Masya-ALLAH! 5 lelaki jejak hijrah Rasulullah, jalan kaki 16 hari, 547km Makkah ke Madinah

A
A
A

ISTILAH hijrah merujuk kepada perjalanan Rasulullah SAW pada tahun 622 Masihi dari Makkah ke Madinah meneruskan penyebaran Islam susulan ancaman orang Arab Quraisy ketika itu.

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan hari penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting itu.

Baca juga: Ini kisah Adam Muhammad, jalan kaki 6,500 km, rentas 9 negara ke Makkah

Baru-baru ini, lima lelaki dari Britain mencipta rekod berjalan kaki dari Makkah ke Madinah mengikut jejak Rasulullah SAW di sepanjang laluan hijrah.

Lima lelaki yang merupakan jemaah umrah berkenaan berjalan kaki selama kira-kira 185 jam menempuh 547 kilometer (km) dari Makkah ke Madinah untuk merasai sendiri pengalaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda lebih 1400 tahun dahulu.

“Mengikuti jejak Nabi kita adalah seperti hidup dan berjalan bersamanya. Kami belajar banyak tentang baginda dan cinta kami kepada Rasulullah SAW telah bertambah berlipat kali ganda,” kongsi pengasas Muslim Charity, Rashid Ali di laman sosial Facebook.

Menerusi hantaran di laman sosial, Rashid menjelaskan ia adalah aktiviti badan sukarela Muslim Charity yang berpangkalan di Nottinghamshire, United Kindom dalam membantu pembinaan masjid di Afrika.

Baca juga: Tanah Makkah tandus bertukar hijau, terkenang hadis Nabi buat ramai insaf

“Perjalanan bersejarah. Daripada pasukan berbasikal dari London ke Makkah lima tahun lalu, sukacita dimaklumkan kami akan berjalan lebih 500km merentasi padang pasir selama 16 hari untuk mengikuti laluan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah.

“Ia adalah bagi mengumpul dana untuk membina sebuah Masjid di Afrika yang akan kita namakan sebagai Masjid Quba. Nama tersebut adalah sempena masjid pertama dibina baginda 1,444 tahun yang lalu,” titip Rashid.

Baca juga: 6 tempat menarik di Madinah mesti dikunjungi, boleh jalan kaki sambil santai-santai

Rashid berkongsi pelbagai pengalaman yang ditempuhi sepanjang perjalanan. Antaranya kesempatan menunaikan solat Maghrib di puncak Bukit Tursina setinggi 1,675 meter dan melalui kawasan padang pasir beratus kilometer.

Adakalanya mereka menghadapi kesukaran membuat laporan harian di laman sosial kerana ketiadaaan jaringan Internet.

Pada masa tertentu, penduduk tempatan turut mengikuti perjalanan mereka berlima sambil berkongsi pelbagai ilmu agama termasuk tajwid.

Dalam perjalanan, Rashid dan rakan-rakan berpeluang melalui kawasan di mana Suraqah bin Malik mengekori Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq RA.

Baca juga: ‘Tidur malam tak lena fikir ayah’.- Guru agama hilang masa umrah di Makkah, ini kronologinya

Melalui video yang dikongsikan, ketibaan team amal itu di Madinah Al-Munawwarah disambut meriah dengan alunan selawat.

Terdahulu Rashid Ali dan lapan orang rakan telah memulakan perjalanan berbasikal dari London ke Makkah dan mencipta rekod 56 hari.

Perjalanan bermula pada 1 Julai 2017 dari Taman Olimpik, London, bersama 40 pelumba lain yang mengembara bersama mereka ke melalui England, Perancis, Jerman, Austria, Slovenia, Croatia, Bosnia, Serbia, Bulgaria, Greece dan Turkiye.

Kembara berbasikal sejauh 3,000 km selama enam minggu itu berakhir pada Ogos 2017.

Baca juga: Ini sebab kenapa Madinah Al-Munawwarah dilabel sebagai antara bandar paling sihat di dunia

Sumber: Hajj Reporters,Ilmfeed, Middle East Eye

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang