Dengan anak sendiri, ibu bapa tetap kena jaga aurat depan mereka…

Tanggungjawab ibu bapa
September 10, 2020
Nurulfatiha

APABILA berbicara tentang aurat, kebanyakan daripada kita sering kali mengaitkannya dengan golongan bukan mahram.

Masakan tidak, perkara ini begitu sinonim dengan kelompok berkenaan. Jarang sekali topik tentang aurat dengan mahram diperkatakan.

Bagi tanggapan segelintir masyarakat, ia tidak begitu signifikan. Apa tidaknya, setakat anak-beranak, tiada apa perlu dirisaukan.

Hakikatnya, perkara ini tidak boleh dipandang enteng sekalipun perihal aurat antara ibu bapa dan anak masing-masing.

Demikian perkongsian pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman di laman sosial Facebook miliknya pada hari ini.

Jelas beliau, ramai yang mengambil enteng tentang perihal aurat ibu bapa dengan anak. Ada yang mudah buka aurat depan anak, malah ada sebilangan orang lagi tanpa segan silu bertelanjang di depan anak-anak kecil.

Beliau mengajak kira merenungi kalam ALLAH ini: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah ALLAH menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENGETAHUI, lagi MAHA BIJAKSANA.” (Surah al-Nur, ayat 58)

PU Salman turut menukilkan pandangan Imam Ibnu Saadi yang menjelaskan bahawa budak kecil yang belum baligh adalah haram melihat aurat orang dewasa dan mereka yang sudah mumayyiz.

“Ini kerana ALLAH tidak akan menyuruh mereka meminta izin untuk masuk ke tempat orang dewasa kecuali (ada) sesuatu yang haram dilihat,” katanya.

Menurut Imam Abu Bakr Aljassas: “Yang dimaksudkan dalam ayat budak yang perlu minta izin adalah (mereka) yang tahu dan pandai melihat aurat wanita. Yang tidak perlu minta izin adalah yang lebih kecil (usianya) daripada itu.”

Begitupun, jelas PU Salman, ada dua jenis kanak-kanak yang dibolehkan melihat aurat orang dewasa iaitu:

1. Kanak-kanak yang belum mumayyiz (pandangan Mazhab Hambali)

Imam Ibnu Quddamah berkata: “Adapun budak yang bukan mumayyiz , tidak wajib orang dewasa menutup aurat sedikit pun depan mereka.” 

2. Selagi mana kanak-kanak tadi tidak tahu bercerita kepada orang lain tentang perihal aurat yang dilihat (pandangan Mazhab Syafie)

Syeikh Zakaria al-Ansari berkata: “Budak yang tidak pandai cerita aurat yang dibuka depannya kepada orang lain, harus buka aurat di depannya.”

Antara kedua-dua pandangan tersebut, PU Salman lebih cenderung dan mengutamakan pendapat kedua itu kerana lebih tepat.

“Pendapat ini lagi tepat kerana bila budak, tapi dah pandai cerita kepada orang lain, dia tengok aurat orang dewasa walaupun dengan bahasa pelatnya, maka haram tunjuk (aurat) dekat budak tadi,” jelas beliau.

Justeru, peliharalah aurat apabila kita bersama anak-anak di rumah masing-masing. Ia bukanlah bermaksud sehingga ibu terpaksa memakai tudung di hadapan anak-anak.

Cukuplah sekadar menutup aib diri yang tidak sepatutnya diperlihatkan kepada seorang anak. Ia demi menjaga aib dan maruah diri.

(Sumber: Facebook PU Salman)

About Nurulfatiha

Biodata Penulis