DIVA tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa terharu apabila tiket untuk konsert terbaharunya, Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Julai depan habis terjual dalam masa 24 jam.

Biarpun baru sahaja tampil dengan menerusi konsert sempena 25 tahun keberadaannya dalam industri muzik di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada November tahun lalu, kemunculannya tetap mengundang teruja para peminat setianya di Malaysia

Melihat kepada perkembangan positif tersebut dan bagi memenuhi permintaan ramai, Projek Dream Collaboration akur untuk menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai depan.

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam persembahan, termasuk kekosongan lokasi, penyanyi undangan, pemuzik dan pasukan produksi.

“Kami bersyukur kerana impian itu dapat direalisasikan pada 13 Julai depan, sekali gus memberi ruang kepada peminat Rossa untuk bersama-sama berhibur,” kata Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri.

Mengulas tentang sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Another Journey: The Beginning, Rossa terharu kerana kemunculannya terus dinanti ramai.

Justeru bintang 44 tahun itu enggan menghampakan harapan peminat, malah bersedia untuk beraksi satu malam lagi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diberikan itu.

Istimewa

Menurut penyanyi Ayat Ayat Cinta itu, konsert Another Journey: The Beginning sedikit istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah turut memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik Covid-19.

“Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke konsert Another Journey: The Beginning pada 13 dan 14 Julai nanti,” katanya.

Rossa terharu dengan sokongan peminat di Malaysia.

Tidak bersendirian, konsert itu turut menyaksikan Rossa bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai), selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.

Iklan

Mahilini yang sedang popular dengan lagu Sial turut memberikan sentuhannya menerusi lagu Lupakan Cinta yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning.

Tambah Rossa, buat pertama kali sepanjang 25 tahun berkarier, dia mengundang beberapa komposer muda berbakat besar untuk bekerjasama dalam pembikinan albumnya.

“Ternyata, mereka sangat hebat dan Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang bakatnya sangat luar biasa. Lebih bermakna apabila Mahalini bersedia untuk menjadi sebahagian daripada konsert itu nanti.

“Kemunculan Mahalini, Rizky dan Zareef membuktikan industri muzik tidak ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia. Pastinya akan ada kejutan daripada kami nanti,” katanya.

Iklan

Tiket persembahan pada 13 Julai dijual dengan harga RM178, RM198, RM388, RM508, RM688 dan RM8,888 (Royal Box). Pembelian boleh dibuat menerusi pautan: ticket2u.com.my .

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi