Dari anak pesawah ke barisan pengurusan, Ruba’ah Masri ‘bunga’ mekar di MPOB
MENYUSURI lorong-lorong pengalaman selama lebih tiga dekad, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ruba’ah Masri, bukan sahaja meninggalkan kesan melalui pencapaian profesional, tetapi juga melalui keperibadian ceria dan mudah didekati yang memikat ramai.
Di sebalik senyumannya yang mesra, tersembunyi seorang wanita yang tegas dan berdedikasi dalam memastikan industri sawit negara terus berkembang.
Tahun ini pada usia mencecah garis 58 tahun, beliau sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu bersara.
Namun sebelum itu, setiap langkahnya meniti tangga kejayaan dalam MPOB meninggalkan legasi yang sukar dilupakan.

“Kalau disuruh sambung pun saya tak mahu. Cukuplah setakat ini, kita beri peluang pula kepada generasi baharu,” ungkapnya jujur
Kerjaya beliau dalam sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) bukanlah yang pertama, namun ini pekerjaan paling lama yang pernah diceburi bermula sekitar tahun 1992 sebaik tamat pengajian.
Selepas pulang dari Amerika Syarikat, beliau menyambung pengajian di universiti tempatan sebelum memulakan kerjaya dalam sektor swasta.
Namun tekanan kerja yang tidak mengenal waktu siang atau malam demi mengejar hasil dan keuntungan membuatkan beliau berfikir panjang.
Kemudian, peluang untuk menyertai sektor kerajaan iaitu MPOB ketika itu dikenali sebagai Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) menjadi titik perubahan besar dalam kehidupannya.
Bermula dengan jawatan 'sangkut', anak pesawah dari Tanjung Karang, Selangor itu mendaki satu persatu tangga sehingga akhirnya duduk di kerusinya sekarang.
Pada peringkat awal, beliau dilantik sebagai Research Officer atau pegawai penyelidik secara kontrak yang disebut kakitangan ‘sangkut’.
“Gaji pada masa itu RM1,100 sahaja. Itu pun bukan gaji tetap, lebih kepada elaun.
"Tempoh tersebut mengambil masa lebih setahun sebelum akhirnya saya diserap sebagai kakitangan tetap sekitar tahun 1994.
“Bila dah masuk kerajaan, nak keluar memang susah. Mungkin sebab saya sendiri menyukai kerjaya ini,” katanya sambil ketawa kecil.

Antara jawatan digalas adalah Ketua Unit Latihan dan Persidangan, Ketua Unit Penerbitan, Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat dan Khidmat Korporat serta Pengarah Bahagian Pengurusan, Kewangan dan Pembangunan.
Menyentuh dunia industri sawit, katanya, bertentangan dengan persepsi umum, bidang penyelidikan dalam industri sawit didominasi wanita, khususnya dalam sektor R&D dan 'downstream oleokimia'.
Malah, suatu ketika dahulu, dalam barisan pengurusan tertinggi MPOB, hampir separuh terdiri daripada wanita sekali gus satu pencapaian yang jarang berlaku dalam industri berat seperti sawit.
Ruba’ah percaya wanita lebih teliti dan sesuai untuk kerja-kerja penyelidikan yang memerlukan ketepatan serta kesabaran tinggi.
Cabaran wanita dalam ‘dunia lelaki’
Namun, dedahnya sebagai 'bunga' dalam industri serba mencabar ini, cabaran sudah tentu besar terutama dari segi persepsi umum.
“Saya selalu cakap, industri sawit ini hakikatnya adalah dunia untuk lelaki, jadi keupayaan wanita tampak kurang disedari.
"Begitupun, itu cuma persepsi malah melihat senario semasa, kini kredibiliti kaum hawa khususnya dalam liga R&D semakin diperakui,” katanya dengan bangga.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat besar atau majlis rasmi, beliau kadangkala menjadi satu-satunya wanita di tengah lautan lelaki bersut.
Biarpun ada ketika terasa tersisih terutama apabila tetamu kenamaan hadir, tetapi semangat profesionalisma membuatkannya menepis perasaan negatif.
Namun dari segi kerja serta amanah, beliau menegaskan tiada perbezaan malah sebagai wanita beliau bersyukur bersyukur dapat memenuhi mandat sehingga layak berada di barisan pengurusan tertinggi MPOB.
Selepas lebih tiga dekad berkhidmat, beliau yakin masanya juga sudah tiba untuk memberi ruang kepada generasi seterusnya mengambil alih tanggung jawab itu.

“Cukuplah saya bekerja. Biar orang muda pula mengambil alih mandat ini selain dapat membawa idea baharu sekali gus mengukuhkan lagi keampuhan agensi ini dalam industri sawit.
"Melihat kesungguhan serta kemampuan 'anak-anak buah' saya, saya yakin MPOB punya ramai pelapis yang bagus dan berpotensi. Mereka ini aset MPOB.
"Tentunya saya bersara dengan senang hati kerana yakin agensi yang saya sayang berada di tangan pasukan berkredibiliti," ujarnya.

Malah, beliau merancang menghabiskan masa dengan suami, anak dan cucu sebaik bersara secara rasmi pada 15 Februari ini.
Akuinya, biarpun nanti tidak lagi bersama MPOB, pejabat yang dianggap sebagai rumah keduanya tetap mekar dalam hati, begitu juga seluruh warga agensi terbabit.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

