belum pandai menilai kualiti imej yang sepatutnya.
“Seorang kanak-kanak boleh berdepan dengan masalah rabun melalui faktor genetik atau keturunan dari ahli keluarganya.
“Selain itu, faktor lain yang mempengaruhi anak itu disebabkan kelahiran pramatang terutamanya yang memerlukan bantuan sokongan oksigen pada masa yang panjang,“ ujarnya lagi.
Oleh itu, pencegahan atau rawatan awal amatlah penting bagi memastikan penglihatan kanak-kanak tidak terjejas.
Langkah bantu masalah rabun:
- Elak penggunaan gajet di usia bayi atau usia yang terlalu awal.
- Kawalan masa penggunaan gajet, telefon pintar, televisyen dan komputer. Pastikan mereka berehat setiap 20 minit selepas menggunakan gajet. Dalam pada itu, memastikan anak anda memegang buku, telefon atau tablet pada jarak yang selesa iaitu lebih kurang 30 hingga 40 sentimeter dari mata untuk mengelakkan ketegangan mata.
- Dapatkan pencahayaan yang baik. Terutamanya ketika membaca buku atau melakukan tugasan sekolah. Elakkan membaca dalam keadaan gelap atau terlalu terang.
- Pemeriksaan saringan awal oleh pakar Oftalmologi terutama bagi golongan berisiko. Pemeriksaan mata ini penting untuk memantau perkembangan rabun jauh dan berbincang mengenai rawatan terbaik untuk kanak-kanak tersebut.
- Sekiranya kanak-kanak berkenaan disahkan mempunyai masalah rabun, pemakaian cermin mata merupakan rawatan utama bagi mendapatkan penglihatan yang jelas seterusnya dapat mengawal rabun mereka.
“Tempoh pemakaian bergantung kepada jenis dan tahap rabun itu sendiri, kebanyakan kes perlu memakai cermin mata sepanjang masa bagi mengelakkan berlakunya mata malas (amblyopia),“ jelas beliau.
Jangkitan kuman
Selain itu, pemakaian kanta lekap juga dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas dan memperlahankan perkembangan rabun jauh mereka.
Kanta lekap seperti orthokeratology, bertujuan mengubah bentuk permukaan mata buat sementara waktu dan dipakai semasa tidur dan dikeluarkan di siang hari.
Pun demikian, ia memerlukan penjagaan rapi terutamanya dari aspek kebersihan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman pada lapisan kornea mata.
Dalam pada itu, setiap rawatan bergantung kepada situasi atau tahap rabun dan masalah penglihatan kanak-kanak terbabit.
“Malah, rawatan spa mata juga boleh diambil untuk mengatasi masalah mata kering. Ia membantu mengurangkan simptom kepedihan, kabur penglihatan, mata merah dan berpasir.
“Secara tidak langsung ia memberi keselesaan dan memulihkan penglihatan terutama bagi mereka yang mempunyai masalah rabun dan perlu memakai kanta lekap atau selepas rawatan LASIK (Laser Assisted In Situ Keratomileusis),“ kongsinya lagi.
Mengulas lanjut mengenai rawatan yang diberikan semasa spa mata, antaranya adalah pembersihan kelopak mata dan tuaman suam pada kelopak mata.
Turut tersenarai, rawatan eksfoliasi kelopak dan bulu mata bagi merangsang penghasilan lapisan minyak dan air mata yang lebih sihat serta berkualiti. Ini akan menjamin permukaan mata yang lebih selesa dan sihat.
Tambah pakar itu lagi, rawatan tersebut membantu memberikan keselesaan kepada mata dan mengurangkan risiko seperti calar atau luka pada lapisan kornea yang boleh mengakibatkan jangkitan jika tidak dirawat.
Pun demikian, dinasihatkan rawatan spa mata dilakukan secara berkala dan konsisten untuk hasil lebih baik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang