[VIDEO] Kematian yang dicemburui…penceramah meninggal lepas ucap lailahaillallah ketika sedang ceramah

Penceramah meninggal ketika ceramah
September 22, 2020
Nurulfatiha

ALLAH SWT menjadikan kehidupan dan kematian untuk menguji manusia siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya, sepertimana ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran dalam Surah al-Mulk, ayat 2: “DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu), untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi MAHA PENGAMPUN, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Seperti yang dipetik dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat banyak hadis ada menyebutkan tentang tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah. Antaranya:

1. Melafazkan syahadah sebelum meninggal dunia.

2. Meninggal pada hari atau malam Jumaat.

3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahi.

4. Seseorang yang diberikan taufik dan hidayah serta beramal soleh sebelum dia meninggal dunia.

5. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan perut.

6. Meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggam, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH SWT.

7. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.

8. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya.

9. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amal soleh.

10. Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu ALLAH.

Di Indonesia, terdapat satu peristiwa yang menyentuh hati apabila seorang penceramah tempatan di sana meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.

Seperti yang dilaporkan portal suara.com, penceramah berkenaan yang dikenali sebagai Buya Malin Putiah terlebih dulu tidak sedarkan diri ketika sedang menyampaikan ceramah agama.

Sebelum secara tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri, penceramah itu sempat melengkapkan ucapan kalimah Tauhid, lailahaillallah dengan begitu sempurna.

Detik-detik itu dirakam dalam satu video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah masjid di Kecamatan Harau, Kabupaten Limapuluh Kota, Sumatera Barat pada 12 September lalu jam 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari di Malaysia).

Perginya seorang yang alim dalam keadaan dirinya sedang berjihad ke jalan ALLAH SWT. Pemergiannya begitu dicemburui ramai.

Penceramah meninggal ketika ceramah
DETIK-DETIK akhir ceramah Buya Malin Putiah sebelum beliau rebah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.”

Bayangkan saat-saat terakhir menghabiskan sisa hidupnya di dunia, Buya Malin Putiah masih lagi mengingatkan manusia tentang perihal dosa manusia kepada ALLAH SWT dan memberikan nasihat.

Setiap kali bibirnya mengungkapkan perkataan dosa, nada suaranya akan meninggi. Beberapa kali perkataan dosa diulang dengan intonasi yang tinggi.

Begitu tegas sekali beliau mengingatkan para jemaah supaya meninggalkan dosa.

Tidak lama kemudian, kalimah Tauhid terluah dari mulutnya sebelum lelaki alim itu rebah tidak sedarkan diri.

Beliau kemudian dibantu oleh para jemaah, namun ALLAH lebih menyayanginya. Buya Malin Putiah pergi buat selama-lamanya.

Menurut Ketua Daerah (Camat) Harau, Andri Yasmen, Buya Malin Putiah berada dalam keadaan sihat sebelum meninggal dunia.

“Saat itu beliau sihat-sihat saja. Cuma menyebutkan lailahaillallah. Mudah-mudahan husnul khatimah,” katanya dipetik menerusi video menerusi portal news.klikpositif.com.

Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepada-NYA kita kembali.

Apapun mati itu pasti.

Hidup pula insya-ALLAH selagi mana kita diizinkan-NYA untuk melayari kehidupan di dunia yang fana ini.

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Buya Malin Putiah. Semoga ALLAH menempatnya rohnya dalam kalangan orang beriman. Amin.

Sumber & Foto: news.klikpositif.com, suara.com, gelora.co & laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis