KEGANASAN terhadap wanita adalah perbuatan penganiayaan terhadap kaum itu yang berlaku dengan pelbagai cara.

Ia merupakan suatu bentuk penyalahgunaan kuasa yang sering berlaku apabila salah satu daripada pasangan cuba untuk mengawal atau mendominasi pasangannya.

Statistik kes keganasan terhadap wanita seperti rogol, gangguan seksual, keganasan rumah tangga, ragut dan lain-lain semakin membimbangkan.

Keganasan seperti ini tidak patut dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal dan mental kepada mangsa. Malah lebih parah lagi ia boleh menyebabkan kematian.

Baru-baru ini, tular di laman sosial aksi seorang penunggang motosikal yang menyiku wanita yang membonceng.

Video berkenaan yang tular di laman sosial Twitter memaparkan rakaman dashcam sempat merakam pertengkaran antara lelaki dan wanita yang dipercayai sepasang suami isteri.

Sebelum itu, wanita berkenaan dilihat menggenggam kolar baju penunggang motosikal tersebut. Namun tidak lama selepas itu, lelaki itu berang lalu bertindak menyiku keras wanita diboncengnya sebanyak dua kali.

Kejadian dipercayai berlaku di Jambatan Teluk Gadong, Jalan Sungai Bertih, Klang meraih perhatian ramai.

Baca juga: Kanak-kanak disangka lemas rupa-rupanya dibunuh kejam keluarga sendiri. Ini kronologi kes Logan Mwangi

Lebih membimbangkan apabila kelihatan seorang kanak-kanak turut membonceng motosikal berkenaan.

Ramai yang meluahkan simpati kepada wanita berkenaan dan mempersoalkan tujuan tindakan kasar lelaki terbabit.

Rata-rata warga maya meluahkan rasa geram terhadap lelaki berkenaan dan meminta wanita terbabit angkat kaki setelah diperlakukan dengan kasar.

– “Korang perempuan ada hak. Jangan takut untuk tuntut cerai. Cerai saja.. kamu bukan hamba. Jangan ingat suami kamu itu raja sangat sampai jahil.. Get yourself educated, jangan harap suami atau lelaki untuk survive dan perlu ada backup kerjaya, bisnes atau pendapatan.”;

– “Perempuan kalau kena macam ni please la jangan berdiam diri. Beritahu keluarga, incase makin teruk ada yang boleh tolong. Lelaki macam ini kalau dibiar makin menjadi.”

– “To ladies, kalau suami sudah memukul, please do not stay, tolong lah angkat kaki!”

– “Girls, kalau dapat lelaki baran, tinggalkan sahaja. Better hidup sendiri daripada bersama tapi menderita. Prioritise yourself, your happiness and your child safety.”

Baca juga: Wanita perlu tahu hak, bukan pukul atau dera sahaja, suami keluarkan nama dari syarikat juga keganasan rumah tangga – Peguam

POLIS SEDANG SIASAT

Dalam perkembangan terbaru Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata rakaman video dari ‘dashcam’ sebuah telah dikesan pihaknya.

“Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti penunggang dan pembonceng motosikal terbabit,” ujarnya.

Iklan

Katanya, pihak polis juga menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati semasa memandu atau menunggang kenderaan agar tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

KATEGORI KEGANASAN WANITA

Keganasan terhadap wanita sememangnya menyakitkan. Namun ia tidak terhad kepada penderaan fizikal semata-mata.

Terdapat beberapa kategori keganasan terhadap wanita seperti berikut:

1. Penderaan Psikologi dan Emosi
Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita boleh meninggalkan kesan buruk sama seperti penderaan fizikal kerana ia boleh membahayakan nilai harga diri, perasaan wanita dan keupayaan wanita terbabit mengawal kehidupan sendiri.

2. Penderaan Fizikal
Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling objek dan menggunakan senjata adalah contoh jelas penderaan seumpama ini. Begitu juga dengan menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan tempat perlindungan, ia adalah merupakan salah satu bentuk penderaan fizikal.

Iklan

3. Penderaan Seksual
Kategori penderaan seksual adalah seperti memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan.

4. Penderaan Sosial
Penderaan ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar.

5. Penderaan Kewangan
Wanita yang dihalang daripada mencari pekerjaan, tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri sebenarnya menghadapi penderaan dari aspek kewangan. Tanpa kawalan terhadap kedudukan kewangannya sendiri, wanita tersebut akan bergantung penuh kepada tindakan orang lain untuk mendapatkan walaupun keperluan asas.

Diharapkan kaum wanita berani bertindak dan keluar daripada kitaran keganasan sebelum ia berakhir dengan sesuatu yang lebih parah.

Baca juga: Terus lapor polis jika jadi mangsa dera, ini saranan pakar pencegahan jenayah

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI