Kembar nombor dua triplets meninggal dunia. 'Terima kasih ALLAH pinjamkan 3 bulan, Khawla & Al Fateh tunggu di syurga...'
ANAK kembar nombor dua pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abdul Halim, dan Sabrina Hakiem Zaini meninggal dunia.
Bayi kedua daripada pasangan kembar tiga, Maryam Al Khawla menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.20 pagi tadi pada usia genap tiga bulan.
Khabar duka itu dikongsikan pasangan itu menerusi laman sosial. Menurut Sabrina, momen akhir itu menyentuh hati sementelah ia kali pertama dapat memeluk si kecil itu.
"Alhamdulilah anak mummy pergi dengan senyuman. Khawla sudah tidak merasa sakit lagi.
"Buat pertama kali mummy dapat sentuh Khawla tanpa memakai sarung tangan dan memeluk.
"Khawla pergi jam 7.20 pagi. Al Khawla dan abang Al Fateh tunggu mummy dan daddy di syurga ya. Terima kasih ALLAH pinjamkan Maryam Al Khawla tiga bulan
24 Oktober 2025 - 24 Januari 2026," kongsinya.
Terdahulu, Mohd Fikri berkongsi keadaan Maryam Al Khawla yang tenat dan menerima rawatan di Hospital Melaka.
Sekadar info, kembar tiga berkenaan dilahirkan pada usia kandungan 31 minggu pada 24 Oktober tahun lalu hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kembar nombor satu, Maryam Al Lubna dilahirkan pada 9.40 pagi dengan berat 1.8 kilogram (kg) diikuti Maryam Al Khawla dua minit kemudian dengan berat 1.78kg.
Kembar ketiga Maryam Al Arwaa pula dilahirkan pada 9.46 pagi dengan berat 1.93kg.
Terdahulu, Mohd Fikry dan isterinya menjadi perhatian ramai kehilangan anak sulung mereka, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan dalam insiden menyayat hati di sebuah taska. Muhammad Al Fateh dinantikan kelahirannya selama 13 tahun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
