SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ramai masyarakat kita yang banyak habiskan masa di dapur.

Yang tak pernah masuk dapur untuk memasak pun join sekali. Boleh kata semua jadi rajin waktu-waktu itu. Barangkali sebab duduk di rumah dan ada masa, bolehlah buat ‘eksperimen’ masakan di dapur sendiri.

Bila masuk saja hari raya, rasanya ramai yang akan teruskan ‘hobi’ baru ini. Mahu atau tidak, itulah yang terpaksa dilakukan kerana hanya beraya dengan keluarga kecil masing-masing dan tak berpeluang balik ke kampung.

Tak best pula rasanya kalau kita tak masak hidangan ‘wajib’ hari raya seperti rendang dan ketupat kan? Bila ada semua ini, barulah rasa hari raya.

Rendang pula ada banyak jenis. Ada rendang ayam, daging, kerang, telur dan macam-macam lagilah.

Cuma kalau nak buat rendang telur tu, ada setengah orang suka basuh kulit telur sebelum masak. Ini semua gara-gara waswas kerana rasa tak bersih pada kulit telur tu.

Kadang-kadang tak nampak pun kulit telur itu kotor. Dibasuhnya juga.

Tapi ada juga yang terus masak je telur tersebut. Tak basuh dulu pun kulitnya. Boleh ke? Tak kotor ke?

Apa pandangan Islam dalam hal ini? Wajib ke basuh kulit telur sebelum dimasak?

Dalam hal itu, jika telur yang keluar dari faraj ayam, maka ia tidak dikira sebagai telur yang diselaputi oleh najis kerana ulama menyatakan, lembapan dari faraj ayam tidak dikira sebagai najis.

Jika ia bercampur dengan najis sekalipun, ia tetap dimaafkan kerana terlalu sedikit dan sukar untuk dielak.

Oleh itu, telur ayam tidak diwajibkan basuh sebelum dimasak menurut fuqaha’.

Lagipun, telur-telur yang dijual di kedai dan pasar raya pada zahirnya tidak kelihatan najis pada kulitnya.

Pendek kata, selagi tiada bukti yang nyata, maka kulit telur itu pada asasnya adalah suci tidak diselaputi najis.

Namun begitu, andai kata telur itu kelihatan jelas padanya najis ayam atau berbau najis, maka digalakkan untuk kita membasuhnya terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi sebelum merebusnya.

Hukumnya menjadi wajib basuh jika kita benar-benar yakin bahawa najis pada kulit telur itu akan mengenai isi telur berkenaan.

Jadi, tak perlulah rasa serba salah andai kita tak basuh kulit telur sebelum masak.

Cuma bila dah nampak ada najis pada kulit telur tu, jangan pula abaikan. Basuhlah dulu sebelum dimasak.

(Sumber: Pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed)

Foto: Freepik & sumber Internet