Jangan basuh anggota wuduk lebih 3 kali, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan…

Basuh anggota wuduk
June 23, 2020
Nurulfatiha

RAMAI dalam kalangan kita yang berwuduk dengan tiga kali basuhan pada setiap anggota wuduk.

Masing-masing sudah terbiasa buat begitu berbanding satu kali basuhan. Lagipun, hukum basuh tiga kalikan sunat, sudah tentulah ramai yang mengambil peluang itu.

Tak kisahlah sama ada satu atau tiga kali basuhan, ia tidak menjadi masalah ketika berwuduk. Tapi andai kata, kita basuh lebih daripada tiga kali macam mana pula?

Boleh ke buat macam tu sebab ada orang kata hukumnya makruh? Tapi kalau kita ambil wuduk di kawasan sungai yang banyak air pun jatuh hukum makruh juga ke jika kita berwuduk dengan lebih tiga kali basuhan pada anggota wuduk?

Menurut pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus, makruh hukumnya membasuh anggota wuduk lebih daripada tiga kali sekalipun kita berwuduk di kawasan sungai atau tasik.

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis yang memerihalkan tentang perkara itu.

Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Aas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah lalu berdekatan Sa’ad RA yang sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapa berlebih-lebihan dengan air wahai Sa’ad?”

Berkata Sa’ad: “Adakah dalam berwuduk ada juga berlebih-lebihan?”

Jawab baginda SAW: “Ya, walaupun kamu sedang berada di sungai yang deras airnya.” (Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis lain yang turut diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr yang mana seorang Arab Dusun telah datang kepada Nabi Muhammad SAW dan bertanya tentang wuduk.

Maka, baginda SAW menunjukkan kepadanya dengan membasuhnya dengan tiga kali dan bersabda: “Beginilah berwuduk. Maka siapa yang melebihkan dari ini maka dia telah salah dan berlebihan serta zalim.” (Riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibnu Majah)

Berdasarkan dua hadis berkenaan, jelas Ustaz Azhar Idrus, membasuh tiga kali pada anggota wuduk itu adalah sunah Nabi Muhammad SAW.  Namun, melebihi tiga kali itu menyalahi sunah.

“Dan hendaklah diketahui bahawa hukum makruh membazir air ketika berwuduk itu adalah apabila air itu milik sendiri atau bukan milik sesiapa seperti air sungai dan air laut atau air yang diwakafkan.

“Adapun jika adalah air itu milik orang seperti mengambil wuduk di rumah orang atau air yang diwakafkan seperti mengambil wuduk di masjid dan surau, maka membazir padanya adalah haram, bukan lagi makruh,” jelas beliau sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya hari ini.

Justeru, berhati-hatilah ketika berwuduk. Jangan sampai berlebih-lebihan hingga membazirkan air.
Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan air yang diwakafkan di rumah ALLAH atau ketika menumpang wuduk di rumah orang lain.

Ingatlah bahawa kita berwuduk dengan matlamat untuk bersuci. Jangan cemarkan kesucian matlamat itu pula.

Sumber: Instagram uaioriginal

About Nurulfatiha

Biodata Penulis