Dari Kuala Lumpur ke Timur Tengah! Karim Abdel Aziz & Yasmine Sabri jayakan filem Arab 'Mr VIP', promosi keindahan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SUASANA sibuk di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini rupanya menyimpan satu ceritamenarik buat peminat dunia sinema.

Tanpa sebarang publisiti besar atau keriuhan media, sebuah produksi filem dari Asia Barat bertajuk 'Mr VIP' rupa-rupanya sedang melunaskan baki penggambaran mereka di beberapa lokasi sekitar ibu negara, sekali gus membawa aura yang cukup berbeza di set kerja tempatan.

Naskhah yang menggandangkan nama besar dari dunia hiburan Arab, Karim Abdel Aziz bersama pelakon jelita Yasmine Sabri ini memilih untuk bergerak secara santai namun penuh privasi sejak pertengahan Jun lalu.

No Image Caption

Keputusan untuk mengekalkan kawalan ketat di set penggambaran ini difahamkan bagi menghormati polisi kerja dan memastikan keselesaan para pelakon sepanjang berada di Malaysia, memandangkan kehadiran mereka sering menjadi perhatian utama peminat di sana.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Abdulrahman Suud, cara dan polisi kerja untuk naskhah kali ini memang diakui agak ketat.

Jelas beliau, hal ini didorong oleh faktor kemasyhuran aktor otaiseperti Karim Abdel Aziz yang dianggap sebagai bintang nombor satu di sana dan sangat berpengaruh.

Malah, gambar mahupun sebarang rakaman sepanjang berada di lokasi tidak boleh didedahkan atau dikongsi sewenang-wenangnya kepada umum demi menjaga eksklusiviti karya berkenaan.

Di sebalik lensa kamera, projek garapan pengarah Mootaaz El Tomy ini sebenarnya mendapat kerjasama harmoni antara Synergy Plus dan Inifinity Films.

Kehadiran naskhah komedi sosial itu bukan sahaja memberi peluang kepada 33 kru dari Mesir untuk merasai sendiri pengalaman bekerja di sini, malah turut membuka ruang kolaborasi bersama lebih 220 kru kreatif tempatan yang berkongsi kepakaran di belakang tabir.

No Image Caption

Sepanjang tempoh penggambaran tersebut, pihak produksi sedaya upaya cuba menonjolkan sisi keindahan Malaysia untuk dikongsi bersama penonton luar.

“Boleh dikatakan lebih 40 peratus penggambaran filem ini disiapkan di Malaysia. Malah selepas berakhir penggambaran di sini, proses pos produksi juga bakal diadakan di Malaysia.

"Sepanjang tempoh penggambaran, kedua produksi cuba ‘mengeksploitasi’ keindahan Malaysia sekali gus mempromosi pelancongan dan mempamerkan keindahan Malaysia serta rakyatnya,” ujarAbdulrahman ketika berkongsi keterujaannya mengenai projek berkenaan.

Bagi beliau sendiri, penglibatan ini membawa makna yang cukup peribadi keranamengimbau kembali memori panjangnya yang membesar di Kuala Lumpur sejak era 90-an.

No Image Caption

Hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua buah negara ini menjadi antara pemacu utama mengapa landskap bandar raya kita dipilih, selain daripada keinginan untuk berkongsi keunikan suasana harian masyarakat setempat kepada penonton di Timur Tengah kelak.

“Saya lakukan semua ini juga atas kecintaan terhadap Malaysia. Negara ini bagai sebati dalam diri dan kecintaan terhadap Malaysia tiada belah bagi.

"Saya datang ke sini ketika berusia lapantahun. Sebelum itu saya menetap di Jepun dan India. Selepas ibu bapa menerima tawaran bekerja di KL, kami sekeluarga berpindah ke sini pada 1992.

"Saya bersekolah dan mencari rezekidi Malaysia. Setiap kali meninggalkan Malaysia, pasti saya tidak sabar untuk kembali,” katanyalagi sambil tersenyum mengimbau kenangan lalu.

No Image Caption

Walaupun jalan cerita penuhnya masih disimpan kemas, kehadiran pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater, memberi bayangan awal bahawa filem ini bakal sarat dengan elemen santai yang dekat dengan hati masyarakat.

Dengan berakhirnya fasa penggambaran tersebut, proses pascaproduksi pula dijadualkan menyusul, meninggalkan sebuah memori manis tentang bagaimana sebuah karya seni mampu menyatukan dua budaya yang berbeza secara harmoni di ruang kota.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang