Cinta sempurna pada usia 61 tahun, Aamir Khan sah bergelar suami Gauri Spratt
BINTANG prolifik Bollywood, Aamir Khan, kini rasmi memulakan fasa baharu dalam hidupnya selepas selamat mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati, Gauri Spratt, 47.
Memetik The Statesman, majlis perkahwinan diadakan secara tertutup dan penuh intim itu berlangsung pada Ahad di kediamannya di Bandra, Mumbai.
Berbeza dengan perkahwinan selebriti terkenal Bollywood lain yang lazimnya diraikan dengan majlis resepsi besar-besaran, pemilik nama Mohammed Aamir Hussain Khan, 61, itu lebih selesa memilih kesederhanaan.
Sebelum ini, Aamir memohon doa orang ramai dan memaklumkan hanya mahu mendaftarkan perkahwinan di bawah Akta Perkahwinan Khas dengan disaksikan keluarga dan teman rapat sahaja.
Malah, Aamir turut mengesahkan tiada sebarang majlis resepsi yang akan menyusul selepas acara akad nikah dan pendaftaran berkenaan selesai.
Biarpun sederhana, majlis itu telah menyatukan anak-anak daripada perkahwinan terdahulu bagi kedua-dua belah pihak.

Anak-anak Aamir hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama, Reena Dutta iaitu Junaid Khan dan Ira Khan, dilihat hadir awal bagi membantu persiapan.
Anak lelakinya bersama Kiran Rao, Azad dan anak lelaki Gauri daripada perkahwinan terdahulunya juga berada di sisi pasangan pengantin sepanjang majlis berlangsung.
Sekadar info, perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan ketiga buat Aamir Khan dan yang kedua bagi Gauri Spratt yang merupakan seorang usahawan dalam industri kecantikan.
Pasangan berkenaan pertama kali diperkenalkan hampir 25 tahun lalu, namun bibit cinta hanya bermula sekitar tahun 2024 selepas mereka dipertemukan semula oleh sepupu Aamir, Nuzhat Khan.
Selepas setahun melalui fasa hubungan jarak jauh, Aamir akhirnya memperkenalkan Gauri secara rasmi sebagai pasangannya kepada media menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Mac tahun lalu.
Siapa Gauri Spratt?

Sejak berita perkahwinan ini tular, rata-rata peminat industri hiburan Bollywood mula tertanya-tanya mengenai sosok wanita yang berjaya mencuri hati Aamir Khan.
Walaupun sebelum ini dia lebih selesa berada di luar radar lensa kamera, portfolio dan latar belakang Gauri sebenarnya bukan calang-calang. Jom kenali wanita berdarah campuran ini:
1-Wanita berusia 47 tahun ini dilahirkan di Bangalore dan memiliki darah kacukan yang sangat luar biasa. Bapanya, Robert Spratt, berketurunan Tamil-British manakala ibunya, Rita Spratt, berdarah Punjabi-Irish.
2-Gauri mendapat pendidikan awal di Blue Mountain School, Ooty sebelum berhijrah ke United Kingdom. Berdasarkan profil LinkedIn miliknya, dia merupakan lulusan dalam bidang Fashion Styling and Photography dari University of the Arts London pada tahun 2004.
3-Darah perniagaan dalam bidang kecantikan sebenarnya mengalir daripada ibunya yang mengusahakan pusat kecantikan terkenal di Bangalore. Sebelum fokus dalam industri salun, Gauri terlebih dahulu berkecimpung dalam rekaan pakaian dan fabrik.
4-Pada tahun 2007, Gauri menyertai jenama salun terkenal, BBlunt, sebagai rakan kongsi dan pengurus. Kini, dia mengendalikan cawangan BBlunt di Mumbai. Bukan itu sahaja, dia juga dilaporkan bertindak sebagai perunding kreatif bagi projek-projek di bawah syarikat produksi suaminya, Aamir Khan Productions.
5-Hasil daripada kejayaan empayar perniagaan dan pelaburannya dalam bidang fesyen, Magicbricks menganggarkan nilai kekayaan bersih Gauri Spratt adalah sekitar Rs 24 crore hingga Rs 40 crore (bersamaan sekitar RM13 juta hingga RM21 juta).
Sumber: The Statesman, NDTV
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

