Dipercayai mahu elak riak, jemaah lelaki selit not RM100 dalam gulungan wang kertas RM1 lama

Selit not RM100
December 30, 2020
Oleh Nurulfatiha

ACAP kali kita dengar orang di sekeliling berkata, dalam rezeki yang kita peroleh, ada rezeki orang lain.

Hakikatnya, benar pernyataan tersebut. Ia bukan omongan kosong semata-mata. Maka, sebab itulah diwajibkan ke atas setiap umat Islam untuk menunaikan zakat.

Iklan

Bahkan, ibadah zakat itu juga termasuk dalam Rukun Islam. Ia juga merupakan sedekah wajib yang perlu ditunaikan.

Begitupun, kita masih lagi boleh menunaikan sedekah sunat iaitu sumbangan lazim yang kita berikan bagi membantu golongan yang memerlukan termasuklah menderma di masjid.

Sesungguhnya, sedekah itu amalan yang terpuji dan disukai oleh ALLAH SWT. Namun, ia suatu yang berat untuk dilakukan. Apatah lagi jika sifat diri yang sukar berkongsi apalagi jika diri sedang dihimpit dengan kesempitan.

Iklan

Lazimnya, kebanyakan dalam kalangan kita suka bersedekah di rumah ALLAH. Masakan tidak, rata-rata masjid dan surau akan menyediakan tabung bagi memudahkan para jemaah untuk berbuat demikian.

Setiap kali ingin memasukkan duit dalam tabung berkenaan, kita akan melipat atau menggulungkan rapi not tersebut sebaik mungkin. Bukan apa, khuatir dikatakan riak jika orang melihat jumlah yang disumbangkan.

Iklan

Barangkali kerana tanggapan sebegitu, seorang jemaah di sebuah masjid di Besut, Terengganu mengambil pendekatan yang sama. Bezanya di dalam not yang digulung itu, ada satu lagi wang kertas lain yang lebih besar nilainya di dalamnya.

Demikian kisah yang dikongsikan oleh anak kepada bendahari masjid berkenaan yang hanya mahu kenali sebagai Aidil kepada SinarPlus ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar beliau, jemaah itu sering kali menyelitkan not RM100 dalam wang kertas RM1 lama yang digulung kemas.

“Pertama kali melihat duit gulung ketika mengira tabung masjid, saya tertarik untuk membuka duit yang bergumpal itu. Bila buka duit RM1 lama itu, rupa-rupanya ada not RM100.

“Saya terkejut sebab kali pertama tengok. Namun, tidak pada ahli jawatankuasa masjid yang lain. Mereka menyatakan, duit berkenaan selalu ada sejak tahun lalu dengan pendekatan yang sama.

“Sejak itu, setiap kali mengira tabung masjid, pasti saya akan cari duit gulung tersebut,” katanya membuka bicara.

Ujar beliau, hampir setiap minggu sumbangan duit gulung RM100 pasti ada dalam tabung masjid yang dipercayai disumbangkan oleh individu sama.

“Kadangkala ada seminggu dua, tiada duit gulung RM100 itu. Kami agak gusar, takut jemaah itu sakit atau ada perkara lain yang menyebabkan dia tidak dapat hadir ke masjid. Mungkin juga dia menunaikan solat di masjid lain,” katanya.

Sekalipun pandemik Covid-19 memberikan impak dari segi ekonomi individu, namun jelas Aidil, jemaah itu tidak berganjak untuk terus menunaikan sedekah berkenaan.

(Artikel berkaitan: Sedekah ketika wabak, kalaulah kita tahu ganjarannya…)

“Pada saya, jemaah itu benar-benar ikhlas. Mungkin dia gunakan pendekatan sedekah begitu untuk elakkan orang ambil duit berkenaan, sekali gus mengelak kecurian tabung masjid.

“Barangkali juga, itu cara dia untuk mengelak orang berkata dirinya riak,” katanya.

Sekalipun bapa Aidil sudah meletakkan jawatan di masjid pada bulan November lalu atas faktor kesihatan, tetapi jejaka itu sering menitipkan doa agar penderma misteri tersebut dan penderma-penderma lain terus dilimpahkan rezeki melimpah-ruah oleh ALLAH SWT.

Subhanallah, begitu mulianya hati insan tersebut. Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada kita untuk melakukan amal soleh dengan penuh keikhlasan.

Seperkara lagi, usah sesekali diungkit sedekah yang telah diberikan.

Renungkanlah firman ALLAH SWT ini: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima, seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak pula beriman kepada ALLAH.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Video: Instagram aaidil.zainudin1.0

Foto: aaidil.zainudin1.0 & Bernama

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis
Iklan