MANUSIA tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Demi membetulkan segala khilaf, taubat adalah kunci utama untuk kembali ke jalan yang benar. Biarpun sebesar manapun dosa yang telah dilakukan, nescaya ALLAH SWT akan mengampunkannya.

Meskipun manusia lain memandang kita sebagai pendosa, namun ALLAH melihat perkara sebaliknya. Hal tersebut sudah dinyatakan dalam Surah Az-Zumar, ayat 53 hingga 54.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah. Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIALAH YANG MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG dan kembalilah sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak lagi dapat ditolong.”

 

Baca juga: Rasulullah saw menyayangi umatnya sehingga di akhirat contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Baca juga: Ganjaran besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat dengan berwakaf al-Quran berikutfadilat-fadilat lain

 

Bagi orang yang berdosa, janganlah malu untuk datang kepada ALLAH meminta ampun. Sesungguhnya ALLAH MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

Pintu taubat sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja, namun mengapa ALLAH tidak mengampuni iblis?

Menurut Abu Al-Lais As-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih Al-Ghafilin menjelaskan, terdapat kesalahan iblis yang membuatkan taubat ‘mereka’ tidak boleh diterima.

Pertama: Iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya.

Kedua: Iblis tidak menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan

Ketiga: Iblis tidak mahu segera bertaubat

Kempat: Berputus asa daripada rahmat ALLAH

Kesalahan iblis yang tidak mahu bersujud kepada Nabi Adam padahal itu adalah perintah ALLAH kepada semua malaikat.

Namun, disebabkan angkuh, sombong dan merasa diri lebih baik berbanding Nabi Adam, maka iblis menolak perintah ALLAH.

ALLAH berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 12: “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika aku menyuruhmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia engkau ciptakan daripada tanah.”

Hal tersebut lantas membuatkan iblis sebagai makhluk yang dimurkai dan diusir dari syurga.

Biarpun sering bergelumang dengan dosa, iblis pernah menyatakan hasratnya untuk bertabat kepada Nabi Musa. Perkhabaran itu diterima dengan penuh gembira sehinggakan Nabi Musa segera mengambil wuduk dan solat.

Dikisahkan Ibnu Umar bahawa iblis mendatangi Nabi Musa lalu berkata:“Wahai Musa, engkau dipilih ALLAH dengan risalahnya, aku ini makhluk ALLAH juga, aku ingin bertaubat, kerana itu mohonlah syafaat agar ALLAH mengampuniku.”

Nabi Musa kemudiannya menyampaikan niat iblis, lalu ALLAH berfirman:“Wahai Musa aku penuhi permintaanmu, tapi katakan kepada iblis agar dia bersujud pada kuburan Adam terlebih dahulu.”

Mendengarkan syarat tersebut iblis lalu berkata:“Dulu ketika Adam masih hidup, aku tidak mahu bersujud kepadanya. Mana mungkin aku harus bersujud kepadanya setelah dia mati.”

Masih disebabkan keangkuhan dan kesombonganya membuatkan iblis pun sekali lagi gagal mendapat pengampunan ALLAH.

Kegagalan itu mengakibatkan iblis menerima balasan menjadi isi neraka pada hari pembalasan kelak.

Oleh itu, sebagai manusia, kembalilah bertaubat ke jalan ALLAH. Biar sebesar mana dosa yang dilakukan, selagi tidak syirik kepada SANG PENCIPTA, selagi itu pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram