'Jejak 48 negara, jadi CEO umur 23, pernah dipenjara di Isr4el' - Farah Lee kongsi ‘achievement list’ usia 37 tahun

No Image Caption
A
A
A

PERSONALITI media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee berkongsi refleksi kehidupannya sempena ulang tahun kelahiran ke-37 pada 12 Mac lalu dengan menyenaraikan beberapa pencapaian yang diraih.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Farah atau nama penuhnya Nurfarahin Romli  berkata, dia sebelum ini sering memberi tumpuan kepada perkara yang belum dicapai.

Namun kali ini dirinya memilih untuk menghargai perjalanan hidup dan kejayaan yang pernah dilalui.

“Tahun ini rasa nak buat senarai pencapaian. Asyik fokus pada apa yang tak dapat capai saja kan, kita juga patut belajar meraikan diri sendiri,” tulisnya.

No Image Caption

Antara yang dikongsikan, Farah pernah melalui dua fasa perkahwinan dan kini mempunyai seorang anak perempuan yang disifatkan memiliki karakter yang sangat kuat.

Dalam masa sama, dia turut meluahkan rasa syukur apabila berjaya melangsaikan semua hutang tahun lalu selepas menyelesaikan bayaran kereta dan tidak mempunyai pinjaman rumah.

Lebih membanggakan, Farah mendedahkan, dia sudah bergelar ketua pegawai eksekutif (CEO) sejak berusia 23 tahun.

Farah juga bersyukur diberi rezeki menunaikan haji pada usia 30 tahun selain sudah  umrah sebanyak 10 kali sepanjang 37 tahun usianya.

Artikel Berkaitan:

Tidak hanya itu, isteri kepada  Muhammad Fuad Hashim itu juga aktif mengembara dan setakat ini sudah menjejakkan kaki ke 48 negara, malah ada yang dikunjungi beberapa kali.

Satu pengalaman yang sukar dilupakan apabila Farah pernah ditahan dan dipenjarakan Zionis kerana dalam misi Global Sumud Flotilla pada tahun lalu.

No Image Caption

"Pernah dipenjarakan di Isr4el kerana mempertahankan nilai kemanusiaan," kongsinya.

Dalam pada itu, Farah turut berkongsi kemahirannya bertutur dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Korea dan Arab.

Dari sudut pendidikan pula, Farah menamatkan pengajian peringkat sarjana di United Kingdom selepas memperoleh ijazah sarjana muda di Korea Selatan.

Anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu sejak di bangku sekolah lagi sudah menunjukkan kecemerlangan akademik apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan meraih 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

Bagaimanapun menurut pempengaruh media sosial itu lagi, segala pencapaian yang diraih sepanjang hidupnya bukanlah semata-mata hasil usahanya sendiri.

“Di atas segalanya, ini bukan kerana daya aku, tetapi kerana kuasa-NYA,” katanya.

Sekadar info, Farah mendirikan rumah dengan atlet kuda lasak ,Muhammad Fuad Hashim pada 5 Januari 2024. 

Terdahulu, dia pernah berkahwin dengan dengan personaliti televisyen, Ally Iskandar pada Januari 2012 dan berpisah pada Ogos 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Maream Esaabel yang kini berusia 11 tahun.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang