Lakar sejarah baharu, Arab Saudi bakal lantik hakim kerajaan dalam kalangan wanita tidak lama lagi...

Hakim wanita Arab Saudi
January 18, 2021
Oleh Nurulfatiha

SEJAK beberapa hari lalu, nama Arab Saudi menjadi sebutan ramai apabila negara itu mengumumkan bakal melantik wanita sebagai hakim kerajaan tidak lama lagi.

Perkhabaran itu bakal melakar sejarah baharu kepada negara berkenaan. Masakan tidak, Arab Saudi begitu sinonim dengan beberapa peraturan ketat terhadap kaum Hawa berlandaskan syariat Islam.

Berita tentang pelantikan hakim kerajaan itu dikongsikan oleh Ketua Setiausaha (Undersecretary) Pemerkasaan Wanita di Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Arab Saudi, Hind Al-Zahid ketika diwawancara oleh Al-Arabiya.

"Hari ini, kerjaya undang-undang yang normal akan menyaksikan seseorang yang melalui beberapa peringkat sebelum mereka dapat dilantik sebagai hakim.

"Apa yang dapat saya katakan bahawa seorang wanita Arab Saudi akan menjawat jawatan hakim tidak lama lagi. Terdapat beberapa inisiatif yang dijalankan di beberapa peringkat," katanya sebagaimana dipetik dalam wawancara tersebut menerusi portal english.alarabiya.net.

Hakim wanita Arab Saudi
Al-Zahid ketika diwawancara dalam satu program di Al Arabiya mengumumkan tentang hakim wanita di Arab Saudi baru-baru ini.

Jelas Al-Zahid, langkah itu susulan petunjuk antarabangsa yang telah membuktikan kemajuan kerajaan dalam mendukung pemberdayaan kepada golongan wanita dalam semua peringkat.

Berdasarkan jangkaan pihaknya, Al-Zahid menambah, penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja diramalkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025.

(Artikel berkaitan: Arab Saudi perkenal 'pasport kesihatan' Covid-19, catat kadar pemulihan hampir 98 peratus. Doakan agar kita dapat menjadi tetamu ALLAH nanti)

"Namun, pada hari ini sahaja, kadar penyertaan mereka (kaum wanita) sudah mencapai 31 peratus dan ini adalah kemajuan yang sangat besar.

"Bagi sektor perkhidmatan awam, kadar penyertaan wanita Arab Saudi meningkat daripada 39 peratus kepada 41 peratus. Kebanyakannya adalah dalam sektor pendidikan dan kesihatan, di samping sektor-sektor lain," katanya.

Usaha untuk memperkasakan golongan wanita dalam bidang kehakiman sudah lama diperjuangkan.

Iklan

Memetik laporan outlookindia.com pada tahun lalu, Majlis Syura Arab Saudi mempertimbangkan cadangan melantik kaum Hawa sebagai hakim di mahkamah yang berstatus peribadi.

Menurut laporan Gulf News, anggota majlis berkenaan, Isa Al Gheith, mengemukakan cadangan terbaharu itu yang mendapat sokongan beberapa rakan sekerja.

"Sistem kehakiman Arab Saudi tidak menjadikan jawatan kehakiman terbatas kepada lelaki," katanya dalam laporan berkenaan sambil menunjukkan beberapa contoh pelantikan wanita sebagai hakim di beberapa Arab seperti di Kuwait dan Mesir.

Iklan

Dua tahun sebelumnya iaitu sekitar tahun 2018, badan perundingan berkenaan telah menyekat permintaan untuk melantik wanita sebagai hakim kerajaan.

Hakim wanita Arab SaudiUntuk rekod, sekitar tahun 2016, Mahkamah Rayuan Pentadbiran di wilayah Timur Arab Saudi dilaporkan telah melantik penimbang tara wanita pertama dalam kes komersial.

Portal Arab News melaporkan, pelantikan wanita dikenali sebagai Shaimaa Sadeq Al-Jibran itu, bagaimanapun mendapat bantahan gara-gara dirinya seorang wanita.

Sumber kepada portal berita berpengaruh itu kemudian melaporkan bahawa Kementerian Kehakiman telah diminta untuk mempertimbangkan kembali cadangan pelantikan itu kerana telah mengizinkan wanita bergabung dengan badan kehakiman.

Ia kerana tidak pernah lagi ada wanita yang sebelumnya dilantik sebagai hakim komersial dan terlibat dalam peranan kehakiman kementerian.

Susulan itu, pelantikan itu dicabar di Mahkamah Rayuan Pentadbiran sebelum diluluskan.

Sumber & Foto: english.alarabiya.net/, arabnews.com, outlookindia.com, iknowpolitics.org & gulfbusiness.com

About Nurulfatiha

Biodata Penulis