PADA masa ini, seluruh dunia masih 'berperang' melawan pandemik Covid-19 sejak hujung tahun 2019.

Semua negara mempunyai cara tersendiri untuk mengekang pandemik yang boleh membawa maut itu. Ia bagi memastikan tiada lagi nyawa melayang, selain tiada orang dijangkiti wabak berkenaan.

Ketika koronavirus mengganas, buat pertama kalinya, jemaah haji dihadkan hanya 1,000 orang pada musim haji tahun lalu. Mereka terdiri daripada penduduk ekspatriat dan rakyat Arab Saudi sendiri.

(Artikel berkaitan: Bertuahnya... Bekas pesakit Covid-19 antara 1,000 jemaah haji terpilih tahun ini)

Namun, tidak lama kemudian, kerajaan Arab Saudi sudah menyambut kumpulan pertama jemaah umrah warga asing pada 1 November lalu.

Itulah berita yang paling menggembirakan buat umat Islam selepas negara berkenaan menggantung visa umrah iaitu bermula bulan Februari tahun lalu.

Ia merupakan fasa ketiga rancangan strategik yang direncanakan pihak berkuasa berkenaan.

Mengikut perancangan, fasa itu dijangka menyaksikan kemasukan 20,000 jemaah umrah, 60,000 jemaah menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan 19,500 pengunjung.

Selain itu, Arab Saudi juga melakar sejarah apabila menjadi negara Teluk kedua selepas Bahrain yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer Covid-19.

Arab Saudi

Proses vaksinasi akan dilakukan kepada semua penduduknya mengikut tiga tahap yang telah disasarkan.

Ia merangkumi warga emas berusia 65 tahun ke atas dan mereka yang mudah terdedah kepada jangkitan bagi tahap pertama.

Iklan

Tahap kedua melibatkan golongan berusia lebih 50 tahun, pengamal perubatan dan mereka mempunyai penyakit kronik.

Sementara, tahap tiga pula menyasarkan kepada semua warga dan penduduk yang ingin mengambil vaksin.

Malah, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud juga sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer Covid-19 baru-baru ini.

Arab Saudi
RAJA Salman menerima dos pertama vaksin Pfizer Covid-19 baru-baru ini.

Menteri Kesihatannya pula, Dr Tawfiq Al-Rabiah sudah menerima dos kedua vaksin berkenaan, lapor portal arabnews.com.

Iklan

Terbaharu, kerajaan Arab Saudi telah melancarkan 'pasport kesihatan' digital yang disediakan menerusi aplikasi Kementerian Kesihatan Tawakkalna.

Menurut laporan arabnews.com, 'pasport' berkenaan mengandungi daftar vaksinasi seseorang terhadap penyakit Covid-19 dan pengesahan bahawa individu berkenaan kebal terhadap virus berkenaan.

Arab SaudiBerdasarkan semua fakta itu, jelaslah kerajaan Arab Saudi berusaha keras dan sanggup mengeluarkan belanja yang besar demi memastikan penularan wabak itu dikekang.

Setakat semalam, media berpengaruh di negara berkenaan, Saudi Gazette melaporkan, sebanyak 147 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan lima kematian baharu dilaporkan.

"Kementerian Kesihatan Arab Saudi juga melaporkan, sebanyak 151 pemulihan baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.

"Ia meningkatkan jumlah orang yang bebas daripada virus berkenaan menjadi 355,857 kes dengan kadar pemulihan 97.73 peratus," katanya dipetik menerusi platform berita tersebut.

Dengan kadar pemulihan yang hampir 98 peratus itu dan langkah proaktif diambil oleh kerajaan, tidak mustahil Arab Saudi bakal bebas Covid-19 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ia sekali gus memperlihatkan tanda-tanda Arab Saudi bersedia untuk menerima tetamu dengan kapasiti 100 peratus daripada keluasan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berdasarkan SOP ditetapkan.

Sama-samalah kita berdoa agar umat Islam dapat menjadi tetamu ALLAH SWT untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar ALLAH segera mengangkat koronavirus dari muka bumi ini.

Sumber & Foto: Arab News, Saudi Gazette & Bernama