Gula berlebihan undang bahaya! Amalkan langkah ini demi kesihatan
PENGAMBILAN gula dalam kehidupan seharian bukanlah sesuatu yang buruk kerana tubuh badan kita sememangnya memerlukan bahan pemanis itu untuk menghasilkan tenaga supaya boleh meneruskan aktiviti seharian.
Jumlah gula yang selamat untuk diambil setiap hari mungkin bergantung kepada pengambilan kalori keseluruhan, tahap aktiviti dan faktor lain.
Secara umumnya, adalah lebih baik untuk mengelakkan gula tambahan jika boleh kerana ia tidak mengandungi nutrien yang bermanfaat.
Malah, menyumbang kepada penyakit yang sebenarnya boleh dielakkan.
Menurut Doktor Perubatan & Estetik di Prinz Medical Clinic, Dr Amanda Elli, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan pengambilan kalori dalam sehari.
Contohnya, lelaki mengambil sekitar 2,200 kalori dalam sehari manakala wanita sekitar 2,000 kalori.
“Pengambilan gula sangat memberi impak kepada berapa banyak kalori yang kita ambil dalam sehari.
“WHO menyarankan dalam kalori yang kita ambil dalam sehari, hanya 10 peratus daripadanya adalah kalori gula tambahan.
“Selain itu, semua makanan lain seperti sayur-sayuran, daging, bijirin juga mengandungi kalori gulanya tersendiri. Oleh itu, kita perlu kurangkan pengambilan kalori daripada bahan pemanis tambahan,” kata beliau.
Kesan pengambilan bahan tersebut:
- Boleh menyebabkan diabetes
- Meningkatkan risiko penyakit Alzheimer yang mana ia menyebabkan kita menjadi semakin pelupa dari masa ke masa.
- Kulit menjadi cepat tua atau dalam erti kata lain, mempercepat proses penuaan dan mengundang masalah jerawat.
Tambah Dr Amanda lagi, dalam semua benda yang diambil mengandungi gula meskipun sedikit. Walapun bahan tersebut antara nutrien penting untuk badan memproses tenaga lebih-lebih lagi kepada anak kecil dalam membina pertumbuhan badan.
Namun, minimumkan pengambilan gula tersebut bagi mengelak kesan buruk pada kesihatan diri.
Memetik dari Healthline, langkah mudah untuk mengurangkan pengambilan gula adalah melalui:
1. Kurangkan minuman manis
Kebanyakan gula tambahan dalam diet datang daripada minuman bergula seperti soda, minuman tenaga, teh manis, dan lain-lain. Malah, minuman yang dianggap sihat seperti smoothie dan jus buah juga mengandungi banyak gula tambahan.
Pilih minuman yang lebih sihat dan rendah gula seperti air kosong, teh hijau dan kopi.
2. Elakkan pencuci mulut bergula
Makanan yang mengandungi gula yang tinggi menyebabkan lonjakan gula dalam darah. Kesannya, mudah rasa letih, lapar dan menginginkan lebih banyak makanan manis. Contohnya kek, pai, donat, dan aiskrim yang menyumbang lebih 18 peratus gula tambahan dalam diet.
Jika anda inginkan makanan yang lebih rendah gula tetapi mampu memuaskan keinginan, boleh ambil alternatif seperti buah segar, Yogurt Greek dengan buah, atau coklat gelap (70 peratus koko atau lebih).
3. Elakkan pengambilan sos yang mengandungi gula tambahan
Sos sememangnya mengandungi gula yang tinggi. Contohnya, satu sudu besar sos tomato mengandungi kira-kira satu sudu teh gula. Pilih perasa dan sos berlabel 'tanpa gula tambahan' untuk mengurangkan gula tersembunyi.
4. Makan makanan semula jadi
Makanan yang belum diproses atau ditapis lebih baik kerana bebas daripada bahan tambahan. Ini termasuk buah-buahan, kekacang, bijirin penuh, sayur-sayuran dan daging.
5. Berhati-hati dengan snek ‘sihat’
Beberapa snek mungkin kelihatan sihat tetapi sebenarnya mengandungi gula yang banyak. Contohnya bar granola dan buah kering.
6. Hadkan menu sarapan bergulaPilih sarapan rendah gula seperti oat dengan buah segar, Yogurt Greek dengan buah dan kacang, telur dadar atau avokado dengan roti bijirin penuh.
7. Baca label
Semak label makanan dan baca senarai ramuan untuk mengenal pasti gula tambahan.
8. Pengambilan lebih protein
Sumber protein yang baik termasuk daging, ikan, telur, produk tenusu penuh lemak, avokado dan kacang.
9. Tukar kepada pemanis tanpa kalori semula jadi
Pemanis tanpa kalori seperti stevia adalah pilihan lebih baik berbanding pemanis tiruan kerana tidak mengganggu kawalan gula dalam darah.
10. Dapatkan tidur yang cukup
Kurang tidur boleh menyebabkan kita memilih makanan yang tinggi gula, lemak, garam, dan kalori. Tidur yang baik membantu kita untuk mengawal keinginan terhadap makanan manis.
Mengurangkan pengambilan gula adalah langkah kecil yang boleh membawa perubahan besar dalam kesihatan kita. Justeru, pilihlah untuk hidup lebih sihat mulai hari ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang