DEK kerana kalah dalam permainan, pengantin lelaki memukul isterinya ketika masih di pelamin perkahwinan mereka.
Sikap mudah marah, cepat melenting boleh membawa kepada pelbagai situasi yang mengeruhkan lagi keadaan.
Lebih teruk lagi apabila emosi itu boleh melukakan hati orang lain atau sesiapa sahaja yang terkena tempiasnya.
Memang diakui, bukan mudah untuk mengawal perasaan cepat marah atau panas baran ini kerana ia 'hadir' tanpa dijangka.
Seperti satu kejadian yang berlaku di Uzbekistan apabila pengantin lelaki tiba-tiba 'naik hantu' memukul si isteri ketika sedang bersanding di pelamin pada hari perkahwinan mereka.
Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila pasangan itu mengambil bahagian dalam permainan membuka gula-gula yang dianjurkan oleh tetamu majlis.
Pengantin lelaki menyerang isterinya kononnya kerana dia kalah dan isteri memenangi permainan itu.
Aksi itu dirakam oleh tetamu dan video itu tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan pengantin perempuan kelihatan tertekan dengan serangan lelaki itu, ketika tepukan gemuruh menyambut kemenangannya.
Menurut laporan Tribunnews memetik Channel News Asia, kejadian itu berlaku di wilayah selatan Surkhandaryo pada 6 Jun lalu.
Lelaki tersebut ditahan pihak berkuasa dan didakwa atas tuduhan 'hooliganisme' yang bermaksud tingkah laku yang mengganggu atau menyalahi undang-undang seperti merusuh, buli dan vandalisme.
Pengantin lelaki berdepan denda atau penjara maksimum 15 hari jika didapati bersalah.
Namun setelah kejadian berlaku, lelaki itu menyesal dan memohon maaf secara terbuka kepada keluarga serta saudara mara pengantin perempuan dan mereka berdamai pada hari yang sama.
Jawatankuasa berasingan di dewan tinggi badan perundangan Uzbekistan berkata pengantin lelaki telah memohon maaf kepada pengantin perempuan dan menyatakan kekesalan atas tindakannya.
Video tersebut mendapat kecaman ramai dan warga maya mengatakan lelaki baran sahaja yang sanggup bertindak sedemikian memukul dengan kuat si isteri, tambah lagi di hadapan khalayak ramai.
Baca juga Pasangan warga emas baru kenal 10 hari, terus berkahwin. Pindah ke rumah isteri bawa motor saja
Sementara itu, ini tip mudah mengenali lelaki panas baran;
1. Biarkan dia menunggu
Sebenarnya untuk membezakan lelaki itu panas baran atau tidak, bergantung kepada raut wajah serta sikapnya. Perhatikan perkara ini sewaktu anda keluar bersamanya tetapi terlewat tiba. Marahnya berapi-api seolah-olah perbuatan anda itu adalah satu kesalahan besar.
Jika begini karakter lelaki, dia sebenarnya seorang yang panas baran kerana tidak sanggup menunggu pada satu kejadian kecil dalam hidupnya. Kalau lelaki yang panas baran, dia tentu akan menghamburkan kata-kata menyakitkan hati. Oleh sebab itu, anda harus berhati-hati dengan lelaki begini.
2. Minta dia mengajar sesuatu
Dalam mencari erti kesabaran, cuba perhatikan perkara ini juga. Mintalah dia mengajar anda sesuatu. Kalau kata-katanya agak pedas dan panas di telinga anda, itu tandanya dia seorang yang panas baran dan agak sukar berunding.
Lelaki yang penyabar akan mengajar anda sehingga pandai tetapi lelaki panas baran akan mudah melenting bila anda tidak berjaya mengikut apa yang dia inginkan.
3. Lihat caranya melayan anak kecil
Umum mengetahui kanak-kanak banyak kerenah. Oleh itu sewaktu bersamanya, bawa sekali anak saudara anda yang masih kecil. Tinggalkan mereka dan lihat cara mereka menanganinya.
Baca juga Kanak-kanak 4 tahun tak sengaja ‘dimandulkan’, keluarga saman RM4.4 juta
4. Cemburu atau tidak
Percaya atau tidak, lelaki yang panas baran biasanya seorang lelaki yang kuat cemburunya. Ada kalanya perbuatan cemburunya itu nampak mengarut tambah-tambah lagi cemburu pada hal yang remeh.
5. Selain itu, lelaki panas baran juga suka maki hamun, buat serangan fizikal, marahnya yang meluap, sering mengeluarkan perkataan menyakitkan hati, menjerit, tidak boleh bergurau, sentiasa menyalahkan orang lain, suka mengawal, mengharapkan benda tak masuk akal, sentiasa mengadu dan mengeluh, berdendam, tidak berperikemanusiaan sesama manusia mahupun haiwan.
Justeru itu sebelum membuat pilihan, kajilah semua sikap lelaki agar anda tidak menyesal di kemudian hari.
Baran berkaitan dengan sikap dan semestinya sikap boleh diubah. Sebagai lelaki andalah khalifah kepada pasangan, justeru itu tunjuklah moral yang baik kepada pasangan. Aduhai risau, depan orang ramai pun dah tunjuk sikap!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.