'Al Khawla dipantau rapi, bergantung kepada ubat'- Lahir 1.78kg, salah seorang kembar tiga masih dirawat di NICU, ibu bapa mohon doa
BAYI kembar tiga pasangan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 40, dan Sabrina Hakiem Zaini, 40, terus menjadi perhatian warganet.
Bayi pramatang yang dilahirkan pada usia kandungan 31 minggu, 24 Oktober lalu itu kini khabarnya dalam keadaan membimbangkan.
Memetik Kosmo, ketiga-tiga si kecil berkenaan kini berada di bawah pengawasan doktor, namun seorang daripadanya, Maryam Al Kawla ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan lebih teliti.
Ujar Mohd Fikry, dua lagi puteri kembar iaitu Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa berada di Wad Rawatan Khas Bayi menunjukkan perkembangan positif.

Beliau yang bertugas di Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD CBRNe) itu turut menjelaskan keputusan untuk melahirkan lebih awal dibuat selepas pakar bagi mengelakkan sebarang risiko.
“Bayi kami dilahirkan pada usia 31 minggu kerana keadaan kandungan kembar tiga menyebabkan ruang rahim menjadi terlalu padat dan berisiko kepada ibu dan anak-anak.
"Alhamdulillah, isteri saya selamat dan dua daripada bayi kami kini menunjukkan perkembangan baik.
“Namun, seorang lagi, Al Khawla masih dalam pemantauan rapi, bergantung kepada ubat yang doktor bagi,” ujarnya kepada Kosmo.

Menjelaskan Maryam Al Khawla paling ringan berbanding kakak dan adiknya iaitu hanya seberat 1.78 kilogram ketika dilahirkan, Mohd Fikry tidak dapat menyembunyikan kebimbangan serta memohon doa daripada orang ramai.
“Sebagai ibu bapa, sudah tentu hati kami risau tetapi emosi isteri saya stabil dan kami reda serta percaya kepada ketentuan ALLAH.
“Kami berterima kasih atas sokongan dan doa rakyat Malaysia, dan memohon agar semua terus mendoakan kesemua anak kami supaya membesar dengan sihat dan kuat,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Mohd Fikry dan isterinya menjadi perhatian ramai selepas anak sulung mereka, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan maut selepas dihantar ke sebuah taska di Kelemak, Alor Gajah, Melaka.
Difahamkan, Muhammad Al Fateh dinantikan kelahirannya selama 13 tahun.
Sumber: Kosmo
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
