Tular makan sushi waktu pantang! Dr galak makan salmon kaya dengan nutrien

A
A
A

BERPANTANG sangat sinonim dengan wanita yang sejurus selepas melahirkan anak. Ini kerana tubuh mereka melalui peralihan yang ketara semasa hamil dan selepas bersalin. Oleh itu, penting untuk beri penekanan terhadap pemakanan mereka sepanjang tempoh ini bagi membantu proses penyembuhan dan melindungi kesihatan ibu dan bayi.

Baru-baru ini tular seorang pempengaruh yang baru melahirkan anak memakan sushi yang mengandungi ikan salmon mentah. Perkara ini telah menimbulkan kekeliruan ramai tentang perbuatan wanita ini.

Menurut Residen Doktor di Klinik Aurora Jalan Ipoh Kuala Lumpur, Dr Nur Rusydina Zulkefli, tidak menjadi masalah untuk ibu yang sudah bersalin untuk memakan ikan mentah atau raw salmon dalam bentuk sushi atau sashimi.

No Image Caption

Malah, tidak akan mendatangkan risiko pada kesihatan bayi jika ibu menyusu makan makanan mentah itu.

“Secara umumnya, ikan salmon sangat bagus jika dijadikan makanan berpantang kerana ia cukup kaya dengan nutrien seperti DHA iaitu sejenis lemak yang baik dan tinggi dengan kandungan protein.

“Namun begitu, semua makanan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya termasuklah makanan laut, daging atau telur masih ada risiko untuk mendapat keracunan makanan. Ia bukan sahaja kepada ibu dalam pantang, tetapi untuk semua orang,“ kata beliau.

No Image Caption

Malah pakar itu juga tidak menyarankan ibu hamil makan makanan mentah atau separuh masak. Ini bagi mengelakkan ibu yang hamil berdepan dengan kes keracunan makanan daripada kuman salmonella. Kuman itu dikatakan mampu merentasi placenta atau uri dan menjangkiti bayi serta menimbulkan komplikasi kepada bayi.

No Image Caption

Selain daripada memulihkan diri, tempoh berpantang juga penting untuk mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi terutamanya dalam penyusuan badan. Jadi, pemakanan sihat, tinggi nutrien dan seimbang sangatlah penting untuk kaum Hawa.

“Pastikan pengambilan karbohidrat yang berkualiti seperti nasi putih kerana merupakan sumber yang baik dalam kelas makanan tersebut. Dapatkan juga protein yang mencukupi dari sumber ikan, ayam, daging dan telur. Tidak lupa juga pengambilan sayur dan buah-buahan yang banyak untuk memberikan fiber dan nutrisi yang pelbagai daripada sumber makanan.

“Tidak kurang juga pentingnya pengambilan air yang secukupnya iaitu sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter air. Ini kerana dalam masyarakat kita masih ada lagi yang mengamalkan tidak boleh minum berlebihan semasa berpantang. Perkara ini tidak bagus untuk kesihatan kerana kekurangan air dalam badan boleh meningkatkan risiko darah beku, risiko rosak buah pinggang dan susu ibu juga menjadi tidak meriah,“ jelas beliau.

Masakan sihat

Sementelah itu, amalkan cara masakan yang sihat seperti kukus, sup atau bakar. Bukan hanya ketika pantang, tetapi lebih baik diamalkan seumur hidup.

Ibu tidak disarankan untuk makan makanan kurang sihat seperti bergoreng, pengambilan kafien yang berlebihan iaitu lebih dari tiga cawan sehari, pengambilan alkohol, makanan ringan yang tinggi dengan pengawet seperti lemak tepu, garam dan gula serta air manis terutamanya air berkarbonat.

Tambah Dr Rusydina, ibu dalam pantang memerlukan anggaran lebih 300 hingga 400 kalori sehari. Pastikan pengambilan protein yang secukupnya dalam setiap hidangan sarapan, tengahari dan malam.

Makanan yang dipilih juga perlu padat dengan nutrisi, iaitu pelbagai jenis buah-buahan atau kekacang seperti badam dan biji chia sebagai kudapan.

Ini kerana, ibu kerap lapar ketika menyusukan si kecil. Untuk mendapatkan susu ibu tinggi nutrien dan berkualiti, mereka boleh mengambil makanan yang mengandungi lemak sihat seperti avocado, minyak zaitun dan juga yogurt.

No Image Caption

Penting juga untuk wanita terutamanya yang bakal bersalin supaya mendidik diri tentang pantang larang zaman dahulu yang sebenarnya tidak baik untuk kesihatan. Contohnya, seperti pengambilan ikan kering yang masih diamalkan sehingga kini, sedangkan dari sudut kesihatan, ia tidak baik kerana menu itu sahaja tidak mencukupi untuk keperluan protein.

Pada masa sama, pakar itu menafikan mitos kononnya ibu dalam pantang tidak boleh memakan ayam atau telur. Menurut beliau, ia bergantung kepada individu tersebut. Jika seseorang itu sedari awal mengalami gatal-gatal jika makan telur, ayam ataupun makanan laut, lebih baik elak dari mengambilnya dikhuatiri ketika tubuh akan lebih sensitif terutama mengundang kegatalan.

Kembang urat

Ulas Dr Rusydina lagi, ada juga segelintir yang beranggapan ibu berpantang tidak boleh makan telur kerana menyebabkan nanah pada luka. Menurutnya, nanah berlaku disebabkan jangkitan, bukan disebabkan telur. Justeru, kaum ibu boleh makan telur semasa berpantang.

“Sama juga dalam pengambilan air sejuk, iaitu air yang diambil terus dari mesin air atau dari dalam peti ais bukan yang bercampur dengan ais. Tidak menjadi masalah asalkan minum air.

“Kadangkala ada yang mengatakan minum air sejuk nanti kembang urat, sebenarnya istilah itu tiada dalam sudut perubatan. Sakit urat itu bukan disebabkan oleh minum air sejuk tetapi bergantung kepada individu tersebut,“ ujarnya.

Begitu juga dengan makanan lain yang dianggap ‘sejuk‘ untuk badan yang dikatakan boleh menyebabkan bentan, terutamanya buah-buahan berair, seperti tembikai. Kononnya buah ini boleh menyebabkan bahagian bawah (vagina) menjadi berlendir atau berair.

Namun, dari sudut perubatan, tidak ada bukti yang menunjukkan sedemikian.

Bentan

Mengulas hal tersebut, doktor separuh masa dan juga pempengaruh, Dr Fatin Liyana Asri menjelaskan perihal bentan. Kata beliau, orang lama sering menggunakan istilah berkenaan.

No Image Caption

Mereka mengatakan perkara itu berhubung kait dengan salah makan, minum air sejuk atau panas dan terdedah dengan angin kipas.

Dari sudut perubatan, istilah berkenaan tidak wujud secara spesifik.

“Bentan yang dimaksudkan adalah jangkitan kuman sama ada pada rahim, payudara, saluran kencing ataupun mungkin komplikasi darah beku (VTE).

“Sistem tubuh akan kembali kepada keadaan fisiologi normal setelah selesai tempoh pantang iaitu selama 42 hari. Ramai yang berfikiran sebaik sahaja bayi dilahirkan, tubuh sudah kembali normal, tetapi sebenarnya belum.

“Dalam tempoh 42 tersebut, sistem jantung dan peredaran darah akan kembali pulih dan selepas itu, barulah anda kembali kepada keadaan fizikal sebelum mengandung,“ jelas beliau.

Jelasnya, walaupun dalam tempoh berpantang, ibu seharusnya kekal aktif. Tidak boleh hanya duduk atau baring sahaja. Mereka perlu juga berjalan-jalan di dalam rumah. Ini sangat penting bagi mengelakkan risiko darah beku.

Dari segi senaman pula, ibu boleh mulakan selepas enam minggu bersalin. Sebaik sahaja ibu tamat tempoh pantang, mereka boleh mulakan dengan senaman ringan.

Bagi mereka yang sudah mengamalkan bersenam sebelum mengandung, boleh secara perlahan capai ke tahap senaman itu.

“Selepas habis pantang, seseorang ibu itu boleh mula dengan berjalan kaki, berjalan pantas (brisk walk) dan secara beransur-ansur memulakan joging yang merupakan sebahagian daripada senaman kardiovaskular.

“Selain itu, mereka juga boleh melakukan senaman kekuatan (strengthening exercise) seperti senaman squat dan menggunakan dumbbell.

“Wanita dalam pantang juga dicadangkan untuk teruskan pengambilan vitamin pranatal, iaitu vitamin untuk ibu mengandung. Ia bagus kerana mengandungi zat besi, asid folik dan kalsium. Vitamin ini boleh membantu badan ibu untuk sembuh yang mana zat besi membantu untuk tambah darah merah kerana ibu kehilangan darah merah ketika bersalin,“ jelasnya lagi.

Sebagai ahli keluarga, anda perlu elakkan seseorang ibu daripada mengalami tekanan yang boleh mengganggu proses pemulihan seseorang. Ini bagi mengelak sang ibu mengalami kemurungan selepas bersalin (postpartum depression).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang