Segerakan taubat, jangan sampai hati jadi rosak gara-gara lambat bertindak

Taubat
November 27, 2020

LEBIH sejam Amir Safwan (bukan nama sebenar) mengejutkan rakan sebiliknya, Asyraf Hamzah (bukan nama sebenar) bangun untuk menunaikan solat Subuh. Namun, usahanya tidak membuahkan hasil.

Pelbagai cara sudah digunakan untuk mengejutkan temannya itu termasuklah merenjis air ke muka Asyraf. Pemuda berusia 20 tahun itu tetap diam tidak berkutik. Nampak lena benar dirinya diulit mimpi.

Iklan

Ini bukan kali pertama Asyraf bersikap begini. Memang sudah menjadi tabiatnya sukar untuk bangun pagi. Sejak mengenali Asyraf dua tahun lalu, hampir setiap hari solat rakannya terbabas.

Baru sahaja seminggu yang lalu, Amir melihat Asyraf menangis teresak-esak ketika sedang berdoa selepas solat. Pemuda sebayanya itu sudah bertaubat dan berjanji untuk menunaikan solat Subuh tepat pada waktunya.

Sepanjang tempoh seminggu, Amir gembira melihat perubahan Asyraf. Beliau boleh bangun sendiri tanpa perlu dikejutkan.

Iklan

Namun, kini tabiat lamanya kembali. Ingatkan hanya kelmarin sahaja Asyraf terbabas Subuh gara-gara tidur lambat, tetapi nampaknya semalam dan pada hari ini juga Asyraf masih lagi begitu.

Sungguh, Amir buntu memikirkan sikap rakannya itu. Masakan tidak, sering kali perkataan taubat meniti pada bibir Asyraf. Namun, entah di mana silapnya, kata-kata itu tidak seiring dengan perbuatan.

Benarlah, manusia sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Walaupun sudah berulang kali memohon keampunan ALLAH SWT dan bibirnya mengungkapkan kata-kata taubat, tetapi kesilapan sama kadangkala tetap dilakukan.

Bukan mudah untuk istiqamah melakukan kebaikan. Itu merupakan cabaran kepada mereka yang bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana ALLAH SWT. Bagaimana status taubat seseorang jika berkali-kali melakukan dosa yang sama? Adakah taubat hanya untuk pendosa sahaja?

Syarat taubat

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam mendapatkan Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakuti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Mohd Farhan Md Ariffin.

MOHD FARHAN



Jelas beliau, taubat bermaksud meninggalkan perkara dosa atau perbuatan keji, menyesal dengan perbuatannya dengan sebenar-benar penyesalan dan berazam tidak akan mengulanginya. Ia sebagaimana pandangan yang dikemukakan oleh al-Qurtubi.

“Jika melibatkan harta, maka perlu dikembalikan atau memohon keampunan daripada pemiliknya. Ia merupakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam taubat. Jika gugur salah satu, maka taubatnya tidak sah,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada ALLAH SWT dengan taubat nasuha.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Melihat kalamullah berkenaan, Mohd Farhan berkata, jelaslah bahawa jenis taubat yang diterima dalam Islam merujuk kepada taubat nasuha.

“Ia merupakan anugerah ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang terpilih. Caranya adalah memohon keampunan daripada ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh selepas melakukan dosa dan tidak mengulanginya, membenci dosa tersebut dan sentiasa beristighfar setiap kali mengingatinya.

“Bertaubatlah dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh sehingga memadai dengan taubat pertama kali, menggabungkan unsur takut dan harapan, memastikan sentiasa taat dan menyedari kesilapan dan dosa serta sentiasa mengawasi diri,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Jika kita tergelincir selepas bertaubat, masih ada ruang untuk bertaubat lagi)

Ikhlas

Dalam pada itu, Mohd Farhan menjelaskan, taubat tidak cukup sekadar ucapan. Ia mesti disertai dengan kerelaan hati untuk berubah dan perjuangan anggota badan (mujahadah al-Nafs) untuk meninggalkan dosa.

Ketahuilah, orang yang mengulang kembali perbuatan dosa selepas bertaubat adalah termasuk dalam petanda taubatnya tidak diterima ALLAH SWT, terangnya.

“Begitu juga sekiranya individu berkenaan masih bercadang untuk mengulanginya, taubatnya tidak dikira.

Taubat
LAFAZ istighfar perlu senada dengan niat dalam hati untuk meninggalkan perbuatan dosa dan diiringi penuh rasa penyesalan.

“Andai masih mengulangi dosa yang sama, barangkali terdapat faktor ketiga yang mendorong untuk bertaubat seperti hasrat ingin berkahwin, berkeinginan terhadap kepentingan dunia, riak dan sebagainya. Maka, taubat yang dilakukan belum diangkat oleh ALLAH SWT,” katanya.

Menyambung hujahnya, Mohd Farhan menjelaskan, sekalipun seseorang itu sudah meninggalkan perbuatan dosa kerana ketidakupayaan mengulangi dosa yang sama, namun ia sama sekali tidak dianggap sudah bertaubat.

Umpamanya, seseorang penjenayah meninggalkan jenayah yang lazim dilakukannya akibat sudah tua dan tidak berupaya lagi. Maka, ia tidak dikira sebagai taubat.

“Taubat mesti dilakukan atas kerelaan hati yang ikhlas kerana ALLAH SWT untuk meninggalkan perbuatan dosa.

“Ketahuilah, tidak semestinya setiap taubat akan diterima oleh ALLAH SWT sekalipun telah sempurna segala syarat-syaratnya. ALLAH SWT berhak untuk menerima dan menolak taubat hamba-NYA.

“Oleh itu, setiap orang mesti mengulang-ulang taubat dengan harapan taubat akan diterima ALLAH SWT dengan sifat kasih sayang dan keluasan rahmat-NYA. Bagaimanapun, bagi taubat orang yang baru masuk Islam daripada dosa-dosanya yang lalu, ALLAH SWT menerima taubatnya,” katanya.

Adakah taubat hanya untuk dosa-dosa besar sahaja? Menjawab persoalan itu, Mohd Farhan berkata, para ulama bersepakat bahawa wajib bertaubat daripada dosa kecil mahupun dosa besar.

(Artikel berkaitan: Jangan bangga berbuat maksiat dan tayang pada orang… Buruk natijahnya nanti)

“Tidak boleh berlengah-lengah untuk bertaubat kerana ajal tidak mengenal waktu dan ketika. Kewajipan taubat adalah dituntut secara langsung,” katanya.

Seperkara lagi, Mohd Farhan mengingatkan agar lafaz istighfar (memohon ampun) perlu senada dengan niat dalam hati untuk meninggalkan perbuatan dosa dan diiringi penuh rasa penyesalan.

“Ingatlah, doa orang yang bertaubat bersungguh-sungguh lebih mudah makbul daripada doa ‘Asi (orang yang sering melakukan maksiat). Ibn Hajar al-‘Asqalani pernah berkata, dosa adalah kegelapan, manakala iman adalah cahaya.

“Maka, Muslim yang memiliki iman yang mantap akan sentiasa bertaubat daripada dosa walau sekecil mana pun. Hatinya yang disinari cahaya akan sensitif dengan sekelumit kegelapan. Namun, orang yang biasa dalam kegelapan, tidak akan menyedari sudah terpesong dan hanyut dalam dosa,” katanya.

Sebelum menoktahkan bicaranya, pensyarah itu mengingatkan agar umat Islam tidak sekali-kali mempersendakan taubat kerana sikap itu sama seperti berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT.

“Sikap ini ditegah sama sekali kerana ia merupakan hasutan syaitan agar selalu bergelumang dalam dosa. Ketahuilah, manusia yang memandang ringan terhadap taubat juga termasuk dalam belitan iblis agar berlengah-lengah dalam taubat.

“Manusia diberikan peluang taubat selagi mana roh belum berada di hujung kerongkong. Apabila tiba saat itu, maka pintu taubat sudah pun ditutup selama-lamanya,” ujarnya.

Laluan ke jannah

Fakta yang dinyatakan oleh Mohd Farhan turut disokong oleh pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran.

IMAM MUDA ARAN

Beliau mengingatkan, taubat bukanlah untuk golongan pendosa sahaja, tetapi ia perlu dilakukan oleh semua orang beriman.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “…Dan bertaubatlah kamu semua kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung.” (Surah al-Nur, ayat 31)

“Berdasarkan dalil berkenaan, jelas sekali kewajipan taubat adalah untuk semua orang yang tidak pernah terlepas daripada membuat kesalahan dan dosa.

“Tiada sesiapa yang boleh menggantikan taubat seseorang itu melainkan dirinya sendiri memohon ampun daripada-NYA dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh serta tidak mengulangi dosa yang pernah dilakukan.

“Itulah kepentingan taubat agar ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu. Penerimaan taubat itu akan menjadi laluan mudah untuk menuju ke jannah,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut menegur mentaliti segelintir masyarakat yang menunggu hari tua untuk bertaubat.

“Jangan sesekali menunda taubat kerana ia sangat bahaya untuk hati manusia. Bayangkan apabila bertambah dosa dilakukan itu, ia boleh meninggalkan kesan yang lain. Hati boleh menjadi hitam.

“Hanya dengan taubatlah yang mampu menyucikan kekotoran dalam hati. Sebaiknya, selepas melakukan dosa, bersegeralah memohon ampun daripada ALLAH SWT.

Taubat
TAUBAT bukanlah untuk golongan pendosa sahaja, tetapi ia perlu dilakukan oleh semua orang beriman.

“Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjadi dalil bahawa taubat seorang hamba yang bersungguh-sungguh iaitu taubat nasuha, ALLAH akan menerima taubatnya,” katanya.

Bahkan, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW yang maksum itu pun tidak pernah berhenti daripada beristighfar kepada ALLAH SWT.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada ALLAH SWT, sehari 100 kali.” (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Kepada satu soalan, Imam Muda Aran menjawab: “Antara tanda-tanda taubat kita diterima adalah sikap dan akhlak berubah menjadi lebih baik, jiwa dan dirinya dekat dengan masjid, pertuturannya menjadi baik, dirinya seronok melakukan ibadah dan sentiasa berterusan memohon ampun kepada ALLAH SWT tanpa pernah lelah.”

Sekecil mana pun dosa yang dilakukan, beristighfar dan bertaubatlah kepada ALLAH. Jangan biarkan diri terus hanyut dibuai keasyikan dunia yang bersifat sementara ini.

6 dosa tidak diampunkan walau sudah bertaubat

Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Begitupun, sebesar mana pun dosa seseorang itu, ALLAH SWT akan tetap memberikan keampunan kepadanya apabila hamba-NYA bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan berazam tidak mengulangi perbuatan dosanya.

Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menegaskan, sekalipun seseorang itu sudah bertaubat, tetapi ia tidak akan diampunkan-NYA jika mempunyai perkaitannya dengan dosa sesama manusia.

DA’I SYAFIQAH

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan (al-muubiqaat).” Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, apa saja dosa yang membinasakan tersebut?” Beginda bersabda: “Syirik kepada ALLAH, sihir, membunuh jiwa yang haram untuk dibunuh kecuali jika lewat jalan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, qazaf (menuduh wanita mukminah yang baik-baik dengan tuduhan zina).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Berdasarkan hadis itu, jelaslah terdapat enam dosa besar yang tidak akan diampunkan walaupun sudah bertaubat. Namun begitu, bagi dosa berkaitan syirik iaitu dosa hamba dengan ALLAH, jika seseorang itu sempat mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat sebelum meninggal dunia, maka dengan izin ALLAH, dosa syirik itu boleh diampunkan,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Bagi menebus dosa yang berkait dengan manusia, ujar Da’i Syafiqah, ia memerlukan kemaafan daripada manusia yang dizalimi dan diselesaikan di dunia juga. Jika tidak selesai, ia akan dibawa di mahkamah ALLAH di akhirat nanti.

Apabila melakukan dosa sihir, jelas beliau, individu berkenaan perlu mengucap dua kalimah syahadah, menyerahkan dirinya untuk menerima hukuman yang ditetapkan, memohon maaf kepada insan yang dizalimi dan bertaubat kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya.

“Mereka yang membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH SWT kecuali dengan alasan yang hak wajib dikenakan hukuman jenayah. Dalam Islam, pelaku pembunuhan haruslah dikenakan hukuman qisas (hukum balas).

“Kepada mereka yang pernah termakan riba, menyesallah atas perbuatan dilakukan dan seterusnya menukar daripada pinjaman yang konvensional kepada pinjaman cara Islam serta berazam tidak akan terlibat dengan dosa riba lagi,” katanya.

Mudah kata, Da’i Syafiqah menambah, mohon maaflah dan kembalikanlah hak insan yang dizalimi, seterusnya bertaubat kepada ALLAH SWT.

“Justeru, jadilah hamba yang sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH dan pada masa sama, tidak membuat kezaliman ke atas insan lain.

“Jagalah hubungan dengan ALLAH dan Jaga hubungan dengan manusia. Semoga kita tidak digolongkan dalam kalangan orang yang disebutkan tadi agar dosa-dosa kita dapat diangkat oleh ALLAH SWT dan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya,” katanya.

Taubat
HANYA dengan bertaubatlah yang mampu menyucikan kekotoran dalam hati dan membuatkan kita begitu menjaga pergaulan dan tutur kata yang baik.

ANEKDOT

AMALAN memudahkan taubat diterima ALLAH

1. Sentiasa menderma
Mereka adalah orang yang membelanjakan harta mereka semasa senang dan susah.

2. Menahan marah
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergelut. Orang yang kuat itu adalah yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Sentiasa memaafkan kesalahan manusia 
Sekiranya dianiaya atau ada orang yang melakukan kesalahan terhadap kita, maafkanlah mereka.

4. Suka berbuat kebaikan
Orang yang suka buat baik dengan menolong meringankan kesusahan orang lain. Mereka juga sanggup mengorbankan sebahagian nikmat yang telah diberikan oleh ALLAH SWT, pengorbanan mereka lakukan adalah sebagai tanda mensyukuri nikmat ALLAH SWT.

5. Cepat bertaubat
Tatkala melakukan dosa dan kejahatan yang mendatangkan kesan buruk kepada orang lain seperti melakukan zina dan sebagainya, mereka terus cepat-cepat teringat larangan dan ancaman ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman: “Tiadalah yang mengampuni dosa selain ALLAH.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 135)
ALLAH SWT mempunyai rahmat yang sangat luas dan cepat mengampunkan dosa-dosa manusia. Maka, orang yang diterima taubatnya menjadi seolah-olah tidak mempunyai dosa lagi.

Sumber: Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah

Foto: 123rf & Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis