'Semua dapat manfaat…' – Seronok lihat anak asnaf mengaji, PU Riz pasang impian jelajah satu Malaysia
ZAMAN sekarang, ada macam-macam cara kreatif untuk kita dekatkan diri dengan al-Quran, tau!
Terbaharu, pendakwah bebas popular, Ustaz Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, tampil membawa aura positif menerusi program Quranic Madani.
Menariknya, program mengaji dan belajar tajwid secara santai ini memulakan langkah pertamanya di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Suasana rumah kebajikan tersebut bertukar ceria apabila anak-anak asnaf seawal usia lapan tahun begitu teruja untuk memantapkan bacaan masing-masing.
Melihat sambutan luar biasa itu, PU Riz meluahkan rasa syukur dan menyifatkan usaha murni ini sebagai satu platform terbaik yang patut dibawa ke seluruh pelosok negara.
“Alhamdulillah, hari ini kita akan mulakan sesi Quranic Madani ataupun sesi pengajaran al-Qur’an dan tajwid di Rumah Titian Kaseh ini.
"Bermula dengan anak-anak sekecil lapan tahun sampailah belasan tahun yang ada dalam kelas. Secara keseluruhan, Alhamdulillah sesi berjalan baik dan semua dapat manfaat,” kongsinya dengan nada gembira.

Membantu golongan asnaf
Bukan itu sahaja, program gaya hidup Islamik sebegini sebenarnya sangat seiring dengan usaha Kementerian Agama di bawah pimpinan menterinya, Dr Zulkifli Hasan yang sentiasa cakna dalam membantu golongan asnaf menerusi sokongan pendidikan agama.
Sambil menjaga kebajikan, pengisian rohani anak-anak ini juga tetap menjadi keutamaan.

Melangkah ke hadapan, suami kepada usahawan popular, Neelofa meletakkan harapan yang tinggi agar Quranic Madani dapat menjadi pemangkin buat masyarakat luar sana untuk terus jatuh cinta dengan al-Quran, sekali gus melahirkan generasi yang celik tajwid.
“Alhamdulillah atas usaha ini, semoga semua orang di Kuala Lumpur, malah di seluruh Malaysia dapat belajar dan membaca al-Quran dengan baik. Allahuakbar!” tambahnya lagi penuh semangat.
Selepas ini, program Quranic Madani dijangka bakal ‘terbang’ ke lebih banyak lokasi lain.
Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tidak mengakses pendidikan al-Quran yang berkualiti, tak kira apa jua latar belakang kita. Jom kita sokong usaha murni ini!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

