Susah dapat anak, wanita sahaja dipersalahkan! Kualiti sperma boleh jadi penentu kesuburan

No Image Caption
A
A
A

BILA sebut tentang mandul, sudah menjadi kebiasaan wanita sahaja dipersalahkan, namun pada hakikatnya masalah ini boleh berlaku kepada lelaki.

Malah, ketidaksuburan lelaki menyumbang kepada kira-kira 50 peratus kes di seluruh dunia.

Di Malaysia, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) meletakkan ketidaksuburan lelaki di tahap membimbangkan apabila mereka mendapati bahawa 60 peratus keputusan ujian sperma adalah tidak normal.

Oleh itu, penting untuk kita menangani ketidaksuburan lelaki dan meneroka kemajuan dalam pilihan rawatan yang menawarkan harapan kepada pasangan yang bergelut untuk memiliki cahaya mata.

Menurut Pakar Reproduktif di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Chua Ai Chen, kemandulan lelaki disebabkan oleh dua faktor, iaitu masalah pengeluaran sperma atau sumbatan yang menghalang sperma daripada sampai ke ovum.

“Isu yang paling biasa saya lihat ialah bilangan sperma yang rendah disebabkan varikokel atau pembesaran urat dalam skrotum.

“Varikokel menjejaskan kira-kira 40 peratus lelaki yang mengalami masalah kesuburan lalu menyebabkan pengeluaran sperma berkurangan,” kata beliau.

Penyebab lain termasuklah ketidakseimbangan hormon, masalah genetik, dan pendedahan kepada persekitaran yang berbahaya seperti pencemaran, bahan kimia dan radiasi.

Gaya hidup juga memainkan peranan yang besar. Merokok, pengambilan alkohol, obesiti dan tekanan boleh menjejaskan kualiti sperma. Faktor seperti diet yang kurang baik, kurang bersenam dan corak tidur yang terganggu boleh menjejaskan kesuburan.

No Image Caption



Kualiti sperma akan menurun dari segi motility (pergerakan), morphology (bentuk) dan kiraan keseluruhan apabila usia lelaki semakin meningkat.

Lelaki yang lebih tua juga mungkin mengalami kadar pemecahan DNA sperma lebih tinggi sehingga menjejaskan perkembangan embrio dan meningkatkan risiko keguguran.

“Faktor usia penting, tetapi gaya hidup boleh meningkatkan kesannya.

“Daging yang diproses, minuman manis dan pengambilan kopi yang berlebihan boleh menurunkan kualiti sperma,” tambah Dr Ai Chen.

Kualiti sperma memainkan peranan penting untuk persenyawaan berlaku.

“Persenyawaan kemungkinan besar berlaku jika air mani yang dikeluarkan dalam satu ejakulasi mengandungi sekurang-kurangnya 15 juta sperma setiap mililiter.

“Bilangan sperma terlalu rendah boleh menyukarkan untuk hamil kerana terlalu sedikit sperma tersedia untuk menyuburkan telur,” jelas beliau.

Selain kiraan sperma, pergerakannya juga penting. Sperma harus berenang melalui serviks, rahim, dan tiub fallopio untuk mencapai telur.

“Walaupun kehamilan boleh berlaku dengan pergerakan kurang daripada 40 peratus, ia dianggap sebagai batas. Semakin banyak pergerakan sperma, semakin baik peluang untuk hamil,” kata Dr Ai Chen.

Sperma yang sihat biasanya mempunyai kepala bujur dan ekor panjang yang membolehkan ia berenang dengan cekap ke arah telur.

Jika bentuknya tidak normal boleh menjejaskan keupayaan untuk bergerak dengan betul, seterusnya mengurangkan peluang persenyawaan.

Kemandulan lelaki

Pun demikian, usah bimbang. Terdapat kemajuan dalam rawatan yang menawarkan harapan kepada ramai pasangan yang bermasalah.

Bagi lelaki yang mempunyai jangkitan pada saluran pembiakan, antibiotik sering diberikan, manakala steroid seperti prednisolone digunakan apabila sistem imun tersilap menyerang sperma.

Ketidakseimbangan hormon, seperti tahap prolaktin yang tinggi (dipanggil hiperprolaktinaemia) yang menjejaskan pengeluaran testosteron dan sperma, boleh dirawat dengan ubat seperti bromocriptine untuk membantu memulihkan tahap hormon normal.

Untuk keadaan yang lebih kompleks seperti ejakulasi retrograde, yang mana sperma masuk ke dalam pundi kencing dan bukannya keluar semasa ejakulasi, ubat-ubatan seperti imipramine boleh membantu.

Lelaki yang mengalami ketidaksuburan tidak dapat dijelaskan (jika tiada sebab yang jelas dikenal pasti) boleh mendapat manfaat daripada ubat yang dipanggil selective estrogen receptor modulators (SERM) yang membantu mengimbangi hormon dan meningkatkan kesuburan.

No Image Caption



“Terdapat kajian yang sedang dilakukan pada rawatan hormon baharu yang mungkin menawarkan lebih banyak pilihan yang disasarkan untuk lelaki yang mengalami ketidakseimbangan hormon.

“Kemajuan ini termasuk ubat baru yang sedang dikaji untuk mengawal hormon yang terlibat dalam pengeluaran sperma,” ujar Dr Ai Chen.

Satu lagi bidang penyelidikan tertumpu pada mengawal hormon perangsang folikel (FSH), hormon untuk pengeluaran sperma yang mungkin membawa kepada rawatan yang lebih berkesan untuk ketidaksuburan.

Adalah penting untuk sedar bahawa satu pertiga daripada kes ketidaksuburan terletak pada pasangan wanita.

Dr Ai Chen menjelaskan bahawa keadaan seperti anovulasi (kegagalan untuk melepaskan telur), endometriosis, fibroid, atau parut daripada pembedahan terdahulu boleh memberi kesan kepada kesuburan.

Walau bagaimanapun, kemajuan dalam rawatan kesuburan wanita membuahkan hasil bagi kebanyakan pasangan.

Bagi pasangan yang menghadapi ketidaksuburan, perjalanan mereka mencabar dari segi fizikal dan emosi.

Nasihat Dr Ai Chen, dapatkan bantuan lebih awal. Berunding dengan pakar kesuburan jika anda telah mencuba untuk hamil selama lebih setahun atau enam bulan serta wanita itu berumur lebih dari 35 tahun.

Tidak kurang juga kepentingan perubahan gaya hidup, seperti berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol dan mengekalkan diet seimbang kerana ini boleh memberi kesan positif kepada kesuburan lelaki dan wanita.

“Sesetengah kajian mencadangkan bahawa suplemen seperti antioksidan, termasuk vitamin C, vitamin E, dan zink, boleh meningkatkan kualiti sperma.

“Komunikasi antara pasangan juga adalah penting. Mengurus ketidaksuburan boleh meletihkan emosi, jadi penting bagi pasangan untuk menyokong satu sama lain dan menyertai kumpulan sokongan atau terapi jika diperlukan,” jelas beliau.

Kemandulan lelaki adalah faktor penting dalam perjuangan segelintir pasangan untuk hamil, tetapi kemajuan dalam rawatan kesuburan baik lelaki dan wanita menawarkan harapan baharu.

Daripada perubahan gaya hidup kepada teknologi perubatan termaju, pasangan hari ini mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini untuk mencapai impian mereka untuk membina keluarga.

Oleh itu, pesan Dr Chua kepada pasangan di luar sana supaya jangan putus harapan untuk mendapatkan bantuan awal. Pada masa sama kena amalkan gaya hidup yang sihat.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang