Kmy Kmo & Luca Sickta bergabung dengan Niken Salindry, angkat budaya Nusantara menerusi Tinggi
ADA lagu yang sedap didengar, dan ada juga lagu yang meninggalkan makna selepas ia berakhir. Itulah yang cuba dibawakan menerusi Tinggi, kolaborasi istimewa antara duo hip hop Malaysia, Kmy Kmo & Luca Sickta dengan penyanyi sinden dari Indonesia, Niken Salindry.
Bukan sekadar menyatukan dua negara dalam sebuah karya muzik, Tinggi mempertemukan rap Melayu dengan alunan vokal sinden Jawa dalam satu gabungan yang segar, sekali gus mengangkat keindahan budaya Nusantara kepada khalayak hari ini.
Diambil daripada album terbaharu Gong, lagu ini tampil dengan pendekatan yang berbeza apabila menyelitkan unsur tradisional dalam susunan muzik moden.

Hasilnya, sebuah karya yang bukan sahaja enak didengar, malah mengajak pendengar menghayati nilai warisan, budi, martabat dan kenangan yang semakin dilupakan.
Menurut Kmy Kmo & Luca Sickta, Tinggi dihasilkan dengan harapan muzik mampu menjadi medium yang merapatkan jurang budaya dan generasi.
"Kami percaya muzik ialah bahasa yang mampu menyatukan. Melalui Tinggi, kami ingin menyampaikan bahawa kebesaran seseorang tidak diukur melalui kuasa atau harta, sebaliknya melalui budi, nilai dan warisan yang ditinggalkan. Kolaborasi ini juga membuktikan budaya Nusantara mampu terus berkembang tanpa kehilangan jati diri," kongsi mereka.

Bagi Niken Salindry, kolaborasi itu membuka peluang untuk memperkenalkan seni sinden kepada khalayak yang lebih luas, khususnya generasi muda.
"Saya terus tertarik apabila mendengar konsep lagu ini. Mesej yang dibawakan sangat kuat dan selari dengan semangat memelihara budaya. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada karya yang mempertemukan muzik moden dengan tradisi, sekali gus mengeratkan hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia," ujarnya.
Menariknya, keunikan Tinggi turut diterjemahkan menerusi video muzik yang menjalani penggambaran di Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Jakarta.
Dengan latar budaya yang kaya, video tersebut menampilkan gabungan busana tradisional, elemen seni dan persembahan tarian yang menyerlahkan persamaan warisan antara Malaysia dan Indonesia.
Secara keseluruhannya, Tinggi bukan sekadar mempertaruhkan bunyi yang berbeza, tetapi mengangkat idea bahawa muzik masih mampu menjadi ruang untuk budaya lama terus diraikan dalam nafas yang lebih moden.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

