SUKAR untuk menidakkan penularan virus Covid-19 yang bermula di Wuhan, China pada 17 November tahun lalu bukan sahaja menjejaskan, malah mengubah hidup masyarakat di seluruh dunia.

Bayangkan, tatkala masing-masing bebas menjalani kehidupan baik keluar mencari rezeki, menghadiri kuliah, bercuti di pusat peranginan mahupun membeli-belah di gedung, namun situasi tahun 2020 menyaksikan perbezaan ketara.

Masyarakat mula paranoid untuk meninggalkan kediaman, apatah lagi mereka yang memiliki anak kecil dan warga emas.

Pada masa sama, kita juga disarankan membiasakan diri dengan norma baharu antaranya memakai pelitup muka, menjaga penjarakkan fizikal, kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Bercakap mengenai norma baharu, kumpulan pereka fesyen tempatan juga tidak terkecuali. Masakan tidak, buat pertama kalinya mereka melaksanakan ‘norma baharu’ khususnya sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Jika kebiasaannya awal minggu Ramadan pereka fesyen tidak menang tangan menyempurnakan tempahan koleksi raya, tetapi situasi berubah 360 darjah.

Sebahagian besar pereka fesyen nampaknya sanggup mengetepikan busana glamor apabila mengambil keberkatan bulan baik menyiapkan set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk pasukan perubatan yang mengendalikan pesakit Covid-19.

Justeru, segmen Sihat Cantik mengimbas cerita lima pereka fesyen tempatan yang telah bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab sosial menghasilkan PPE.

1- Datuk Radzuan Radziwill

radzuan radziwill
Menyedari petugas perubatan berdepan masalah kekurangan PPE, beliau merupakan kumpulan pereka fesyen terawal bersama Salikin Sidek dan Qudyn Aziz menjalankan misi menghasilkan set perlindungan tersebut.

Usaha murni itu dilakukan di kediaman peribadi sebelum dihantar ke beberapa buah hospital di sekitar Lembah Klang.

“Sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya manfaatkan masa dengan aktiviti seumpama ini (siapkan PPE).

“Saya menjahit tujuh item PPE antaranya jaket labuh, sarung kasut dan penutup kepala menggunakan material mengikut spesifikasi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya menerusi video dimuat naik dalam Facebook sekitar Mac lalu.

2- Calvin Thoo

calvin thoo
Calvin berusia 49 tahun pernah menzahirkan, hatinya tidak tenang jika mempromosikan koleksi baju raya dalam keadaan negara berdepan pandemik.

“Dalam situasi hari ini, lebih wajar saya menyumbang tenaga dan idea menjahit PPE. Inisiatif ini dilaksanakan selepas mendengar luahan hati sahabat yang berkhidmat sebagai kakitangan perubatan.

“Mereka bimbang sekiranya set PPE kehabisan bekalan ketika mengendalikan pesakit Covid-19,” katanya kepada SinarPlus dalam satu temu bual sebelum ini.

Calvin yang berpengalaman selama hampir dua dekad dalam industri fesyen lokal mendapatkan sampel dan material daripada rakan pereka, Datuk Radzuan Radziwill dan Salikin Sidek serta pihak hospital.

Kelengkapan menggunakan fabrik tanpa tenun daripada serat pendek dibekalkan ke hospital sekitar Pahang dan Terengganu.

3- Datuk Jovian Mandagie

jovianKeunikan gaun PPE rekaan Jovian terletak pada warna putih simbolik kemurnian hati pasukan perubatan negara yang sanggup berkorban masa dan nyawa dalam memerangi Covid-19.

Iklan

Rata-rata warga maya menyifatkan karya PPE beliau setaraf rekaan label terkemuka antarabangsa, Louis Vuitton.

Begitu mengujakan apabila barisan pereka tersohor seperti Jovian berjaya meletakkan rekaan PPE pada tahap istimewa.

4- Rizman Ruzaini

rizman ruzaini

Pereka fesyen duo, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil (Rizman Ruzaini) juga tidak terkecuali menghasilkan PPE jahitan kemas, selesa dan berkualiti.

“Kami tidak ambil mudah soal kualiti kerana frontliners layak memakai produk terbaik meskipun PPE akan dibuang selepas digunakan,” jelasnya ringkas.

Iklan

Tambah Rizman Ruzaini, dalam keadaan genting menghasilkan PPE buat frontliners lebih utama berbanding busana raya.

5- Melinda Looi

melinda
Beliau menyifatkan meskipun bisnes fesyen ditutup sementara sepanjang tempoh PKP lalu, itu tidak bermakna kemahiran yang dimiliki dibiarkan ‘berehat’ begitu sahaja.

Lantas, Melinda yang merupakan Presiden Malaysian Official Designer’s Association (MODA) mengambil inisiatif serupa menyiapkan PPE.

Perjalanan tanggungjawab sosialnya, dipermudahkan apabila dipertemukan dengan Liyana Zainal yang membantu menguruskan bekalan material.

Sumber: Instagram dan Facebook pereka fesyen