SELURUH umat Islam di seluruh dunia kini dirundung kesedihan apabila menerima perkhabaran pemergian ulama tersohor yang memiliki kewarganegaraan Indonesia, Syekh Ali Jaber.

Pendakwah itu dilaporkan telah menemui PENCIPTANYA jam 8.30 pagi waktu Indonesia Barat di Rumah Sakit Yarsi, Jakarta.

Sesungguhnya, Syekh Ali Jaber, 45, bukan calang-calang individu. Allahyarham ialah tokoh agamawan dan pendakwah yang bukan sahaja terkenal di Indonesia, tetapi di seluruh dunia.

Allahyarham yang fasih berbahasa Indonesia dan sering kali dijemput menjadi penceramah di seluruh masjid di negara tersebut termasuk acara-acara peringkat nasional.

Malah, video-video ceramahnya turut dimuat naik dalam salurannya sendiri. Ramai yang menontonnya rakaman itu hingga view mencecah jutaan tontonan.

Kehilangannya turut dirasai oleh seorang penyampai Deddy Corbuzier. Beliau mengucapkan takziah atas kematian pendakwah itu.

Deddy turut memuat naik foto saat dirinya menunaikan solat yang dipimpin oleh Allahyarham Syekh Ali Jaber dalam Instagram miliknya.

Syekh Ali Jaber

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un @syekh.alijaber. Tidak ada rasa sakit, tidak ada penderitaan dan tidak ada rasa sakit di syurga,” tulis Deddy Corbuzier sebagaimana dipetik menerusi portal Kompas.com.

Selain itu, penyampai Raffi Ahmad turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian agamawan yang begitu dekat dalam hati masyarakat.

“@syekh.alijaber. Turut berdukacita yang sedalam-dalamnya,” tulisnya dalam Instagram miliknya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, pendakwah yang berasal dari Madinah itu nenunjukkan perkembangan baik ketika menerima rawatan di hospital selepas disahkan positif Covid-19 sejak 29 Disember lalu. Sehari kemudian, beliau dirawat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.

Perihal dirinya dijangkiti virus berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Syekh Jaber Ali menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada 29 Disember tahun lalu.

(Artikel berkaitan: Ulama tersohor Indonesia Syed Ali Jaber disahkan Covid-19, sama-sama kita doakan kesembuhan beliau)

Bukan itu sahaja, berita duka tentang berita Syekh Ali Jaber meninggal dunia turut menjadi trending di Twitter, lapor okezone.com.

Syekh Ali JaberBerita pemergiannya tersebar luas ke seluruh pelosok dunia. Bukan sahaja mendapat liputan daripada media arus perdana, tetapi juga oleh blogger dan influencer.

Jelaslah betapa agamawan itu begitu disayangi ramai kerana ilmu yang dimilikinya dan pendekatan dakwahnya.

Iklan

Menyelak sisi peribadinya, pemilik nama penuh Syekh Ali Saleh Muhammad Ali Jaber pernah menjadi imam di Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

Anak kelahiran kota Madinah itu mendapat pendidikan formal dan tidak formal di tempat kelahirannya. Antaranya pendidikan ibtidaiyah, tsanawiyah dan aliyah.

Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan agamanya. Hasil didikan dan dorongan bapanya, Syekh Ali Jaber begitu tekun membaca al-Quran. Bagi bapanya, ilmu al-Quran itu begitu penting kerana dalam kalam ALLAH SWT itu terkandung semua ilmu-NYA yang sangat luas.

Bapa Syekh Ali Jaber juga begitu tegas dalam mendidik anak tentang agama terutamanya bab solat dan al-Quran. Ketegasan itu dapat dilihat apabila bapanya akan mengambil pendekatan memukulnya jika Syeikh Ali Jaber meninggalkan solat.

Apatah lagi, agamawan itu merupakan anak pertama 12 adik beradik. Sudah pasti bapanya mahu beliau meneruskan perjuangannya untuk menegakkan syiar Islam.

Syekh Ali Jaber
SYEKH ALI JABER

Alhamdulillah, berkat kegigihannya dan atas dorongan keluarga, Syekh Ali Jaber berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 11 tahun.

Maka, sejak itu bermulalah perjalanan ulama berkenaan memulakan kerja-kerja dakwah. Ilmuan itu kemudian mengajar kalam ALLAH di masjid-masjid.

Malah, beliau juga aktif sebagai guru tahfiz di Masjid Nabawi dan menjadi imam solat di salah sebuah masjid di kota berkenaan.

Menjadi resam seorang ilmuan yang banyak mengabdikan masanya untuk berguru untuk menggali ilmu. Syekh Ali Jaber juga berbuat demikian.

Iklan

Antara yang pernah menjadi gurunya ialah Syeikh Abdul Bari’as Subaity (Imam Masjid Nabawi yang sebelumnya merupakan Imam Masjidil Haram), Syeikh Khalilul Rahman (ulama al-Quran di Madinah dan ahli qiraat), Syeikh Said Adam (Ketua Pengurus Makam Rasulullah SAW dan pemegang kunci Makan Rasulullah dan ramai lagi.

Pada tahun 2008, Syekh Ali Jaber keluar dari negeri kelahirannya untuk berdakwah. Beliau pergi ke Indonesia.

Secara kebetulan, beliau berkahwin dengan seorang gadis solehah dari Lombok bernama Umi Nadia yang sudah lama menetap di Madinah.

Pada tahun sama, seorang pengurus masjid datang mendekatinya usai dirinya menunaikan solat Maghrib di Masjid Sunda Kelapa Jakarta Pusat. Beliau meminta Syekh Ali Jaber menjadi imam solat tarawih di masjid berkenaan.

Ia menjadi titik permulaan kepada Syekh Ali Jaber untuk melebarkan dakwahnya dan mendapat kepercayaan masyarakat di Indonesia.

Syekh Ali Jaber
SYEKH ALI JABER ketika mengikuti sebuah program di Indonesia.

Malah, untuk memudahkannya berkomunikasi, beliau mempelajari bahasa Indonesia dan mampu berbicara lancar bahasa ibunda isterinya.

Sesungguhnya, dunia Islam kehilangan bintang dan permata yang sangat berharga. Sukar untuk dicari ganti.

Semoga roh agamawan itu dicucuri rahmat. Al-Fatihah (dengan bacaan).

Sumber & foto: Kompas.com, okezone.com & masuk-islam.com