KESEMPATAN untuk beraya bersama keluarga adalah perkara yang paling diharapkan oleh pengacara dan pelakon Uyaina Arshad setiap kali Syawal menjelma.

Malah semenjak pemergian bapa dan datuk kesayangannya, hanya ibu dan adik-beradik sahaja yang menjadi tempat untuk berkongsi kasih.

Sentiasa menghargai masa bersama keluarga, Uyaina berkata, dia mahu mencipta kenangan yang manis setiap kali menyambut hari raya.

“Walaupun keluarga tak besar mana, tetapi raya kami sentiasa meriah kerana ada sahaja aktiviti yang dilakukan apabila dapat berkumpul bersama.

“Raya tahun lalu menjadi yang paling manis apabila semua ahli keluarga termasuk abang yang sudah berkahwin dapat berkumpul dan beraya bersama dengan baju raya berwarna sedondon.

“Disebabkan teruja, pada hari raya pertama itu juga kami sekeluarga pergi ke kedai gambar untuk mengabadikan momen itu dan dijadikan foto keluarga,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini lagi.

Tidak seperti kebiasaan, pemilik nama sebenar, Saidatul Naseha Uyaina, 28, kali ini hanya menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.

Biarpun terkilan kerana tidak dapat menziarahi kubur arwah bapa dan datuknya di Ipoh, Perak, pelakon Jujurlah Nikahi Aku itu reda dan menghormati arahan kerajaan agar tidak merentas negeri dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Arwah ayah meninggal dunia ketika saya berusia empat tahun dan selepas itu saya begitu rapat dengan arwah datuk yang seolah-olah menjadi pengganti kepada ayah dari saya kecil sehinggalah dewasa sebelum dia juga pergi meninggalkan saya lebih kurang dua tahun lalu.

“Setiap kali raya, kenangan dengan arwah datuk sentiasa bermain dalam ingatan. Apatah lagi dia meninggal pada bulan Ramadan.

“Pada hari tersebut saya mengikuti program amal, Jom Ke Masjid bersama TV3 di Melaka, namun terpaksa berpatah balik ke Ipoh, Perak dengan menaiki bas untuk bertemu dengan arwah buat kali terakhir,” imbas Uyaina.

Iklan

Menyifatkan PKPB mempunyai hikmah yang tersendiri, kata Uyaina, dia gembira dapat meraikan Syawal kali ini tanpa terikat dengan jadual kerja.

“Beberapa tahun kebelakangan ini saya sentiasa terkejar-kejar menyambut raya kerana terikat dengan jadual kerja.

“Dua tahun berturut-turut menjadi hos program Akademi Sahur Asia di Indonesia menyaksikan jadual kerja saya sangat padat dan hanya dapat pulang ke Malaysia sehari sebelum raya.

Iklan

“Tahun ini saya sepatutnya mengacarakan program yang sama dan melalui rutin yang serupa, namun disebabkan Covid-19 saya tidak bersama program tersebut dan hanya mengendalikan Wanita Hari Ini,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Uyaina Arshad)