Penderaan warga emas: Isu serius yang tidak boleh diabaikan

No Image Caption
A
A
A

Oleh Dr Tay Hui Sian, Pakar Geriatrik dan Perubatan Dalaman, Pantai Hospital Ayer Keroh

PENDERAAN warga emas semakin menjadi isu membimbangkan di seluruh dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada enam orang berumur 60 tahun ke atas pernah didera, namun banyak kes tidak dilaporkan kerana rasa takut, malu atau tidak berdaya.

Apa itu penderaan warga emas?

Ia merujuk kepada perbuatan atau kegagalan bertindak yang mendatangkan kecederaan, tekanan emosi, kerugian harta, atau pengabaian terhadap individu berumur 60 tahun ke atas.

Penderaan ini boleh berlaku di rumah, pusat jagaan, atau kemudahan kesihatan dan dilakukan oleh ahli keluarga, penjaga, atau orang luar.

Jenis-Jenis penderaan

  1. Penderaan fizikal - Seperti memukul, menolak, menampar, atau mengikat. Tanda-tanda: Lebam, luka, patah tulang, melecur, kerap jatuh, takut pada penjaga.
  2. Penderaan emosi/psikologi - Melibatkan penghinaan, ugutan, merendahkan maruah atau pengasingan sosial. Tanda-tanda: Murung, cemas,tidak berdaya,gangguan tidur, kurang selera makan, terlalu diam.
  3. Penderaan seksual - Sebarang sentuhan,pendedahan alat sulit atau perlakuan seksual tanpa kerelaan. Tanda-tanda: Lebam atau pendarahan di kawasan sulit, seluar dalam koyak, takut disentuh.
  4. Eksploitasi kewangan - Menggunakan wang, aset atau harta warga emas tanpa izin. Tanda-tanda: Wang hilang, perbelanjaan luar biasa, perubahan wasiat.
  5. Pengabaian oleh penjaga - Tidak menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, rawatan, ubat dan kebersihan. Tanda-tanda: Kurus, dehidrasi, kebersihan rendah, luka tekanan (bed sores).
  6. Pengabaian diri - Warga emas tidak mampu urus diri dan enggan bantuan. Tanda-tanda: Berat turun mendadak, rumah kotor, tidak mandi, tidak ambil ubat.

 

 

Punca-punca penderaan

  1. Tekanan penjaga: Terlalu letih atau tidak mampu mengurus warga emas.
  2. Masalah keluarga: Perselisihan berkaitan harta atau perbezaan nilai.
  3. Masalah kesihatan Mental: Penjaga yang stres, murung, atau ketagihan.
  4. Pengasingan sosial: Warga emas yang sunyi mudah jadi mangsa.

Siapakah yang paling berisiko menjadi mangsa?

  1. Warga emas yang berisiko tinggi termasuk:
  • Wanita yang sangat tua,
  • Lemah
  • Ada masalah ingatan
  • Sakit kronik
  • Kurang upaya
  • Sukar berkomunikasi.
  • Mereka yang tinggal bersendirian
  • Jarang bergaul dengan orang lain.

Penjaga pula boleh jadi pendera jika:

  • Tiada sokongan daripada keluarga atau rakan.
  • Mengalami tekanan kewangan, sakit fizikal atau mental.
  • Ketagih alkohol atau dadah.
  • Tidak bersedia atau terlalu letih menjaga warga emas sehingga rasa terbeban.

Dalam keadaan ini, penjaga mungkin rasa marah, tertekan atau benci tanpa sedar, lalu berlaku penderaan.

 

 

Faktor lain yang menyumbang kepada penderaan:

  • Hubungan keluarga yang renggang.
  • Warga emas yang terasing daripada masyarakat.
  • Tiada bantuan atau sumber sokongan.

Kesan penderaan

Jika tidak dicegah, penderaan boleh menyebabkan:

  • Kecederaan serius seperti tulang patah, malnutrisi, kudis tekanan, penyakit, atau kematian.
  • Masalah emosi seperti murung, cemas dan tertekan.
  • Warga emas menjauhkan diri daripada masyarakat.
  • Risiko kematian yang lebih tinggi.

Apa yang boleh dilakukan?

  • Rawatan perubatan: Pemeriksaan dan rawatan segera.
  • Penilaian psikologi: Menyediakan perkhidmatan kaunseling psikologi untuk orang tua yang didera secara emosi atau seksual.
  • Perlindungan undang-undang: Laporan kepada pihak berkuasa dan perintah larangan terhadap pendera.
  • Sokongan sosial: Tempat tinggal sementara dan bantuan emosi.
  • Peranan keluarga: Pendidikan penjaga, kaunseling, menyediakan perkhidmatan penjagaan dan bantuan kewangan.

Penutup

Setiap warga emas berhak hidup dengan selamat, dihormati dan bebas daripada penderaan. Dengan pendidikan, undang-undang, sokongan sosial dan sikap prihatin masyarakat, kita boleh mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk mereka.

Ingatlah, warga emas tidak keseorangan. Kita semua bertanggungjawab untuk melindungi mereka.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang