Video tular ibu ayah tunggu anak tepi jalan raih perhatian netizen, bekal sambal udang & gulai ikan undang sebak
KADANG-kadang, rindu tak perlukan pelukan yang lama. Cukup sekadar pandang dari jauh, salam ringkas di tepi jalan dan sebungkus bekal air tangan ibu — itulah yang mengenyangkan hati.
Itulah perasaan yang dirakam dalam satu video tular di TikTok milik @AbgUjang, memaparkan sepasang warga emas setia menunggu di bahu jalan demi bertemu anak mereka. Bukan di rumah, bukan di kedai makan, tetapi di tepi jalan, dengan sebuah motosikal dan beg berisi makanan — simbol kasih yang tak pernah berkira.
Lebih menyentuh hati, kedua-dua orang tua itu datang bukan dengan tangan kosong. Mereka membawa bekalan kegemaran si anak: sambal goreng ikan bilis dan gulai ikan, dimasak khas walaupun pertemuan cuma sekejap.
Menjawab pertanyaan netizen di ruangan komen, lelaki yang dikenali sebagai Abg Ujang berkongsi isi hati yang ringkas tetapi sarat makna.
“Dapat bekal sambal goreng ikan bilis dengan gulai ikan. Sambal ikan bilis kering tu tiap kali jumpa memang mak tapau banyak-banyak.”
IVideo itu merakam detik pertemuan singkat di bahu jalan selepas Abg Ujang selesai menurunkan barangan di Perlis sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Perak. Sebagai pemandu lori, masa bukan miliknya sepenuhnya, namun dia tetap mencari ruang walau sekejap untuk melepaskan rindu.

Perkongsian itu nyata menyentuh perasaan ramai apabila mencatat lebih 400,000 tontonan dan lebihb 28,000 tanda suka serta lebih 2,900 komen.
Rata-rata mengakui sukar menahan sebak dan ada yang menitiskan air mata tatkala melihat kedua-dua warga emas itu menunggu dengan sabar.
“Siap turun barang dekat Perlis, nak hala balik Perak, singgat sat jumpa mak ayah dekat tepi jalan pun jadilah lepas rindu,” tulis Abg Ujang.
Ada juga luahan jujur tentang emosi yang cuba ditahan.
“Sedih tengok depa tunggu tepi jalan macam ni dengan naik motornya, tapi malas nak keluarkan air mata. Saya dengan mak ni kalau keluarkan air mata, sama macam dalam drama. Baik tahan sahaja.”
Namun paling meruntun perasaan apabila dia berkongsi tentang naluri seorang ibu yang memahami anaknya tanpa perlu bertanya.
“Mak ni tak payah cakap nak makan apa, dia tahu dah saya suka makan apa. Dia terus masak makanan yang saya suka, siapkan bekal untuk saya. Nikmat dapat makan masakan mak," kongsi Abg Ujang lagi.
Di sebalik video ringkas itu, terselit satu peringatan halus tentang kasih ibu bapa yang sering kita anggap biasa. Bagi mereka, melihat anak walau sebentar sudah cukup membahagiakan.
Abg Ujang turut menitipkan nasihat agar semua menghargai ibu bapa selagi masih ada kesempatan untuk bertemu dan berbakti.
Sementara itu, ruangan komen dibanjiri doa dan kata-kata yang penuh empati daripada netizen.
“Tersentuh hati saya bila tengok awak salam peluk cium ayah dan ibu.”
“Mak ayah semua macam tu kan. Selalu fikir nak bagi makan… sanggup penat-penat masak walaupun tak larat sangat.”
“Mak ayah kalau dapat jumpa kejap macam ni pun diorang dah happy. Untungnya awak masih ada mak ayah.”
Video ini bukan sekadar rakaman tular, tetapi cerminan realiti cinta ibu bapa tidak pernah meminta masa yang panjang, hanya kehadiran dan ingatan. Kadang-kadang, berhenti sekejap di tepi jalan sudah cukup untuk membuat mereka tersenyum sepanjang hari.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
